Soalan;
Assalamu alaikum ustaz. Saya ingin mendapat penjelasan dari ustaz; Apakah hukum 'berbohong sunat'? Perbuatan berbohong tersebut adalah untuk tujuan yang baik, misalnya untuk menjaga sillaturrahim. Terima kasih
Jawapan;
Sabda Nabi s.a.w.;
“Bukanlah dianggap pendusta/pembohong seorang yang berniat untuk memperbaiki di antara manusia dengan ia menyampaikan berita yang baik sahaja (di antara dua orang yang bergaduh/bersengketa) atau melaporkan yang baik-baik sahaja (dengan menyembunyikan yang tidak baik di antara mereka berdua)”
(HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ummu Kalsum r.a.).
Dalam riwayat Imam Muslim, terdapat tambahan; Ummu Kalsum berkata;
“Aku tidak mendengar Nabi s.a.w. memberi sebarang kelonggaran (untuk berbohong/berdusta) dalam percakapan manusia kecuali dalam tiga keadaan;
1) Ketika peperangan
2) Untuk mendamaikan di antara manusia
3) Percakapan seorang lelaki dengan isterinya dan percakapan seorang perempuan dengan suaminya
(HR Imam Muslim)
Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; “Hadis ini dengan jelas telah mengharuskan beberapa bentuk pendustaan jika ada maslahah/kepentingan. Para ulamak telah membuat batasan bagi pendustaan/pembohongan yang diharuskan. Batasan yang terbaik ialah yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali yang menjelaskan; percakapan ialah jalan untuk mencapai maksud-maksud tertentu. Jika suatu maksud yang baik dapat dicapai dengan berkata benar, tidak harus lagi berdusta kerana pendustaan tidak diperlukan ketika itu. Namun jika maksud yang baik itu tidak ada cara untuk mencapainya melainkan dengan berbohong/berdusta, maka ketika itu berbohong/berdusta adalah harus jika maksud yang ingin dicapai itu hukumnya adalah harus. Jika maksud itu wajib, maka berdusta ketika itu juga wajib (kerana tidak ada cara lain lagi untuk mencapainya).
Contohnya; ada seorang muslim bersembunyi dari seorang lelaki zalim dan kita mengetahui tempat persembunyiannya. Kemudian si zalim itu bertanya kita tempat lelaki muslim itu bersembunyi. Ketika itu wajib kita berdusta/berbohong (yakni tidak harus kita bercakap benar dengan memberitahunya). Contoh lain; kita ada menyimpan barang milik seseorang muslim, lalu ditanya tentangnya oleh seorang zalim yang ingin merampasnya, maka wajib kita berdusta untuk menyembunyikannya (bagi mengelak ia dirampas). Malah kata Imam al-Ghazali; jika kita memberitahu si zalim itu dan barang itu dirampasnya, wajib kita menggantikannya.
Namun langkah yang lebih berhati-hati ialah dengan kita melakukan at-Tauriyah iaitu berselindung, yakni tidak secara direct berdusta/berbohong. Maksud at-Tauriyah ialah kita bercakap dengan bahasa yang zahirnya nampak macam berdusta, tetapi secara terselindung (yakni biat di hati) kita tidak berdusta. (Lihat; al-Azkar, Imam an-Nawawi, kitab Hifzul-Lisan. *Terjemahan dilakukan secara bebas).
Bagi kes hubungan suami-isteri, maksud keharusan berdusta/berbohong ialah dalam menzahirkan kasih-sayang, berjanji sesuatu yang tidak lazim/mesti (ditunaikan) atau sebagainya. Sebagai contohnya; apabila isteri bertanya suami; sedap atau tidak masakannya? Suami pun menjawab; “sedap”, walhal sebenarnya tidak sedap. Jawapan itu bertujuan menjaga perasaan isteri walaupun sumai sebenarnya berbohong. Berbohong sebegitu tidaklah dicela kerana tujuannya untuk mengekalkan kasih-sayang. Adapun melakukan penipuan/pembohongan untuk mengelak dari tanggungjawab/kewajipan terhadap pasangan masing-masing atau untuk merampas haknya secara batil, maka ia adalah haram dengan ijmak para ulamak. (Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi)
Wallahu a’lam.
(Sumber: Ilmudanulamak)
loading...
0 Response to "MENIPU SUNAT menurut AJARAN ISLAM"
Post a Comment