CARA RASULULLAH MENGANGKAT HADAS BESAR!! PENTING

Kongsikan di

GAMBAR SEKADAR HIASAN


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan shalafus sholeh.

Saya menulis hal ini sebagai respons kepada persoalan Sdr. Shamsuri. Sebenarnya telah perkara ini diajarkan dan dibincangkan dalam kuliah kitab Bulughul Maram, bab Taharah (Bersuci) agak lama dulu. Baik sekali saya ulang sorot untuk kefahaman bersama, juga untuk rakan-rakan yang tidak hadir kuliah tersebut. Terima "kasih daun keladi" tidak terhingga kepada Sdr. Pyan SiPitong yang menyediakan kerangka artikel ini dan butiran rujukannya. Sesungguhnya ia amat membantu dan hanya Allah swt. yang dapat membalas kebaikannya.

Artikel ini agak panjang, tetapi merungkai secara menyeluruh hal-hal berkaitan Mandi Hadas Besar. Saya persembahkan ia begitu supaya rakan-rakan dapat memahami dengan lengkap, bukan sekerat jalan. Seterusnya mengelakkan diri kita semua dari menjadi pak turut membuta tuli sahaja. Walhal, bukanlah begitu perintah Allah swt. dan ajaran Rasul-Nya dalam mengerjakan amalan agama suci kita. Keterangan yang dinyatakan nanti, agak berbeza dari fahaman dan amalan semasa. Namun ingatlah bahawa, tiadalah amalan yang benar itu melainkan yang dicontohkan oleh Rasul saw. sendiri dan, itulah Islam. Tabahlah membaca.

Muqaddimah
Mengangkat Hadas Besar atau Mandi Hadas Besar atau Mandi Janabah (Junub), adalah salah satu perkara dalam bab Taharah (Bersuci). Oleh itu, menjadi kewajiban bagi setiap Muslimin untuk mengetahui hukum-hakam, tatacara dan mengamalkan mandi hadas besar seperti yang ditetapkan oleh syara'. Pentingnya Taharah ini kerana,

1. Kesempurnaan Taharah merupakan syarat sahnya sholat.
2. Kesempurnaan Taharah juga penentu sah atau tidaknya seluruh ibadah lain.
3. Kesempurnaan Taharah adalah kebersihan diri secara total, lahir dan batin.

Harus difahami benar-benar, seseorang yang telah berjanabah atau dalam keadaan janabah, tetapi tidak ia Mandi Hadas Besar atau melakukan tatacara mandi itu secara salah, maka tidaklah bersih tubuhnya, batal segala amalan ibadahnya selamanya, selagi tidak ia mandi semula dengan betul dan mengembalikan dirinya semula ke dalam keadaan bersih. 

Setiap Muslimin tidaklah perlu rasa malu dalam mempelajari hal-ehwal mandi hadas besar ini, kerana ia merupakan urusan agama yang Wajib dan tidak dapat lari darinya. Artikel ini memuatkan beberapa perkara penting mengenai mandi hadas besar iaitu :

* Dalil kewajiban mandi hadas besar
* Perkara-perkara yang mewajibkan mandi
* Tatacara mandi janabah
* Tatacara mandi kerana haid dan nifas

Dalil Kewajiban Mandi Hadas Besar
Firman Allah swt. di dalam Al Qur'an ul Haaq,
: (وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا), maksudnya : ‘…jika kamu itu dalam keadaan janabah (hadas besar) maka bersucilah…".
Surah Al Maidah (5) : ayat 6.

Manakala dalam hadis pula, terdapat banyak riwayat yang menyebut tentang kewajipan ini, antaranya ialah : Nabi saw. bersabda : ‘Jika seorang suami duduk di antara kedua kaki dan tangan isterinya, kemudian menggaulinya, maka wajiblah mandi’...[i].

Perkara-Perkara Yang Mewajibkan Mandi Hadas Besar

1. Keluar mani dengan syahwat, baik dalam keadaan jaga ataupun tidur. Sebelum diterangkan lebih lanjut mengenai point ini, seseorang itu perlu mengetahui apakah sifat-sifat mani. Air mani lelaki yang sihat mempunyai beberapa sifat:

* Berwarna putih dan pekat
* Keluar dengan cara memancut
* Keluar dengan rasa syahwat
* Selepas keluarnya mani, dia berasa kepenatan
* Baunya seperti bau pucuk tamar, seakan-akan bau tepung
* Jika air mani itu kering, baunya seperti bau telur

Jika salah satu sifat ini wujud pada cecair yang keluar, maka cukuplah untuk dihukumkan cecair itu sebagai air mani. Tidak semestinya semua sifat ini mesti wujud untuk dikatakan ia adalah mani.....[ii].

