SESIBUK MANA PUN HIDUP KITA, JANGAN LUPA AKAN AGAMA

Kongsikan di

Sebagai individu Muslim, kita semua sedia tahu bahawa beriman kepada hari akhirat merupakan rukum iman yang kelima iaitu kita meyakini bahawa kita akan menghadapi kehidupan yang kekal apabila dibangkitkan daripada mati kelak.
Hari akhirat adalah hari pengakhiran semua makhluk dan alam semesta. Kita semua akan dibangkitkan daripada kubur, dikumpulkan di Padang Mahsyar untuk perhitungan yang adil dan saksama oleh Allah serta menerima keputusan sama ada beroleh balasan syurga atau neraka.
Setiap satu amalan kita di dunia ini akan dihisab dan kita akan menerima ganjaran yang setimpal dengan amalan tersebut. Maka, berpada-padalah kita terhadap kesibukan dunia yang cuma seketika ini. Masa semakin singkat, akhirat kian dekat. Walau sepadat mana pun jadual kita, carilah cara untuk dekat dengan Allah. Bersiap-siagalah kita untuk menghadapi kehidupan akhirat yang bakal menjelang nanti.
Foto Kredit : wallpapercave.com
Foto Kredit : wallpapercave.com

5 PERSIAPAN AKHIRAT VS 5 KESIBUKAN DUNIAWI

Dunia yang fana ini seringkali membuatkan kita terlupa dan mengabaikan pelbagai perkara yang lebih penting dalam menuju hari akhirat.
Mari kita renungkan 5 persiapan akhirat yang sepatutnya diutamakan berbanding 5 kesibukan duniawi yang sedang kita lalui ini.

1. SOLAT VS BERJALAN DI PUSAT MEMBELI-BELAH

Ramai di kalangan kita yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam di pusat belah berbanding solat yang hanya mengambil masa lebih kurang 10 ke 15 minit sahaja. Sedangkan solat itu merupakan tiang agama yang perlu dikerjakan oleh kita semua sebagai orang Islam.
Utamakan solat. Jaga hubungan kita dengan Allah. Sesibuk mana pun kita, usah diabaikan solat ini kerana ianya merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak.
Foto Kredit : picssr.com
Foto Kredit : picssr.com

2. MEMBACA AL-QURAN VS MENGHADAP MEDIA SOSIAL

Di zaman moden ini, media sosial semakin berkembang maju seiring dengan kemajuan teknologi masa kini. Sebut sahaja Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp, Telegram, dan WeChat, hampir semua daripada kita tahu dan pakar tentangnya. Permainan video (video game) juga tidak terkecuali.
Namun, sedarkah kita bahawa kita lebih gigih melayani media sosial ini saban hari demi menjaga hubungan sesama manusia berbanding membaca Al-Quran demi menjaga hubungan dengan Allah? Hubungan dengan manusia tidak kurang pentingnya, tetapi ia tidak patut mengatasi hubungan kita dengan Allah.
Jadikan membaca Al-Quran sebagai amalan harian dan beramal dengan perkara-perkara yang disebutkan di dalam Al-Quran itu. Persiapkan bekalan yang akan kita bawa pada hari akhirat kelak.
Foto Kredit : emfoco360.com.br
Foto Kredit : emfoco360.com.br

3. MAJLIS ILMU VS DRAMA TV

Berapa ramai di antara kita yang tegar mengikuti drama popular di televisyen tanpa tertinggal walau satu episod pun? Berapa ramai pula di antara kita yang konsisten menonton majlis ilmu seperti ceramah agama tanpa tertinggal sebarang tajuk yang dibincangkan dalam setiap siaran? Mungkin lebih ramai yang memilih drama popular di televisyen berbanding ceramah agama untuk ditonton, bukan?
Sudahlah kehidupan kita ini ibarat lakonan di pentas dunia, ditambah pula dengan siaran drama yang melalaikan dan tidak bermanfaat. Penyudahnya, ilmu agama yang sepatutnya menjadi keutamaan, disisihkan begitu sahaja.
Luangkanlah masa untuk kita menambah ilmu pengetahuan tentang Islam kerana ini merupakan salah satu cara untuk kita dekat dengan Allah. Jika tidak dapat menghadiri majlis ilmu, sekurang-kurangnya dengan menonton atau memperdengarkan siaran berbentuk keagamaan seperti ceramah agama, dapat memperbaiki diri kita untuk menghadapi hari akhirat kelak.
Foto Kredit : yoursightmatters.com

4. AYAT AL-QURAN VS GOSIP DI RADIO

Sambil memandu atau membuat sesuatu tugasan, lebih ramai di kalangan kita memilih untuk mendengar gosip dan pelbagai lagi perkara yang dapat membuatkan kita terhibur di corong-corong radio, bukan? Walaupun perkara yang didengari itu tidak mendatangkan faedah kepada kita, namun kita tetap setia mendengarkannya sehingga tergelak ketawa.
Mengapa tidak memilih untuk memperdengarkan ayat Al-Quran? Ianya bukan sahaja dapat menenangkan hati dan mendamaikan jiwa, malah secara tidak langsung dapat menambah pahala sebagai bekalan menuju hari akhirat.
Foto Kredit : radioresults.com.au
Foto Kredit : radioresults.com.au

5. LAGU KEAGAMAAN VS LAGU BERTEMA KEDUNIAAN

Lagu dan irama yang lunak pasti menjadi halwa telinga sesiapa jua yang mendengarnya. Namun, lagu bertemakan keduniaan lebih banyak dimainkan dan diperdengarkan berbanding lagu keagamaan seperti nasyid, zikir dan selawat.
Daripada kita mendengar dan mengalunkan lagu bertemakan keduniaan yang sering kali membuatkan kita lalai, adalah lebih baik jika diperdengarkan nasyid, zikir dan selawat yang mengingatkan kita tentang Allah dan agama Islam. Ia dapat mendekatkan diri kita dengan Allah sekaligus menyedarkan kita bahawa hari akhirat semakin hampir.
cara dekat dengan allah
Foto Kredit : dmi.or.id

MULA PERSIAPKAN DIRI HARI INI JUGA!

Mari sama-sama kita persiapkan diri untuk menghadapi hari akhirat yang kekal abadi. Carilah cara untuk dekat dengan Allah walaupun kita dibelenggu jadual yang padat sepanjang hari. Saling mengingati antara satu sama lain. Kesibukan kita di dunia ini tidak seharusnya mengatasi persiapan kita menuju hari akhirat.
Ajal maut bakal tiba, hari akhirat juga sedang menanti. Jika kita tidak membuat persiapan sekarang, bila lagi kita mahu mulakan? Semoga semua urusan kita dalam memperbaiki amalan pada hari ini dan hari-hari mendatang sentiasa dipermudahkan Allah, In Sha Allah.
sumber: eiyza faiezah
loading...

3 Responses to "SESIBUK MANA PUN HIDUP KITA, JANGAN LUPA AKAN AGAMA"

Didakwah