ANTARA perkara yang dianjurkan Islam ialah bermusafir atau berkelana melihat bumi ALLAH SWT. Dalam al-Quran, ALLAH berfirman: Katakanlah (Muhammad): "Berjalanlah di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan itu." (Surah Al-An'am: 11)
Manusia bermusafir, berjalan ke serata tempat di muka bumi sebagai suatu kerehatan daripada pelbagai hiruk-pikuk kehidupan dunia. Mencari ketenangan dan menikmati keindahan dunia ciptaan Tuhan serta melihat kepelbagaian budaya, bangsa dan masyarakat yang berada di bumi ini.
Inilah yang ALLAH sebut dalam ayat yang dinyatakan di atas, kesemuanya sebagai tanda kebesaran dan keagungan ALLAH di samping mengambil ibrah pengajaran terhadap umat terdahulu yang diazab dan dihancurkan ALLAH kerana mengingkari dan mendustai perintah-Nya.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar RH, Rasulullah SAW bersabda: "Jangan kamu masuk ke tempat mereka yang diazab kecuali kamu menangis, tetapi sekiranya kamu tidak menangis janganlah masuk agar apa yang menimpa mereka itu tidak ditimpakan ke atas kamu".
Dalam hadis ini Nabi SAW mengajarkan kepada kita sekiranya masuk ke tempat umat yang pernah diazab ALLAH hendaklah dalam keadaan menangis. Maksud hadis ini kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dilarang memasuki tempat seperti ini kecuali dalam keadaan hatinya berasa takut yang menghalangnya daripada azab ALLAH. Perasaan takut akan membawa seseorang itu berfikir dan mengambil pengajaran terhadap balasan ALLAH bagi mereka yang mengkufuri-Nya.
JAUH BERJALAN
Kata pepatah "jauh berjalan, luas pandangan" suatu pepatah yang benar maknanya bagi mereka yang jauh perjalanannya. Banyaknya bermusafir makin bertambah ilmu pengetahuannya dan mematangkan diri. Sebahagiannya mampu mengubah cara fikir dan pandangan.
Begitu juga ahli ilmu yang berkelana dalam mencari ilmu sehingga mempengaruhi fatwa-fatwanya. Terkadang pandangannya agak keras, tetapi setelah bermusafir, berjalan melihat budaya masyarakat dan keadaan sesuatu tempat maka pandangannya itu sebenarnya agak lunak. Sebahagian masyarakat yang tidak pernah bermusafir, hanya berkurung di tempatnya sahaja maka dia berasakan apa yang dilakukannya itu sahaja yang benar tetapi segalanya berubah setelah dia bermusafir.
Ada orang berasakan Islamnya cukup dengan hanya mengata dan menyesatkan orang lain, berasakan amalan Islamnya terbaik tetapi setelah bermusafir dan berjalan di muka bumi ALLAH, barulah dia sedar dan lihat kerja dakwah ini masih jauh dan masih banyak yang belum selesai. Begitulah keajaiban dalam bermusafir.
ALLAH berfirman: "Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dada." (Surah Al-Hajj: 46)
ALLAH berfirman lagi: "Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan." (Surah Al-Mulk: 15)
MUSAFIR NEGARA KAFIR
Ada yang bertanya adakah dibolehkan untuk bermusafir ke negara kafir? Persoalan ini sering kali dibangkitkan, kerana di sana terdapat pandangan yang mengharamkan untuk bermusafir ke negara kafir.
Kadang-kadang terfikir bermusafir ke negara kafir itu lebih menyebabkan kita berfikir perihal Islam dan masyarakat Islam di sana. Bagaimana kehidupan dan usaha mereka berdakwah dalam keadaan majoriti masyarakatnya kafir?
Kesemuanya ini memberikan kesempatan untuk kita merenung sejenak apakah perkara utama yang perlu diutamakan dalam dakwah ini. Jika diperhatikan perkembangan Islam di negara seperti ini makin hari makin berkembang seterusnya memberikan semangat untuk terus giat dalam berdakwah.
Berbalik kepada persoalan yang ditanya, Syeikh Muhammad Soleh Al-Usaimin menyatakan, ahli ilmu berpendapat wajib untuk berhijrah iaitu berpindah dari negara kafir kepada negara Islam sekiranya amalan atau praktik Islam itu tidak dibenarkan sama sekali diamalkan di negara tersebut. Sebaliknya jika amalan Islam atau praktiknya boleh diamalkan tanpa sebarang sekatan ketika itu hukumnya tidaklah wajib bahkan sunat.
DUA SYARAT PENTING
Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah syarat yang digariskan oleh ulama bagi mereka yang ingin bermusafir ke negara kafir. Dua syarat yang perlu diberi perhatian penting;
-Pertama, seseorang itu perlu mempunyai ilmu yang mampu untuk menolak sebarang kekeliruan ditimbulkan musuh Islam kerana musuh Islam sentiasa menimbulkan pelbagai kekeliruan terhadap umat Islam.
-Kedua ialah kekuatan agamanya yang menghalang dan memeliharanya daripada fitnah nafsu syahwat. Syarat-syarat ini bukanlah suatu penghalang daripada umat Islam bermusafir tetapi ia adalah suatu penjagaan dan pemeliharaan terhadap akidah dan amalan Islam.
Islam adalah agama yang sangat praktikal, di samping menganjurkan umatnya untuk bermusafir. Islam tidak pernah lupa untuk memberi kemudahan kepada mereka yang bermusafir.
Dalam ibadahnya dibolehkan menjamakkan solat iaitu menghimpunkan dua solat dalam satu waktu. Dianjurkan pula memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua. Boleh melakukan solat di mana-mana sahaja, boleh bertayamum sekiranya tidak terdapat air.
Dari sudut makanan pula dibolehkan memakan sembelihan ahli kitab iaitu Yahudi dan Kristian. Tidak lupa juga doa seorang yang bermusafir itu adalah doa yang mustajab. Seolah–olahnya semua tawaran-tawaran ini menunjukkan galakkan yang bersungguh-sungguh untuk umat Islam bermusafir.
Air sekiranya bertakung dan tidak bergerak akan menyebabkannya rosak begitulah ibaratnya manusia, jika tidak bergerak, berjalan dan berfikir akan menyebabkannya jumud tidak berkembang. Sungguh ajaib bermusafir, maka bermusafirlah!!!
Sumber: Sinar Harian
loading...
0 Response to "Bermusafirlah Padanya Banyak Keajaiban"
Post a Comment