Bersin Ketika Solat, Adakah Perlu Ucapkan ‘Alhamdulillah’?

Kongsikan di



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, suka untuk kami sebutkan di sini mengenai sunnah-sunnah serta adab-adab yang diajarkan oleh Islam ketika seseorang itu bersin. Antara yang disebutkan oleh para ulama di dalam kitab-kitab fiqh mereka atau selainnya, kami nukilkan seperti berikut:
  1. Disunatkan bagi orang yang bersin, setelah selesai bersinnya itu mengucapkan hamdalah (Alhamdulillah). Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:
  2.  
إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ
Maksudnya: Sekiranya salah seorang dari kalian telah bersin, maka ucapkanlah: “Alhamdulillah”.
Riwayat al-Bukhari (6224) & Abu Daud (5033)

  1. Bagi mereka yang mendengar ungkapan hamdalah dari orang yang bersin disunatkan untuk menjawapnya dengan lafaz: يَرْحَمُكَ اللَّهُ. Perbuatan ini dinamakan dengan tashmit ( تَشْمِيتٌ ). Tashmit bermakna mendoakan dengan kebaikan dan juga barakah. Ianya juga berdasarkan sambungan dari hadis yang telah disebutkan sebelum ini iaitu:
  2.  
إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ‏.‏ وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ‏
Maksudnya: Sekiranya salah seorang dari kalian telah bersin, maka ucapkanlah: “Alhamdulillah” (Segala puji hanya bagi Allah) dan bagi mereka yang mendengarnya (hamdalah tersebut), maka ucapkanlah: “Yarhamukallah” (Semoga Allah merahmatimu).
Riwayat al-Bukhari (6224) & Abu Daud (5033)

  1. Kemudiannya, bagi orang yang bersin tersebut, setelah mendengar ungkapan tashmit ( يَرْحَمُكَ اللَّه ), maka disunatkan untuk menjawab kembali tashmit tersebut dengan ungkapan: يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ‏.‏ وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ‏.‏ فَإِذَا قَالَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ‏.‏ فَلْيَقُلْ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ 

Maksudnya: Sekiranya salah seorang dari kalian telah bersin, maka ucapkanlah: “Alhamdulillah” (Segala puji hanya bagi Allah) dan bagi mereka yang mendengarnya (hamdalah tersebut), maka ucapkanlah: “Yarhamukallah” (Semoga Allah merahmatimu). Sekiranya disebutkan kepadanya: “Yarhamukallah” (Semoga Allah merahmatimu), maka ucapkanlah (sebagai balas): “Yahdikumullah wa yuslih balakum” (Semoga Allah memberikan petunjuk hidayah dan memperbaiki urusan kalian”.
Riwayat al-Bukhari (6224) & Abu Daud (5033)

  1. Sekiranya seseorang muslim itu terlupa untuk mengucapkan hamdalah selepas bersin, digalakkan bagi orang yang melihatnya untuk mengucapkan hamdalah agar orang yang bersin tadi dapat mengucapkan hamdalah (setelah tersedar yang dirinya belum mengucapkan hamdalah) untuk dia mengucapkan tashmit.

  1. Sekiranya seseorang muslim itu bersin dan tidak mengucapkan hamdalah, maka tidak disunatkan untuk orang lain mengucapkan tashmit. Ini berdasarkan sebuah hadis marfu’ daripada Abu Burda:
  2.  
إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَحَمِدَ اللَّهَ فَشَمِّتُوهُ فَإِنْ لَمْ يَحْمَدِ اللَّهَ فَلاَ تُشَمِّتُوهُ
Maksudnya: Jika seseorang dari kalian bersin, maka pujilah Allah dan kemudian bertashmitlah (bagi yang mendengar ungkapan hamdalah). Jika tidak memuji Allah (mengucapkan hamdalah) maka janganlah bertashmit untuknya.
Riwayat Muslim (2992)

Bersin Ketika Sedang Solat
Sekiranya seorang yang sedang solat (fardu atau sunat) lalu terbersin, adakah boleh bagi dirinya untuk mengucapkan hamdalah?

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa bagi seseorang yang sedang solat, kemudian terbersin maka disunatkan untuk mengucapkan hamdalah dan ucapan tersebut hanya didengari oleh dirinya sendiri dan itulah mazhab Syafi’e.[1]

Al-Imam al-Zarkashi Rahimahullah pula menyebutkan bahawa bagi mereka yang bersin ketika sedang solat maka hendaklah digerakkan lidahnya bagi menyebut hamdalah dan didengari oleh dirinya adapun al-Imam al-Ghazali Rahimahullah secara jelas di dalam al-Ihya’ mengatakan perlu mengucapkan hamdalah di dalam hati tanpa menggerakkan lidah.[2]

Adapun untuk mengucapkan tashmit di dalam solat, maka ianya tidak dibenarkan dan boleh membatalkan solat.[3] Ini kerana ungkapan tashmit ( يَرْحَمُكَ اللَّه ) di kira sebagai satu perbualan adami[4]. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW pernah berkata kepada Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami RA selepas selesai solat:

إِنَّ هَذِهِ الصَّلاَةَ لاَ يَصْلُحُ فِيهَا شَىْءٌ مِنْ كَلاَمِ النَّاسِ إِنَّمَا هُوَ التَّسْبِيحُ وَالتَّكْبِيرُ وَقِرَاءَةُ الْقُرْآنِ
Maksudnya: Sesungguhnya solat ini bukanlah padanya tempat untuk berbual dengan perbualan manusia bahkan ianya adalah tasbih, takbir dan bacaan al-Quran.
Riwayat Muslim (537)

Ini kerana sebelum itu di dalam solat, Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami RA telah mengucapkan tashmit dan Nabi SAW menegurnya selepas solat akan perbuatannya itu melalui hadis di atas. Meskipun pada asalnya batal solat Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami RA (kerana berkata-kata) namun Nabi SAW tidak menyuruh untuk mengulangi solatnya kerana pada waktu itu, Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami RA baru sahaja memeluk Islam.[5]

Kesimpulan
Bagi isu ini, bagi mereka yang bersin ketika sedang bersolat maka disunatkan untuk mengucapkan hamdalah namun bagi yang mendengarnya tidak dibolehkan untuk mengucapkan tashmit kerana ianya boleh membatalkan solat.

Adapun mengucapkan hamdalah tersebut, perlulah diucapkan dengar perlahan sekadar didengari oleh dirinya sendiri agar tidak menganggu jemaah solat yang lain. Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
loading...

0 Response to "Bersin Ketika Solat, Adakah Perlu Ucapkan ‘Alhamdulillah’?"

Post a Comment

Didakwah