Sifat mani perempuan pula :

* Berwarna kekuningan dan cair (tidak likat)
* Baunya sama dengan bau mani lelaki
* Keluar dengan rasa syahwat

Nabi saw. bersabda : ‘Sesungguhnya air mani lelaki itu kental berwarna putih, sedangkan air mani wanita itu cair berwarna kuning…[iii]’

Keluarnya air mani itu merupakan perkara yang mewajibkan mandi, tidak kira samada ia keluar kerana persetubuhan, mimpi, atau onani.

Dalilnya ialah berdasarkan sabda Nabi saw. : ‘Air itu dari air’[iv]. Maksud hadis : Keluarnya air mani merupakan salah satu sebab wajibnya mandi.

Hadis seterusnya ialah berdasarkan riwayat oleh Ummu Salamah rha. :
Ummu Sulaim rha., isteri kepada Abu Talhah, berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah itu tidak malu terhadap kebenaran, adakah seorang wanita itu wajib mandi jika dia mimpi (iaitu : dia melihat seperti apa yang dilihat oleh lelaki dalam tidur seperti gambaran persetubuhan)? Baginda saw. menjawab : Ya, jika dia melihat adanya air mani (setelah bangun)....[v].

Catatan

* Jika seseorang bermimpi jima’ (bersetubuh) dan pada esok paginya dia tidak menemui bekas air mani, maka tidak wajib mandi. Ini kerana mimpi persetubuhan semata-mata bukanlah perkara yang mewajibkan mandi, melainkan ia disertai keluarnya air mani.

* Jika ia terjaga dari tidur dan mendapati adanya bekas air mani sedangkan ia tidak ingat bermimpi, maka dia wajib mandi, berdasarkan hadis,
* "dari Aisyah rha. ia berkata : Nabi saw. ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati air mani, tetapi dia tidak ingat bermimpi. Rasulullah saw. menjawab : Dia mesti mandi. Beliau saw. juga ditanya tentang lelaki yang bermimpi tetapi tidak mendapati air mani, Baginda saw. berkata : Dia tidak wajib mandi"......[vi].

* Jika dia terjaga dari tidur dan mendapati kesan air, dan dia yakin bahawa itu adalah mazi, maka dia tidak wajib mandi tetapi cukup sekadar membasuh kemaluannya.

* Jika dia terjaga dari tidur dan mendapati kesan air tetapi dia tidak pasti adakah ianya mani atau mazi, maka dalam hal ini jika dia bermain-main dengan pasangannya atau berfikir mengenai sesuatu, maka selalunya ia adalah mazi. Seseorang itu hanya perlu membasuh anggota badannya dan bajunya yang terkena mazi. Tetapi jika sebelum dia tidur tidak berlaku mana-mana perkara yang menyebabkan keluarnya mazi, maka di sini dia wajib mandi sebagai langkah berjaga-jaga...[vii].

2. Bertemunya Dua Khitan (Alat Kelamin) / Berlakunya Persetubuhan

"dari Abu Hurairah ra.ia berkata, Nabi saw. bersabda : ‘Jika seorang suami telah duduk di antara kedua kaki dan tangan isterinya, kemudian menggaulinya, maka wajiblah mandi’....[viii]. Dan dalam lafaz riwayat Muslim ditambah : ‘Walaupun tidak keluar air mani’.

Sebuah hadis lagi menyebut, seseorang bertanya kepada Rasulullah saw. tentang seorang suami yang mendatangi isterinya, kemudian air maninya tidak keluar, apakah ia wajib mandi? Ketika itu Aisyah rha. sedang duduk, lalu Rasulullah saw. berkata : ‘Sesungguhnya aku melakukannya dengan wanita ini, lalu kami mandi’.....[ix].

