Dilema Wanita: Apabila Perigi Mencari Timba

Kongsikan di


Maksud ‘perigi mencari timba’ kerap digunakan oleh masyarakat terdahulu bagi memberi maksud kepada golongan wanita yang melamar kaum lelaki; yakni wanita yang memulakan perkenalannya dengan lelaki. Perkara ini dilihat sebagai ‘canggung’ sedikit kerana secara adatnya pihak lelaki yang terlebih dahulu memulakan lamaran.
Persoalannya, adakah perbuatan ‘perigi mencari timba’ ini salah?
Dalam satu kisah, telah datang seorang wanita kepada Baginda Rasulullah SAW dan menawarkan dirinya kepada baginda dengan berkata:
“Wahai Rasulullah, apakah engaku berhajat kepadaku? Lalu ketika menceritakan hadis ini maka menyampuklah anak perempuan Anas RA dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas RA: Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawarkan diri) lebih mulia dan baik darimu kerana dia mencintai Nabi SAW dan menawar dirinya demi kebaikan.”
Hadis riwayat Bukhari, Nasaie & Ibn Majah
Jadi tiadalah salah sekiranya berlaku ‘perigi mencari timba’ ini, cuma ianya bukanlah kebiasaan dan jarang berlaku dalam masyarakat kita. Namun, ianya bukanlah sesuatu yang haram dalam Islam.
Dalam sesetangan situasi seperti seorang wanita yang telah bersedia untuk berpasangan atau berkahwin tetapi masih belum dikurniakan jodoh, cara ‘mencari timba’ ini dilihat sebagai salah satu usaha atau ikhtiarnya ke arah mencari pasangan hidupnya.
Cara ini juga sangat berguna jika seseorang lelaki itu mempunyai sifat yang terlalu pemalu bagi meluahkan hajat dan perasaanya kepada seseorang wanita itu, sehingga menghalangnya untuk berpasangan. Jadi tidak ada salahnya jika seorang wanita tersebut yang memulakan bicara terhadap lelaki itu terlebih dahulu.
Mungkin kita lupa akan sebuah kisah menarik tentang ini, iaitu Rasulullah SAW sendiri telah dilamar oleh Saidatina Khadijah RA melalui seorang utusan yang bernama Nafisah. Lalu pergilah Nafisah menemui Rasulullah dan bertanyakan keadaan Baginda yang masih belum beristeri dan menyatakan hasrat Khadijah kepada Baginda.
Mendengarkan nama majikannya itu, lantas Nabi Muhammad pun berkata ;
“Apakah Khadijah sudi menerimaku? Padahal dia seorang wanita yang berharta. Bahkan lebih ramai pemuda yang jauh lebih mulia dan kaya daripadaku yang cuba melamarnya?”
Lalu Nafisah berjaya menyakinkan niat baik Khadijah terhadap Baginda. Nabi Muhammad SAW kemudiannya menyerahkan perkara tersebut kepada bapa saudaranya, Abu Talib. Dan datanglah Amar bin Asad selaku wali daripada Khadijah menemui Rasulullah. Lalu terjalinlah sebuah pernikahan yang indah berasbabkan keberanian dan niat suci Khadijah RA.
Bahkan, pernah dicatatkan bahawa Khadijah sendiri dikatakan pernah bertemu Nabi Muhammad dan menyatakan lamarannya itu;
“Saudaraku, mengingatkan hubungan yang ada di antara kita (bangsa Quraisy) dan kebesaran serta kemuliaan saudara di kalangan kaum serta kejujuran, akhlak terpuji dan sifat lurus dan amanah yang ada padamu itu , maka saya sangat ingin untuk hidup bersama dengan berkahwin dengan saudara wahai Muhammad.”
Sirah Ibnu Hisyam : Halaman 204
Sebenarnya hal yang sama boleh dipratikkan pada hari ini. Dengan menggunakan khidmat utusan atau ‘orang tengah’. Sudah tentu segala niat dan ucapan boleh disampaikan tanpa apa-apa selindung dan malu.
Jadi, seharusnya ‘perigi mencari timba’ ini tidak perlu dilabelkan sebagai perbuatan yang negatif dan dianggap sebagai pelakuan buruk. Anggapan wanita yang melamar lelaki itu sebagai ‘berakhlak buruk’ dan ‘tidak malu’ juga seharusnya dibuang jauh-jauh. Pada masa sama sikap berani kaum wanita ini dihormati dan disanjung sebagai salah satu ikhtiar dalam terbinanya lebih banyak keluarga Muslim.

Sumber : tazkirah.net
loading...

0 Response to "Dilema Wanita: Apabila Perigi Mencari Timba"

Post a Comment

Didakwah