11 Checklist Persediaan Ramadhan Yang Patut Anda Lakukan

Kongsikan di


Kita seringkali berdoa, “Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. Namun, sejauh manakah persediaan kita untuk menghadapinya?

“Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada di bulan Ramadhan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan.”
Riwayat Ibnu Abi Dunya
Masih ada masa untuk kita siapkan diri sempena Ramadhan kali ini. Jom!

#1 – Bertaubat

Ramadhan bulan suci lagi mulia. Sanggupkah kita berhadapan dengannya dengan penuh kekotoran dan dosa? Bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh dan menyesali dosa yang telah kita lakukan.

Semakin hampir dengan Ramadhan, maka semakin banyak perlu kita insafi dan sesali perbuatan kita. Maka apabila sudah berada di bulan Ramadhan, kita akan makin mudah untuk terus bertaubat dan keampunan daripada Allah pasti hampir kepada kita. InsyaAllah.

#2 – Puasa Sunat

Dari Aisyah r.a berkata:

“Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w lebih banyak berpuasa sunat daripada bulan Sya’ban. Beliau berpuasa di bulan Sya’ban seluruh harinya, iaitu beliau berpuasa satu bulan Sya’ban kecuali sedikit (beberapa) hari.”
Riwayat Muslim dan Ibnu Majah

Dengan melatih diri dengan berpuasa sunat di bulan Sya’ban, pasti setelah tibanya Ramadhan, mudah untuk kita teruskan ibadah tersebut dengan sempurna dalam keadaan yang cukup bersedia.

#3 – Membaca al-Quran

Tiap kali Ramadhan, pasti ramai yang memasang impian untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran. Namun, tak ramai yang bersedia lebih awal pada bulan sebelumnya untuk melazimi bacaan al-Quran.

Kebiasaannya sukar untuk kita habiskan bacaan dengan sempurna pada bulan Ramadhan jika kita tidak jadikan amalan membaca al-Quran sebagai rutin harian. Lihat sahaja di penghujung Ramadhan, pasti ada sahaja dugaan yang menyebabkan kita tidak sempat untuk menghabiskan bacaan kita.

#4 – Qiamullail

Bukan sahaja di bulan Ramadhan, malah pada hari biasa di bulan-bulan selain Ramadhan, qiamullail bukan sesuatu yang mudah untuk kita lakukan, terutamanya kepada yang jarang mengamalkannya.

Oleh sebab itulah, perlunya kita cuba untuk melatih diri agar bangun di malam hari untuk beribadah. Takkan kita mahu lepaskan sahaja malam Lailatul Qadar berlalu pergi? Ayuh bangun dan beribadahlah!

#5 – Berzikir

Jika kita sudah biasa dan melazimi amalan berzikir, teruskan malah banyakkan lagi amalan berzikir menjelang bulan Ramadhan nanti. Cuba untuk merasai ‘kelazatan’ berzikir seperti zikir selepas solat serta zikir pagi dan petang (boleh cuba amalkan bacaan zikir Mathurat).

Penting untuk kita sentiasa mengingati Allah dalam hidup seharian kita. Apatah lagi jika ianya di bulan Ramadhan, bulan penuh rahmah dan berkah. Amalkan untuk bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebagai rutin harian.

#6 – Mendalami Ilmu Fekah Berkaitan Puasa

Tiba saja bulan Ramadhan, ada saja persoalan yang timbul seperti persoalan tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa, jumlah rakaat solat terawih, amalan-amalan sunat dan banyak lagi.

Apa kata untuk tahun ini, kita usahakan lebih awal untuk tahu berkenaan perkara tersebut. Ada banyak buku di luar sana yang boleh kita jadikan rujukan. Kita juga boleh terus bertanya kepada para ilmuwan yang ada untuk merungkai persoalan yang bermain di minda.

#7 – Mendengar Ceramah Berkenaan Ramadhan

Selain daripada bahan bacaan, kita juga digalakkan untuk menuntut ilmu secara berdepan dengan cara membiasakan diri ke majlis-majlis ilmu. Alhamdulillah di negara kita sebenarnya banyak ceramah agama yang boleh kita ikuti.

Hampir setiap malam, ada sahaja masjid yang menganjurkan aktiviti ceramah dan sebagainya. Makin dekat dengan Ramadhan, insyaAllah makin banyak ceramah mengenai Ramadhan yang akan dianjurkan. Hanya tinggal keinginan dan usaha kita sahaja untuk datang ke sana.

#8 – Mengingatkan Orang Lain Tentang Kedatangan Ramadhan

Hari-hari yang dilalui pasti ada saja orang yang kita temui. Tidak kiralah sama ada mereka itu kawan kita, rakan sepejabat atau keluarga kita sendiri. Rugi sebenarnya jika kita hanya bercakap perkara-perkara keduniaan sahaja selama ini.

Cubalah untuk saling mengingati sesama kita. Sambil-sambil makan atau tengah lepak bersama kawan, ingatkan mereka bahawa Ramadhan dah dekat. Mudah kan? Itu juga salah satu usaha dakwah yang ada nilainya di sisi Allah. InsyaAllah.

#9 – Buat Persiapan Ramadhan Bersama Keluarga

Berbahagialah sebuah keluarga jika di dalamnya sentiasa dipenuhi dengan kehidupan beragama. Keluarga kita adalah orang yang paling rapat dengan kita. Ajaklah isteri dan anak-anak untuk turut serta ke majlis ilmu berkenaan Ramadhan.

Ibu bapa juga boleh ingatkan anak-anak agar sentiasa bersedia untuk menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan nanti. Amalkan berpuasa sunat bersama mereka. Bersahur dan berbuka bersama-sama. Ramadhan nanti pasti lebih mudah untuk mereka lalui.

#10 – Sentiasa Memakmurkan Masjid

Datanglah dan solat berjemaah di masijd terutamanya kepada lelaki. Hidupkan semula sunnah-sunnah ibadah yang lama kita tinggalkan. Datang awal ke masjid sebelum azan dan lakukan solat sunat dan berniat iktikaf.

Jika sebelum ini, selepas solat terus kita bangun dan menyambung aktiviti seharian. Namun untuk kali ini, apa kata kita cuba ambil masa untuk berzikir dan membaca al-Quran. Latih diri lebih awal untuk membanyakkan ibadah dan memakmurkan masjid dengan aktiviti keagamaan. Gotong-royong membersihkan masjid bersama masyarakat setempat juga sangat bagus untuk dianjurkan.

#11 – Hindari Maksiat

Kemaksiatan menjadi sebab hilangnya nikmat, datangnya azab, wajah menghitam, hati mengeras, melemahkan tubuh badan, dan mengurangi rezeki. Bahkan nanti di akhirat, dosa dan maksiat menyebabkan seseorang mendapat azab dan seksa yang tidak terperi.

Sebelum datangnya bulan keampunan, sucikan diri kita daripada dosa dan maksiat. Manfaatkan bulan berkah dan rahmah untuk mendapatkan limpahan kurnia dan ampunan dari-Nya. InsyaAllah kita keluar dari Ramadhan dalam keadaan suci dari dosa-dosa.

Kesimpulan

Masih sempat untuk kita mempersiapkan diri untuk menghadapi Ramadhan. Banyakkan berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan yang bermaksud,

“Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”.
Inilah doa yang sentiasa diulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Jangan sia-siakan Ramadhan kali ini. Ayuh berdoa dan beribadahlah seperti tiada lagi hari esok!

SUMBER
loading...

0 Response to "11 Checklist Persediaan Ramadhan Yang Patut Anda Lakukan"

Post a Comment

Didakwah