Daripada dua hadis di atas, ia menunjukkan bahawa wajibnya mandi sekiranya kemaluan suami masuk ke dalam kemaluan isteri walaupun tidak keluar air mani.

Catatan

* Jika kemaluan suami menyentuh kemaluan isteri tanpa dimasukkan, maka tidak wajib mandi kecuali jika keluar mani.

* Sekiranya air mani suami keluar dari kemaluan isteri selepas isteri mandi, maka isteri tidak wajib mandi semula, tetapi dia wajib berwudhu’.

Berkata imam al-Zuhri rh. mengenai lelaki dan wanita yang keluar sesuatu dari kemaluan mereka selepas mandi, keduanya harus mencuci kemaluan dan berwudhu’....[x].

3. Berhenti Darah Haid dan Nifas

Apabila seorang wanita telah suci dari haid, maka dia wajib mandi sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi saw. : ‘Jika haid datang maka tinggalkanlah solat, dan jika ia pergi maka mandilah dan lakukanlah solat’.....[xi].

Adapun nifas, hukumnya adalah sama seperti haid menurut ijma’ dan arahan Raul saw. adalah juga begitu.

Catatan

* Sekiranya seorang wanita dalam keadaan janabah kerana melakukan hubungan intim, kemudian dia didatangi haid sebelum dia mandi kerana janabah itu, maka tidak wajib dia mandi untuk menghilangkan janabahnya. Tetapi dia mandi ketika telah selesai haidnya. Ini telah disebut oleh al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’....[xii].

* Sekiranya seorang wanita itu melahirkan anak (al-wiladah) tetapi tidak disertai dengan darah nifas, maka dia tidak wajib mandi. Ini kerana tiada satu nas pun dari al-Quran atau Sunnah, baik hadis sahih mahupun dhoif, yang menyebut mengenai perkara ini. Sekiranya tiada dalil, maka sesuatu ibadah itu tidak dipertanggungjawabkan ke atas seorang Muslim. Ini disebut oleh al-Imam Ibn Qudamah rh. dalam kitabnya al-Mughni..[xiii]. Walaubagaimana pun, sangat jarang wanita melahirkan anak tanpa disertai darah nifas.

4. Ketika Seorang Kafir Masuk Islam

Diriwayatkan dari Qais bin ‘Ashim ra., bahawa beliau masuk Islam, lalu Nabi saw. memerintahkannya untuk mandi dengan air dan daun bidara....[xiv].

Tatacara Mandi Hadas Besar
Terdapat beberapa riwayat yang menerangkan tatacara mandi hadas besar. Hadis-hadis ini disampaikan oleh sayyidatina ‘Aisyah rha. dan sayyidatina Maimunah rha. dan diriwayatkan oleh imam Bukhari dan imam Muslim rh. di dalam kitab Shohih mereka secara terpisah. Dan, dalam riwayat-riwayat ini terdapat sedikit perbezaan.

Hadis dari Ummul Mukminin Sayyidatina ‘Aisyah rha. [xv] :
Bahawasanya Nabi saw. apabila hendak mandi dari hadas besar memulai dengan :
1. Membasuh kedua tangan, (dalam riwayat lain dari ‘Aisyah juga : selepas membasuh tangan, Baginda saw. membasuh kemaluannya dengan tangan kiri) kemudian;
2. Berwudhuk seperti wudhuk untuk solat, kemudian;
3. Beliau memasukkan jari-jemarinya ke dalam bekas air kemudian beliau menyela rambutnya, kemudian;
4. Mengalirkan air ke kepalanya dengan tiga cedokan tangan, kemudian;
5. Beliau mengalirkan air ke seluruh badannya.
6. (Dalam riwayat lain, ‘Aisyah menyebut bahawa akhir sekali, Nabi saw. membasuh kedua kakinya).

Hadis dari Sayyidatina Maimunah rha. [xvi] :
‘Aku meletakkan air untuk Nabi saw. mandi kemudian :
1. Beliau membasuh tangannya dua atau tiga kali, kemudian;
2. Beliau mencedok air dengan tangan kanannya kemudian menuangkannya ke tangan kirinya, kemudian;
3. Beliau membasuh kemaluannya dengan tangan kiri (dalam riwayat lain : membasuh kemaluan dan segala kotoran yang ada padanya), kemudian;
4. Beliau menggosok-gosokkan tangannya ke tanah atau tembok, kemudian;
5. Membasuh tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung, dan membasuh mukanya, kedua tangannya, dan kepalanya (seperti wudhuk untuk sholat) , kemudian;
6. Mengalirkan air ke seluruh badannya;
7. Beliau berpindah dari tempatnya dan membasuh kedua kakinya;
Akhirnya, aku memberikan dia sehelai kain (untuk mengelap air) lalu Baginda saw. memberikan isyarat dengan tangannya seperti ini, iaitu beliau tidak mengekehendakinya’.

