MENDIDIK ANAK KECIL SUPAYA MUDAH BERSOLAT

Kongsikan di

kaedah mendidik anak kecil solatApa yang menjadikan kita gagal mengajar kecil anak solat?
Ada pelbagai sebab menjadikan kita kurang berjaya menyemai pendidikan untuk solat diawal usia.
Kesibukan yang melampau. Tiada kesedaran. Sikap ibu bapa yang tidak serius.
Masalah yang paling kronik? Kaedah yang lemah.
Tidak menunjukkan cara yang betul, tidak konsisten dalam memberi arahan, mudah memarahi anak, dan tidak menyelitkan kasih sayang.
Ini bukan sahaja membuatkan anak kecil semakin sukar belajar solat, malah menyebabkan mereka beranggapan solat adalah satu perkara yang membosankan.

Anak Masih Terlalu Kecil Untuk Solat?

Anak-anak selayaknya sudah boleh diajar seawal umur dua atau tiga tahun.
Jika seorang anak sudah mengetahui dan dapat membezakan tangan kanan dan kirinya, maka perintahkanlah dia untuk mengerjakan solat
[Riwayat ath-Thabarani)
Untuk mengajarkan anak kecil solat memang amanah yang sukar.
Apatah lagi untuk solat dengan sempurna. Tetapi semakin sukar sesuatu amanah, semakin besar ganjarannya.
mengajar anak solat
Mendidik anak kecil solat bukanlah satu proses yang sukar, jika kaedah kita betul. Malah mereka akan tertunggu-tunggu untuk solat dengan anda.
Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Membina disiplin bukanlah sesuatu yang mudah.
Artikel ini, saya akan berkongsi 12 tips mudah tapi berkesan untuk mengajar anak kecil solat tanpa perlu paksaan.

12 Tips Berkesan Mengajar Anak Kecil Solat Dengan Mudah

kaedah mengajar anak kecil solat

1. Selalu Solat Depan Anak

Ibu bapa adalah model terbaik dalam apa-apa jua perkara pada mata anak-anak.
Mereka akan menyerap dan meniru secara tidak langsung setiap apa yang lakukan ibu bapa mereka. Oleh itu gunakan kelebihan ini dalam mengajar anak kecil solat.
Solatlah di tempat yang sentiasa dapat dilihat oleh anak. Contohnya ruang tamu.
Selalunya anak-anak kecil akan meniru gaya kita solat. Itu adalah petanda yang bagus kerana mereka sudah berminat dan rasa ingin tahu tentang solat.

2. Ajak Anak Solat, Bukan Suruh..

Along, mari solat…”
Along, pergi solat!”
Anda perlu mengajak anak anda solat berjemaah bersama-sama anda, bukan menyuruhnya bersolat sendirian.
Tidak perlu tunggu sehingga anak berumur 7 tahun untuk mengajak mereka bersolat.
Walaupun anak baru berusia 2-3 tahun, ajak mereka supaya solat disebelah kita. Pada waktu ini, bakat meniru mereka sangat hebat.
Lakukan secara konsisten setiap masa untuk mengajak anak pada awal waktu.
Dengan cara ini kita menanamkan mindset supaya mereka bersedia setiap kali masuk waktu solat.
Jika anak-anak sudah bersekolah, ajak anak solat subuh bersama sebelum keluar bekerja atau menghantar anak ke sekolah.

3. Minta laungkan Iqamah

Setiap kali solat berjamaah, minta anak untuk melaungkan iqamah.
Mungkin mereka malu atau tidak tahu pada mulanya, tetapi bimbinglah mereka untuk melaungkan iqamah dengan betul.
InsyaaAllah, ini bukan sahaja mengajar mereka untuk berasa yakin, malah akan membuatkan mereka timbul rasa tanggungjawab setiap kali solat.
Jika anda ada lebih dari seorang anak lelaki, anda boleh gilirkan tugas untuk melaungkan iqamah.

4. Dengarkan Bacaan Dalam Solat Dengan Jelas

Kuatkan bacaan dalam solat supaya anak kita boleh dengar.
Dengan cara ini, secara tidak langsung ia akan membuatkan anak ingat surah-surah lazim yang sering kita bacakan.
Anak juga akan memahami bagaimana sebenarnya tertib (langkah-langkah) dalam solat dilakukan.

5. Bersalaman dan Peluk Lepas Solat

Penting untuk kita bersalaman dengan anak-anak setelah selesai solat setiap kali.
Bersalam yang diikuti dengan pelukan dan ciuman bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah dapat memberi persepsi positif kepada anak bahawa solat ini sebenarnya salah satu aktiviti untuk berkasih sayang.
InsyaaAllah ia akan membuatkan anak rasa gembira dan sentiasa menunggu waktu solat.

6. Beri Pujian Untuk Setiap Perkara Positif

Jika anak menunjukkan kelakuan yang baik seperti tekun dan tidak bermain-main masa solat, berikan mereka pujian.
Juga berikan pujian yang sewajarnya jika mereka menunjukkan persediaan untuk solat seperti memakai telekung, memakai kopiah, menghamparkan sejadah dan sebagainya.
Beritahu mereka cantik memakai telekung / kopiah dan anda bangga mendapat anak yang soleh seperti mereka.
Dengan cara ini mereka akan rasa gembira dan semakin tekun untuk solat.

