Ubat Perlu Diambil Sebelum atau Selepas Makan?

Kongsikan di



Sikap sambil lewa dalam merawat masalah kesihatan mereka. Antara isu penggunaan ubat-ubatan yang perlu difahami oleh pengguna termasuklah masa terbaik untuk mengambil ubat-ubatan, sama ada diambil sebelum atau selepas makan?

Ramai pengguna sering dinasihatkan oleh doktor atau ahli farmasi supaya mengambil ubat sebelum atau selepas makan. Namun begitu, masih ada yang kurang jelas mengenai apakah yang dimaksudkan dengan sebelum atau selepas makan.

Pengambilan ubat-ubatan sebelum makan bermaksud sesuatu ubat itu diambil semasa perut kosong, iaitu kira-kira 30 minit atau sejam sebelum pengambilan makanan atau dua jam selepas pengambilan makanan.

Pengambilan selepas makan pula bermaksud ubat-ubatan diambil semasa terdapat makanan di dalam perut seperti pada tengah atau peringkat akhir proses pengambilan makanan atau sebaik-baik sahaja mengambil makanan.

Dua faktor utama sesuatu ubat-ubatan perlu diambil sama ada sebelum atau selepas makan:

1.  Pengambilan pada waktu tertentu bagi memaksimumkan kesan terapeutik ubat-ubatan.
Bagi sesetengah ubat-ubatan, kehadiran makanan perlu bagi membantu penyerapan sempurna ubat-ubatan daripada sistem penghadaman ke dalam darah yang seterusnya boleh meningkatkan kesan terapeutik ubat-ubatan. Sebagai contohnya ubat Saquinavir, sejenis antiretroviral yang mempunyai tahap kelarutan air yang lemah. Apabila Saquinavir diambil bersama-sama makanan, enzim daripada hempedu akan meningkatkan proses perungkaian ubat tersebut yang seterusnya meningkatkan penyerapan ke dalam darah.

Pengambilan bersama-sama makanan boleh meningkatkan penyerapan Saquinavir lebih daripada dua kali ganda berbanding dengan pengambilan tanpa makanan. Cuba bayangkan jika pengguna mengambil Saquinavir sebelum makanan, penyerapan ubat ini akan berada pada tahap minimum dan mungkin menyebabkan kegagalan dalam proses rawatan.

Manakala Acarbose, sejenis ubat untuk kencing manis perlu diambil bersama-sama makanan bagi memastikan penyerapan karbohidrat ke dalam darah daripada sistem penghadaman dapat dilambatkan. Acarbose bertindak dengan mengawal paras gula dalam darah dengan memperlahankan tindakan beberapa bahan kimia yang menguraikan makanan kepada gula. Pengambilan Acarbose bersama-sama makanan dapat mengelakkan peningkatan paras gula yang berlebihan selepas pengambilan makanan.

Ubat-ubatan yang bertindak di kawasan mulut dan kerongkong mestilah digunakan selepas pengambilan makanan. Sediaan seperti Nistatin dan Miconzole yang digunakan bagi mengatasi masalah jangkitan kulat dan ulser di bahagian mulut akan mempunyai kesan tindakan terapeutik yang lama jika diambil selepas makan. Jika diambil sebelum makan, ubat-ubatan ini mungkin akan dibawa bersama dengan makanan ke sistem pencernaan apabila makanan diambil oleh pesakit dan ini akan memendekkan tindakan terapeutik ubat-ubat tersebut.

2.  Pengambilan pada waktu tertentu bagi mengurangkan masalah kesihatan. Penggunaan antasid bagi mengatasi masalah pedih hulu hati (gastroesophageal reflux disease) adalah contoh terapi ubat-ubatan yang tergolong dalam kumpulan ini. Simptom berkait dengan pedih hulu hati biasanya berlaku selepas mengambil makanan. Oleh sebab itu, pengambilan antasid semasa pengambilan makanan akan mampu memberikan kesan mengurangkan masalah pedih hulu hati yang optimum. Antara contoh antasid yang terdapat dalam pasaran Malaysia ialah Maalox, Actal dan Gelusil.

Ubat-ubatan untuk rawatan kencing manis daripada kumpulan Sulfonilurea seperti Glipizade, Glicazide dan Glibencamide perlu dimakan sebelum makanan diambil bagi mengelakkan risiko penurunan paras gula dalam darah yang berlebihan (hipoglisemia). Di samping itu, seperti juga ubat-ubatan daripada kumpulan Sulfonilurea, Repaglinide, ubat kencing manis daripada kumpulan Meglitinide perlu juga diambil sebelum makan. Malah pesakit tidak perlu mengambil Repaglinide jika mereka tidak mengambil sebarang makanan

Sesetengah ubat-ubatan perlu diambil selepas makan bagi mengurangkan risiko kesan sampingan. Ubat-ubatan seperti Allopurinol (digunakan dalam rawatan gout) dan Bromocriptine (digunakan dalam rawatan penyakit Parkinson) boleh menyebabkan mual dan muntah. Oleh sebab itu, ubat-ubat tersebut perlu diambil selepas makan bagi mengurangkan risiko mual dan muntah.

Ubat-ubatan daripada kelas Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAIDS) seperti Naproxen, Mefenamic dan Diclofenac (sering digunakan bagi merawat inflamasi dan menahan kesakitan terutamanya pada bahagian sendi) dan juga ubat-ubatan daripada kumpulan steroid seperti prednisolone dan dexamethasone (sering digunakan dalam rawatan asma dan artritis) mungkin boleh menyebabkan ulser pada sistem penghadaman. Pengambilan ubat-ubatan daripada kumpulan ini bersama-sama makanan boleh mengurangkan risiko kesan sampingan yang mungkin diperoleh daripada penggunaan ubat-ubatan tersebut.

Makanan yang diambil oleh pesakit boleh mempengaruhi tindakan ubat-ubatan. Oleh hal yang demikian, kefahaman tentang kepentingan pengambilan ubat-ubatan sebelum atau selepas makan seperti yang diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi amat penting kerana ia mempunyai implikasi terhadap rawatan yang diterima oleh setiap pesakit. Kesedaran pesakit tentang pengambilan ubat-ubatan secara berkualiti perlu diberi keutamaan bagi rawatan masalah kesihatan mereka.

Sumber: Dewan Kosmik Disember 2010
loading...

0 Response to "Ubat Perlu Diambil Sebelum atau Selepas Makan?"

Post a Comment

Didakwah