Tatacara Mandi Kerana Haid dan Nifas
Mandi setelah selesai haid atau nifas adalah sama seperti mandi untuk menghilangkan janabah. Tetapi terdapat beberapa tambahan seperti yang berikut :

1. Menggunakan sabun atau pembersih ketika mandi. Seperti yang disabdakan Nabi saw. kepada Asma’ rha. : ‘Hendaklah salah seorang daripada kalian mengambil air dan daun bidaranya, lalu dia bersuci dengan sebaik-baiknya..[xvii]’

2. Dianjurkan untuk membuka ikatan rambut ketika mandi kerana haid supaya yakin air sampai ke kulit. Nabi saw. berkata kepada sayyidatina ‘Aisyah rha. : ‘Lepaskanlah ikatan rambutmu dan mandilah’....[xviii].

3. Digalakkan baginya untuk menggunakan kain yang dikenakan minyak wangi dan diusapkan pada bekas darah hingga hilang baunya. Diriwayatkan dari ‘Aisyah rh.
"bahawa seorang wanita bertanya kepada Nabi saw. tentang cara mandi setelah selesai haid, lalu Baginda saw. mengajarkan kepadanya dan berkata : ‘Ambillah satu kain yang diolesi minyak wangi dan bersucilah dengannya. Wanita itu berkata : Bagaimana aku bersuci? Baginda berkata : Bersucilah dengannya! Dia berkata lagi : Bagaimana? Baginda saw. berkata : Subhanallah! Bersucilah! Lalu aku menariknya dan berkata : Bersihkanlah bekas darah dengan kain itu....[xix].

Catatan

* Hendaklah seseorang yang hendak mandi hadas itu untuk memulakan mandi dengan lurus niat untuk menghilangkan hadas besar. Tetapi tidak perlu untuk melafazkannya kerana ianya tiada contoh dari Nabi saw. melafazkan niat itu. 

* Tidak wajib bagi wanita untuk melepaskan ikatan rambutnya samada untuk menghilangkan janabah atau mandi kerana haid atau nifas. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah rha.
* "Aku bertanya wahai Rasulullah, sesungguhnya aku adalah seorang wanita dengan rambut yang diikat kuat. Apakah aku mesti membuka ikatan itu untuk mandi janabah? (Dalam riwayat lain : …untuk mandi janabah dan haid?) Baginda saw. menjawab : Tidak, cukup bagimu untuk mengalirkan air sebanyak tiga cedokan tangan ke kepala, lalu mengalirkan air ke seluruh badanmu, maka (dengan itu) engkau telah suci....[xx].

* Tatacara mandi yang disebut dalam hadis-hadis di atas adalah mustahabb (dianjurkan) dan sekiranya seseorang itu mengalirkan air ke seluruh badannya, maka mandinya sah dan sucilah dia daripada hadas besar. Dalilnya,

1. Hadis Ummu Salamah rha. yang disebut di atas : ‘…cukup bagimu untuk mengalirkan air sebanyak tiga cedokan tangan ke kepala, lalu mengalirkan air ke seluruh badanmu, maka (dengan itu) engkau telah suci’.

2. Diriwayatkan dalam sebuah hadis yang panjang oleh ‘Imran bin Hushain ra. ketika Nabi saw. dan para Sahabat dalam perjalanan, ada seorang sahabat dalam keadaan janabah. Disebutkan dalam riwayat ini : ‘…dan terakhir sekali, bejana air itu diberikan kepada lelaki yang dalam keadaan janabah tadi dan berkata Nabi saw. : ‘Pergilah, dan curahkanlah air ke atas badanmu’....[xxi].