7. Ajar Wuduk Langkah-Demi-Langkah

Sebenarnya, cara mendidik anak kecil solat adalah bermula dari wuduk.
Jika wuduk sempurna, insyaaAllah solat juga akan sempurna.
Ajarkan anak mengambil wuduk yang sempurna. Bimbing dia secara langkah demi langkah. Tampalkan poster wuduk bergambar dalam bilik mereka.
Bersabarlah, mungkin perkara ini mengambil masa untuk dilakukan dengan sempurna oleh anak.
Tetapi ia akan berbaloi jika mereka sudah pandai.
Perhatikan juga setiap kali dia mengambil wuduk dan tegur secara terus jika dia melakukan kesilapan. Dengan cara ini, setiap teguran akan kekal dalam kepala mereka.
Jangan serahkan perkara ini kepada guru agama semata-mata.

 8. Tazkirah Santai Selepas Solat

Ambil sedikit masa selepas solat untuk memberi tazkirah kepada anak-anak.
Tidak perlu terlalu formal. Cukup dengan gaya bersahaja dan menyentuh perkara-perkara asas seperti rukun solat, soal jawab bacaan surah lazim, kisah nabi-nabi dan isu-isu semasa.
Pada waktu ini, jiwa anak-anak adalah lebih tenang.
Oleh itu ia adalah waktu terbaik untuk memberi pengajaran kerana mereka akan lebih mudah untuk menyerap.

9. Sentiasa Dekatkan Anak Dengan Azan

Ajarkan anak untuk menghormati azan.
Apabila terdengar azan dilaungkan, berhenti bercakap dan beritahu anak supaya diam. Sebutkan cara menjawab azan dengan jelas supaya anak juga boleh dengar.
Selepas itu, baca bersama-sama dengan anak doa selepas azan.
Sentiasa praktikkan ini tidak kira dimana jua sama ada di luar rumah atau di dalam kereta. Amalkan setiap kali mendengar azan.
Ini dapat memberi contoh kepada anak bagaimana untuk menghormati azan, dan secara tidak langsung mengajarkan anak membaca sendiri doa selepas azan.
Jika berkesempatan, ceritakan kepada anak apa tujuan azan dan siapakah orang pertama yang melaungkan azan.

10. Bawa Anak Ke Masjid

Adalah satu rahmat yang besar jika rumah anda berdekatan dengan masjid.
Bawa anak anda ke masjid untuk solat berjamaah bersama-sama. Ini bertujuan mendedahkan mereka dengan suasana solat berjamaah dan menanamkan semangat cintakan masjid.
Jika anda sibuk, usahakan untuk mencari ruang masa sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk menghadiri masjid bersama anak-anak.
Mungkin anak-anak akan bermain-main dan bising, tetapi salah satu kaedah mengawal anak adalah mengajak mereka solat disebelah.
Mungkin anda tidak dapat solat di saf hadapan, tetapi ada dapat mengawal tingkahlaku anak-anak agar tidak mengganggu jamaah lain.
InsyaAllah anak juga akan lebih tekun dan tidak mudah terganggu dengan kawan-kawan lain.

11. Tegur Kesilapan Anak

Selepas sesi berdoa, biasanya ia adalah waktu yang sesuai untuk menegur kesilapan solat anak.
Mulakan dengan pujian.
Setiap kali ingin memperbetulkan sesuatu kesalahan, tarik perhatian anak dengan puji mereka.
Ia bukan sahaja mengekalkan fokus anak, malah ia adalah kaedah mendidik yang sangat setiap anak-anak.
Jadikan setiap kali sesi solat medan untuk bermesra, bukan untuk tempat melepaskan kemarahan.
Ingat, mereka masih kecil. Jangan jadi ibu bapa pemarah.

12. Belikan Telekung atau Kopiah yang Cantik

Salah satu cara untuk meningkatkan mood anak adalah membelikan mereka kelengkapan solat seperti sejadah, telekung dan kopiah.
telekung solat kanak-kanak
Lebih-lebih lagi jika telekung atau kopiah itu cantik.
Dalam bab itu, berikan kebebasan kepada anak untuk memilih apa yang dia berkenan.
“Wah! Cantiknya adik pakai telekung untuk solat.” Puji mereka agar mereka semakin bersemangat.
Dimana nak cari telekung cantik dan selesa untuk si comel?
Saya cadangkan tuan puan dapatkan telekung kanak-kanak Rania kerana ia diperbuat daripada material Lycra lembut dan tidak terlalu tebal.
InsyaaAllah usaha mendidik anak akan lebih senang jika mereka dapat beribadah dalam pakaian kegemaran mereka sendiri.

Penutup: Amalkan Doa Pelembut Hati Anak-Anak

Semakin anak anda membesar, anda tentu susah hati apabila melihat anak anda liat untuk bersolat.
Disuruh beberapa kali, masih tidak berganjak. Terus bertenggek di hadapan televisyen atau ipad.
Cuba amalkan doa dari Surah Ibrahim ayat 40 setiap kali selepas solat dan sebelum tidur iaitu dihembuskan di umbun-umbun mereka.
(40) رَبِّ اجْعَلْنِى مُقِيمَ الصَّلوةِ وَمِن ذُرِّيَتِى رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ
Maksudnya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
Solat adalah modul latihan yang paling ampuh bagi membina kekuatan jiwa, mental dan iman anak-anak.
InsyaaAllah, jika anak-anak dilatih solat sejak kecil, mereka tidak akan berasa kekok untuk mengutamakan solat apabila semakin besar.
Pahala kerajinan anak-anak bersolat, akan turut melimpah kepada ibu bapa yang gigih melatih anaknya itu bersolat.
Maka usah bertangguh lagi dalam mendidik anak anda bersolat.
Selamat menunaikan amanah menjinakkan anak-anak dengan solat!
SUMBER:MUHAMMAD NAIM
loading...

0 Response to "MENDIDIK ANAK KECIL SUPAYA MUDAH BERSOLAT"

Post a Comment

Didakwah