KEBERKATAN MAKAN SAHUR

Kongsikan di

Image result for MAKAN SAHUR


BERSAHUR untuk berpuasa termasuk sunnah Nabi Muhammad saw. Sahur bermaksud makanan atau santapan yang diberkati. Bersumber daripada Aisyah, beliau berkata: Rasulullah saw bersabda: 
Bawalah kepadaku santapan yang diberkati itu, iaitu sahur. Kadang-kadang Rasulullah makan sahur hanya dengan dua biji kurma.
Rasulullah menganjurkan supaya makan sahur melalui sabdanya bermaksud:
Makan sahurlah kerana sesungguhnya dalam makan sahur itu ada berkat.
Termasuk sunnah Rasulullah ialah mengakhirkan sahur. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Darda, Rasulullah bersabda maksudnya: “Makan sahurlah pada akhir malam.”
Diterangkan pula, Rasulullah biasanya makan sahur kemudian terus keluar untuk bersolat. Hikmah sahur dan fadilat mengakhirkannya disebut oleh Rasulullah antara lainnya:
  • Ia mempunyai unsur berkat. Makanan apa pun yang mengandungi berkat akan membantu seseorang dalam mentaati perintah Allah;
  • Untuk membezakan antara puasa yang dijalankan dengan puasa ahlil kitab.
Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis sahih yang bersumber daripada Amru Ibnu bahawa sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahlil kitab ialah pada makan sahurnya.”; dan
  • Untuk membantu puasa itu sendiri seperti dijelaskan hadis yang bersumber daripada Ibnu Abbas dan diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud: “Mintalah bantuan makan sahur untuk mengatasi puasa pada siang hari. Dan mintalah bantuan istirahat sebentar pada siang hari agar kuat menjalani ibadah pada malam harinya.”
Dianjurkan bersahur bukan bererti makan sebanyak-banyaknya. Apa yang penting untuk mendapatkan fadilat serta sunnahnya, walaupun dengan makan sedikit.
Dalam hadis Jabir ditegaskan bahawa Rasulullah pernah bersabda maksudnya:
Barang siapa yang akan puasa hendaklah dia makan sahur, sekali pun hanya sedikit.
Ulama turut membahaskan bilakah waktu yang paling afdal untuk bersahur.
Daripada hadis, ulama membuat kesimpulan bahawa adalah lebih afdal melewat-lewatkan sahur hingga betul-betul hampir masuk waktu fajar.
Imam al-Baihaqi melalui sanad sahih menyebut “adalah sahabat-sahabat Nabi Muhammad itu orang yang menyegerakan berbuka puasa dan melewat-lewatkan sahur.”
Nabi juga pernah bersabda, maksudnya: “Sentiasalah umatku itu dalam keadaan kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka dan melambat-lambatkan sahur.”
Sebenarnya waktu bersahur itu adalah luas bermula dari waktu malam hari hingga masuk waktu fajar dan yang lebih afdal ialah ketika waktu Subuh hampir masuk.
Satu daripada amalan umat Islam di Malaysia ialah berhenti makan lebih kurang 10 minit sebelum azan Subuh yang disebut sebagai Imsak.
Kebanyakan daripada kita cukup berhati-hati supaya tidak melewati waktu Imsak untuk memastikan tiada sisa makanan dalam mulut.
Berkaitan dengan waktu Imsak, sebenarnya ada satu hadis yang menunjukkan adanya amalan itu.
Anas meriwayatkan daripada Zaid bin Thabit: “Kami telah bersahur bersama-sama dengan Nabi, kemudian Baginda bangun untuk mengerjakan solat. Aku (Anas) bertanya, berapa lama tempoh antara azan dengan sahur itu? Zaid menjawab sekadar bacaan 50 ayat al-Quran.”
Hadis itu menjelaskan bahawa Nabi Muhammad berhenti makan sahur dalam kadar masa anggaran jika dibaca ayat-ayat al-Quran itu untuk 50 ayat.

Sumber :  https://irfanirsyad.wordpress.com

loading...

0 Response to "KEBERKATAN MAKAN SAHUR"

Post a Comment

Didakwah