* Sekiranya seseorang itu mandi dengan meratakan air ke seluruh badannya, adakah dia perlu mengambil wudhuk selepas mandi? Jawab : Para ulama’ berselisih pendapat dalam masalah ini. Al-Imam al-Syaf’ie rh. berkata : ‘Jika seseorang itu mula mandi dan tidak berwudhuk, dan dia menyempurnakan mandinya, maka itu sudah memadai dan dia tidak perlu berwudhuk untuk solat dan bersuci…[xxii]’

Begitu juga apa yang dikatakan oleh Syheikh ul Islam, Ibn Taimiyah rh. sekiranya seseorang itu meniatkan dengan mandinya untuk mengangkat hadas besar, maka hadas kecilnya juga hilang. Ini kerana Allah swt. menyebut (yang maksudnya) : ‘…jika kamu dalam keadaan janabah, maka bersucilah..’ (Surah al-Maidah (5) : ayat 6). Jika dia bersuci dengan niat untuk menghilangkan hadas besar, maka itu sudah memadai kerana Allah tidak menyebut selain daripada itu. Pendapat ini juga yang dipilih oleh Syeikh Muhammad bin Sholih Ibn al-‘Uthaimin rh. ....[xxiii].

* Seorang yang dalam keadaan hadas besar boleh mengakhirkan mandi janabah sehingga dia bangun dari tidur pada keesokan paginya. Ini berdasarkan hadis,
* "dari ‘Aisyah rha. bahawa Nabi saw. berwudhuk sekiranya Baginda saw. hendak tidur atau makan...[xxiv].

* Begitu juga dengan sebuah hadis
* "dari Sayyidina Umar ra. beliau berkata : Wahai Rasulullah, adakah seseorang itu boleh tidur dalam keadaan janabah? Baginda saw. menjawab : ‘Ya, jika dia telah berwudhuk maka tidurlah’....[xxv].

Orang yang dalam keadaan hadas besar itu, boleh menggunting rambut, memotong kuku dan keluar kerana tiada larangan di dalam Islam dalam hal sebegini.

Demikianlah hal ehwal dan tatacara Rasulullah saw. Mandi Hadas Besar. Maka, marilah kita berbuat seperti mana perbuatan yang shohih daripadaNya. Tiadalah lain bahawa pada diri Rasulullah saw. itu contoh ikutan yang paling baik. Moga hasil usaha amat sedikit ini boleh jua memberi manfaat, meningkatkan ilmiah serta iltizam rakan-rakan, untuk menjadi insan lebih baik sempena Ramadhan yang penuh barokah ini.

Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Daftar Rujukan :

