10 Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri

Keluarga itu asas utama sesebuah masyarakat. Andai masyarakat itu sebuah bangunan, keluarga itu batu-batanya! Sebagaimana keluarga itu asas utama sebuah masyarakat, hubungan suami isteri pula asas utama sebuah keluarga.
Lalu, kami mahu berkongsi 10 tugas seorang suami kepada isteri dengan anda.

Tugas #1 Penuhi keperluan si isteri

Penuhi setiap keperluan isteri mengikut kemampuan diri sang suami. Keperluan isteri itu seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Gunakan kewangan sang suami bagi memenuhi keperluan si isteri.
Jadi sang suami, kerjalah lebih kuat bagi memenuhi lebih banyak keperluan si isteri.

Tugas #2 Lindungi si isteri

Menjadi pelindung kepada si isteri daripada apa sahaja perkara yang boleh menyakiti si isteri. Boleh jadi, bahaya itu datang dari sang suami itu sendiri (penderaan mental atau fizikal), ataupun bahaya dari luar.
Si isteri perlu rasa selamat apabila ada suami di sisi… (bukan semasa ketiadaan si suami).

Tugas #3 Bersabar dengan si isteri

Sabar dan menerima setiap kelemahan si isteri. Apabila ada sesuatu yang tidak seronok dipandang, tegur si isteri dengan cara paling bijaksana. Andai perkara itu sentiasa berulang, sedarlah betapa banyak lagi sikap-sikap lain si isteri yang lebih baik dan berkualiti.
Usah benci si isteri, dan ingat betapa si isteri adalah orang pertama percayakan diri sang suami.

Tugas #4 Bimbing si isteri

Ajar si isteri dengan asas pendidikan agama. Andai sang suami tidak mampu, pastikan si isteri ada kemudahan untuk belajar. Si isteri bukan lawan, sebaliknya jadikan si isteri sebagai teman ketika proses menjadikan diri lebih baik setiap hari.
Pendidikan si isteri juga penting sebagai asas kepada pendidikan anak-anak pada masa depan.

Tugas #5 Suruh si isteri beramal soleh

Pastikan si isteri istiqamah (kekal dan konsisten) dalam mengamalkan ajaran agama. Ajak si isteri melakukan amal soleh dan bersama-sama menjaga akhlak.

Tugas #6 Bersikap tegas kepada si isteri

Lindungi si isteri daripada perkara yang kurang elok seperti gosip-gosip liar, sikap malas dan sebagainya. Tahu apabila sang suami perlu tegas terutamanya sebaik berhadapan dengan keadaan yang boleh mengubah arah kemudi pelayaran rumah tangga mereka.

Tugas #7 Sentiasa ada di sisi si isteri

Sentiasa sedia menemani si isteri apabila si isteri perlukan sang suami di sisi. Sebagai contoh, benarkan dan teman si isteri melawat ibu bapanya, jiran atau solat di masjid. Sentiasa berada di sisi juga bermakna sentiasa memberi perhatian kepada si isteri.

Tugas #8 Bersikap ‘gentleman’ kepada si isteri

Bercakaplah dengan si isteri dengan cara paling elok, iaitu tutur kata yang manis dan sopan sebagaimana pertemuan si isteri dan sang suami yang pertama. Sang suami yang tercela adalah suami yang berkelakuan seperti kucing di hadapan kawan-kawan, tetapi bertukar menjadi harimau di hadapan keluarga.
Bantu ringankan tanggungjawab keluarga dengan melakukan kerja rumah seperti menyapu, membasuh pinggan, memasak dan sebagainya.

Tugas #9 Menjaga kehormatan si isteri

Elakkan sama sekali daripada berkongsi cerita-cerita peribadi tentang si isteri dengan rakan-rakan atau keluarga. Tugas sang suami menjaga kepercayaan dengan si isteri seandainya sang suami mahu si isteri juga jujur dan menjaga kehormatan mereka berdua.

Tugas #10 Meminta pandangan si isteri

Sang suami jangan rasa takut atau malu meminta pandangan si isteri dalam apa-apa perkara rutin atau perkara penting. Si isteri bukan sahaja boleh membantu, malah dapat memberi pandangan-pandangan bernas kepada sang suami. Si isteri akan merasa lebih dihargai dan penting dalam hidup sang suami.
Selamat beramal dan ceriakan hati si tercinta.
Sumber: Tazkirah.net
loading...

0 Response to "10 Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri"

Post a Comment

Didakwah

loading...