PENDIDIKAN AWAL KEPADA SI MANJA MENURUT ISLAM

Kongsikan di

Duhai ibubapa yang bijaksana,
Cukupkah sekadar kita melahirkan seorang anak dari dalam rahim kemudian dia membesar begitu sahaja tanpa sebarang dorongan, didikan dan pentarbiyyahan?Tidakkah kita mahu anak kita hidup dengan penuh makna di setiap minit penghidupannya? Dia melihat burung, pokok dan ikan dan mengaitkan ia dengan kebesaran Allah lalu dia mengira bilangannya dan mengejanya pula dari gabungan huruf-huruf yang anda telah ajarinya?
Subhanallah…
Allah telah berfirman di dalam kitab suci Al Qur’an:
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”
[As-Shafaat :100] 
Melahirkan anak soleh memerlukan ibubapa yang bijaksana.Bijaksana itu adalah ibubapa yang soleh yang sudah tentunya berilmu. Kita tidak akan mensia-siakan amanah Allah swt. Kita mahu anak kita menjadi hamba Allah yang berguna di dunia dan juga neag range di akhirat.

PENTINGKAH PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK? 

Ya, ia sangat penting. Seorang anak yang hidup di dalam keluarga yang berilmu, soleh, sabar, penyayang, bercita-cita tinggi amatlah berbeza dengan seorang anak yang hidup di dalam keluarga yang porak peranda, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak berkasih sayang dan tidak punya arah tuju.
Di dalam Islam, pendidikan awal anak bukan bermula daripada dia lahir.Tetapi ianya bermula daripada sebuah perkahwinan lagi. Seorang suami akan memilih seorang ibu yang baik untuk anaknya. Islam menganjurkan dan menggalakkan umatnya berkahwin adalah kerana perkahwinan itu adalah untuk menjaga maslahah kemasyarakatan.
1. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu untuk memelihara benih-benih manusia.
Allah berfirman di dalam surah An-Nisa’ ayat 1:
Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, lalu dijadikan daripadanya pasangan (suami isteri), lalu diperkembang biakkan daripada keduanya lelaki dan wanita yang banyak. [An-Nisa’: 1]
2. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu bagi memelihara keturunan.
Dengan sebuah perkahwinan yang barakah dan halal di sisi syariat Islam, seorang anak itu telah selamat daripada firnah dunia dan manusia. Mereka akan jadi tenteram kerana ada keturunan yang jelas. Ini dapat memelihara mereka daripada terjebak dengan masalah moral dan akhlak.
3. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu bagi suami isteri membina keluarganya.
Dengan perkahwinan, suami isteri akan sentiasa bercita-cita untuk mendidik dan membangunkan rohani anak-anak. Suami akan berusaha keras mencari rezeki untuk memberi makan kepada anak-anak dan isteri pula akan berganding bahu memberikan pendidikan terbaik buat anak.
4. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu untuk menyemarakkan kasih sayang dan kecintaan.
Seorang isteri akan sentiasa merindu suaminya. Suami pula akan mencintai isteri. Ibubapa pula akan menyayangi dan mempunyai rasa belas kasihan terhadap anak-anaknya. Perasaan ini akan sentiasa wujud di dalam keluarga yang barakah dan berada di dalam redha Allah. Nilai kasih sayang yang tersebar di dalam sebuah keluarga akan membina keluarga yang bahagia. Apabila keluarga sudah saling sayang menyayangi, maka anak-anak akan membawa satu contoh tauladan kepada masyarakat di luar pula.
Begitulah hebatnya sebuah perkahwinan.Perkahwinan yang barakah dapat melahirkan insan yang hebat iaitu anak-anak anda sekarang.
Selepas berkahwin, maka suami isteri akan bercita-cita untuk mendapat seorang anak. Tiada yang lebih menggembirakan pasangan suami isteri apabila mereka diberitakan bakal menimbang cahaya mata. Namun perlu diambil kira, adab-adab ketika ‘bersama’ juga akan memberikan kesan terhadap anak yang dilahirkan. InsyaAllah saya akan sentuh berkenaan perkara itu di dalam post saya akan datang.
Apabila sudah lahir seorang bayi, maka bermulalah fasa pendidikan yang seterusnya.
Tiga tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak merupakan waktu di mana perkembangan otak berlaku dengan pesat.Walaupun perkembangan otak terus berlaku selepas itu tetapi tiga tahun pertama merupakan waktu yang paling kritikal.Ketika ini otak lebih fleksibel dan bersedia untuk mempelajari sesuatu. Berat otak bayi ketika dilahirkan ialah 25% daripada berat otak orang dewasa.
Ketika mencapai usia 3 tahun, otak bayi telah berkembang menjadi berjuta- juta sel (yang terdiri dari neurons dan sel-sel otak yang lain). Sel-sel ini kemudiannya bercantum untuk membentuk berjuta-juta “jalinan” (synapses). Jalinan antara sel ini kemudian membentuk pusat kawalan yang kompleks bagi perkembangan mental, emosi, fizikal dan spiritual.
Segala perbuatan dan percakapan kita terhadap seorang anak walaupun masih kecil, akan mudah diserap oleh mereka. Jadi berhati-hatilah ketika anda berkata dan melakukan sesuatu.
Begitulah peri pentingnya pendidikan awal anak. Ini menentukan peribadinya pada masa akan datang.

Sumber : Ashikin Hashim
loading...

0 Response to "PENDIDIKAN AWAL KEPADA SI MANJA MENURUT ISLAM"

Post a Comment

Didakwah