Kajian Saintifik Buktikan Sembelihan Islam Kaedah Terbaik

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Kajian Saintifik Buktikan Sembelihan Islam Kaedah Terbaik .
Aidiladha atau Hari Raya Korban diraikan oleh semua Umat Islam seluruh dunia sebagai suatu manifestasi kepada semangat pengorbanan tinggi dan tanda ketaatan kepada Allah سبحانه وتعالى. AidilAdha pastinya akan menyaksikan pelaksanaan ibadat korban yang menjadi satu amalan yang amat dituntut sebagai memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S..

Firman Allah سبحانه وتعالى:
فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّـهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِآيَاتِهِ مُؤْمِنِينَ ﴿١١٨﴾
“Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.”
(Surah Al-An‘am Ayat118)
.
Dan Sabda Rasulullah “Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik terhadap sesuatu. Oleh kerana itu, jika kamu membunuh, perbaikkanlah cara membunuhnya, apabila kamu menyembelih maka perelokkanlah cara penyembelihannya serta tajamkanlah pisaunya dan mudahkanlah penyembelihannya itu.” (Hadith Riwayat Muslim)
.
.
Tanggapan Barat

Malangnya musuh-musuh Islam menggunakan isu sembelihan korban sebagaialasan keganasan umat Islam. Masyarakat barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha.

Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh Barat, mereka menggunakan alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas. Kononnya disebabkan amalan menyembelih binatang, ada umat Islam yang berani menyembelih manusia.

Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala bagi memastikan haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh. Kononnya tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia mati.
.
.

Apakah pandangan Barat ini benar?


Kaedah penyembelihan secara Islam yang dikatakan menyeksa haiwan itu, telah lama ditentang oleh para cendkawan dan saintis mereka sendiri. Hasil kajian oleh pakar barat mengakui bahawa banyak kebaikan penyembelihan secara Islam.
 .
.

Sains Akui Kelebihan Sembelihan Mengikut Cara Islam


1.  Pada awal 1927, seorang saintis Jerman Bongart dengan pasukannya melakukan kajian menyeluruh tentang ritual pemotongan anak lembu dan mencapai kesimpulan bahawa jika amalan sembelihan dilakukan dengan betul, maka tidak ada kekejaman yang dijumpai.

2.   Pada tahun 1964, Sarjana Eropah lain seperti Spoerri mempunyai keyakinan yang sama ketika dia membuat kajian tentang sembelihan ritual sekitar 50 haiwan dalam makmal. Amalan sembelihan tidak menunjukkan rasa sakit seperti pembunuhan dengan menggunakan  elektrik atau gas.

3.  Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Jabatan Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar.
.
.

Kajian Profesor Wilhelm Schulze dan Dr Hazim

.
Kajian Profesor Schulze dan Dr Hazim itu bertajuk, `Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing’.

Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan kajian tersebut. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu.
.
Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP).

Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan secara Islam dan kaedah CBP dilaksanakan Barat.
.
.
A.  Hasil Kaedah Islam

Hasil ujian menurut kaedah sembelihan Islam mendapati:
.
1.Tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan. Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.
2.   Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan.
3.     Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan.
4.   Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.
.
.
B.  Hasil Ujian Tembakan CBP Cara Barat
.
1.    Ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu.
2.    Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan.
.
.
Kesimpulan
.
Daripada hasil kajian tersebut, Profesor Schulze dan Dr Hazim menyimpulkan bahawa kaedah sembelihan Islam adalah yang terbaik kerana lebih berperikemanusiaan. Manakala amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan.
.
.
.

Punca Punca Wabak Penyakit Lembu Gila

.
Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia.

Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu.

Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging.

Malah, lebih mengejutkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat.
.
.
.

Kaedah Islam Adalah Cara Yang Terbaik

 .
Islam mengharamkan memakan daging haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada sembelihan.
Firman Allah سبحانه وتعالى:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّـهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ۚ
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih atas nama selain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.”(Al-Maidah, Ayat 3)
.
Fakta saintifik membuktikan bagi setiap penyembelihan, darah haiwan itu perlu dialir keluar. Ini kerana darah adalah medium terbaik bagi mikro organisma membiak. Bahagian ‘spinal cord’ hendaklah dielakkan daripada terpotong ketika sembelihan dilakukan kerana ia akan menyekat aliran darah keluar akibat daripada saluran darah terganggu kesan daripada jantung haiwan terhenti secara tiba-tiba.

Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia.
 .
Dr Zakir Naik, seorang doktor dan pendakwah Islam antarabangsa menyenaraikan kepentingan serta kebaikan penyembelihan mengikut hukum syarak. Kaedah penyembelihan Islam adalah terbaik dan bersih. Ini kerana darah yang menjadi punca pembiakan kuman, bakteria dan toksin yang akan menyebabkan beberapa penyakit dikeluarkan sejurus selepas proses penyembelihan. Selain itu, daging sembelihan kekal segar dalam satu tempoh yang lama.
 .
Kajian lain yang dilakukan di seluruh dunia juga mendapati hasil penyembelihan Islam, daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam sebagaimana ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak sembelih.
.
.

Langkah Sembelihan Islam

.
Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik. Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh.

Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad  juga menegaskan, adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain.

Sabda Rasulullah “Dan apabila kamu menyembelih maka lakukan dengan baik dan hendaklah kamu menajamkan alat sembelihan supaya sembelihan rasa rehat (tidak terlalu sakit).” (Riwayat Imam Muslim.)
.
Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak. Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang.

Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya, kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003.
Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang.
“Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih.
“Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma,” kata Aisha dalam kajiannya.
 .
Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak berperikemanusiaan.
.
.

Pendirian Islam Jelas

.
Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan apa yang diharamkan adalah jelas terutama membabitkan daging.
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۖ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ.
“Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka).” (Surah Al-Maidah; Ayat 5).
.
Berpeganglah dengan kalam Allah سبحانه وتعالى, dan cintailah sunnah Rasulullah , InsyaAllah, berkat kehidupan dunia dan akhirat..
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
.
Artikel Berkaitan:
Kaedah Sembelihan Menurut Islam  (Klik Di Sini)
.
وَالسَّلاَمْ
.
loading...

0 Response to "Kajian Saintifik Buktikan Sembelihan Islam Kaedah Terbaik"

Post a Comment

Didakwah