[i] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Mandi, Bab Jika Bertemunya Dua Khitan, hadis no. 287 dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Nasakhnya Hadis : (Air itu dari air) dan Wajibnya Mandi Disebabkan Bertemunya Dua Khitan, hadis no. 809.
[ii] Lihat : al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/160.
[iii] Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Wajibnya Mandi Bagi Wanita Jika Keluar Mani, hadis no. 736; al-Nasaie dalam Sunannya, Kitab Pergaulan dengan Isteri, Bab Sifat Mani Lelaki dan Mani Wanita, hadis no. 9076 ; Ibn Majah dalam Sunannya, Kitab Bersuci dan Sunnah-Sunnahnya, Bab Wanita Melihat dalam Mimpinya Apa yang Dilihat oeh Lelaki, hadis no. 601; Ahmad dalam Musnadnya, 20/348.
[iv] Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Air itu Dari Air, hadis no. 801; Abu Daud dalam Sunannya, Kitab Bersuci, Bab al-Iksal (Tidak Keluar Air Mani), hadis no. 217.
[v] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Mandi, Bab Jika Seorang Wanita Bermimpi, hadis no. 278 dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Adab, Bab Perkara yang Tidak Perlu Dimalukan Untuk Mendalami Agama, hadis no. 5770.
[vi] Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunannya, Kitab Bersuci , Bab Lelaki yang Mendapati Kesan Basah Setelah Bangun Tidur, hadis no. 236; al-Tirmizi dalam Sunannya, Kitab Bersuci, Bab Orang yang Bangun dari Tidur dan Mendapati Kesan Basah tetapi Tidak Ingat Bermimpi, hadis no. 113; dan Ahmad dalam Musnadnya, 43/264. Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani.
[vii] Lihat : Abdullah bin Abdur-Rahman al-Bassam, Tawdhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 1/273.
[viii] Hadis ini telah ditakhrij.
[ix] Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Nasakhnya Hadis : (Air itu dari air) dan Wajibnya Mandi Disebabkan Bertemunya Dua Khitan, hadis no. 350.
[x] Ibn Abi Syaibah, Mushannaf Ibn Abi Syaibah, 1/164.
[xi] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Datang dan Perginya Haid, hadis no. 314 dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Orang yang Istihadah, Mandinya dan Solatnya, hadis no. 779.
[xii] Lihat : al-Nawawi, al-Majmu’, 2/168.
[xiii] Lihat : Ibn Qudamah, al-Mughni, 1/273.
[xiv] Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunannya, Kitab Bersuci , Bab Seorang yang Masuk Islam dan Disuruh Mandi, hadis no. 355, al-Tirmizi dalam Sunannya, Kitab Safar, Bab Mandi Untuk Orang yang Masuk Islam, hadis no. 605, al-Nasa’ie dalam Sunannya, Kitab Bersuci, Bab Orang Kafir Mandi Jika Masuk Islam, hadis no. 193. Al-Albani menilai sahih hadis ini.
[xv] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Mandi, Bab Berwudhuk Sebelum Mandi, hadis no. 245 dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Sifat Mandi Hadas Besar, hadis no. 316. Lafaz hadis di atas adalah lafaz al-Bukhari.
[xvi] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Mandi, Bab Berwudhuk Sebelum Mandi, hadis no. 246; Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Sifat Mandi Hadas Besar, hadis no. 748.
[xvii] Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Dianjurkan Untuk Orang yang Mandi kerana Haid Untuk Menggunakan Kain yang Diletakkan Miyak Wangi, hadis no. 776.
[xviii] Diriwayatkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya, Kitab Bersuci dan Sunnah-Sunnahnya , Bab Mengenai Haid Bagaimana Seorang Perempuan itu Mandi, hadis no. 641; dan Ibn Abi Syaibah dalam Mushannafnya, 1/100.
[xix] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Seorang Perempuan Menggosok-Gosok Dirinya Ketika Mandi dari Haid, hadis no. 308 dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Dianjurkan Untuk Orang yang Mandi kerana Haid Untuk Menggunakan Kain yang Diletakkan Miyak Wangi, hadis no. 776.
[xx] Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Ikatan Rambut Perempuan yang Mandi Hadas Besar, hadis no. 770; al-Tirmizi dalam Sunannya, Kitab Bersuci, Bab Adakah seorang Perempuan itu Melepaskan Ikatan Rambutnya Ketika Mandi, hadis no. 105; dan Ibn Majah dalam Sunannya, Kitab Bersuci dan Sunnah-Sunnahnya, Bab Mandi Hadas Besar Bagi Wanita, hadis no. 603.
[xxi] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Tayammum, Bab Tanah yang Baik adalah Wudhuk Seorang Muslim yang Menggantikannya daripada Air, hadis no. 337, dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Masjid dan Tempat Solat, Bab Mengqadha’ Solat yang Terlepas Waktunya, hadis no. 682.
[xxii] Lihat : Muhammad bin Idris al-Syaf’ie, al-Umm, 1/58.
[xxiii] Lihat : Ibn al-‘Uthaimin, al-Syarh al-Mumti’ ‘ala Zaad al-Mustaqni’, 1/220.
[xxiv] Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Orang yang Janabah itu Boleh Tidur dan Dianjurkan Baginya Berwudhuk dan Membasuh Kemaluannya Jika Hendak Makan, hadis no. 305.
[xxv] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Mandi, Bab Orang yang Dalam Keadaan Hadas Besar Boleh Tidur Setelah Berwudhuk, hadis no. 285; dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Tidur Orang yang Berhadas Besar dan Dianjurkan Baginya Wudhuk, hadis no. 306.

rujukan lanjut : http://alfiqrah.protajdid.com
loading...

1 Response to "CARA RASULULLAH MENGANGKAT HADAS BESAR!! PENTING"

  1. mari coba keberuntungannya bersama kami hanya dengan
    deposit minimal 10.000 bisa menangkan uang jutaan rupiah
    ditunggu apalagi, segera bergabung bersama kami di FANSPOKER

    ReplyDelete

Didakwah