5 Amalan Rasulullah Menjelang Ramadhan Al-Mubarak

Kongsikan di


Rasulullah saw pernah bersabda :

“Orang yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh harapan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

Riwayat Bukhari Dan Muslim

Ramadhan yang telah tinggalkan kita setahun lalu, kini datang kembali membuka ruang dan peluang kepada sekalian manusia meraih pahala dan keampunan dari Allah swt.

Sebagaimana sabda baginda, bulan Ramadhan adalah bulan keampunan yang mana Allah swt akan mengampuni dosa, memaafkan kesalahan dan membebaskan manusia dari neraka.

Justeru, untuk menghargai kehadiran bulan mulia ini marilah kita berazam untuk meningkatkan amal soleh kita disamping mengharapkan keampunan dari Allah swt.

Taubat

Adalah lebih disarankan kita mensucikan diri kita terlebih dahulu dengan melakukan solat sunat taubat untuk menyambut bulan mulia ini. Selain taubat, kita basahkan bibir kita dengan memperbanyakkan zikir dan istighfar.

Ketika beristighfar, hayati makna istighfar yakni kita memohon keampunan dari Allah Yang Maha Pengampun. Sentiasa menghadirkan rasa berdosa terhadap Allah swt akan dosa-dosa yang telah kita lakukan tahun ini.

Sentiasa hadirkan rasa duka terhadap kesilapan diri sendiri. Mudah-mudahan dengan itu kita menjalani bulan Ramadhan kelak dengan hati dan jiwa yang suci dari dosa noda.

“Sungguh, Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang yangmenyucikan diri.”
Al-Baqarah : 222

Muhasabah

Tempoh yang ada ini sebelum memasuki bulan Ramadhan, kita cuba mencari masa untuk muhasabah diri kita sepanjang setengah tahun ini.

Marilah kita merenung satu demi persatu perjalanan dan amalan yang sudah kita lakukan. Bertanya pada diri kita, adakah perjalanan hidup lebih menuju kebaikan atau sebaliknya?

Amalan sunat kita semakin bertambah atau semakin berkurang? Adakah akhlak kita semakin membaik atau sebaliknya? Adakah kita telah melakukan amalan soleh yang membuahkan pahala yang berterusan?

Membaca Al-Quran

Ramadhan adalah bulan yang mana diturunkan al-Quran justeru mari kita lebih merapati kalamullah di bulan mulia ini. Jika sebelum ini kita hanya membaca al-Quran sekali sehari, maka untuk raikan Ramadhan kita tingkatkan jumlah bacaan dalam sehari.

Jika berazam mahu menghafal al-Quran di bulan Ramadhan, cuba contohi cara ini.

Pasang MP3 alunan al-Quran surah atau ayat yang ingin dihafal, dengar dengan baik, kemudian cuba menulis semula tanpa melihat al-Quran. Tulis berulang kali. InsyaAllah berkesan. Tips ini perkongsian seorang syeikh merangkap pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa.

Ketahuilah, perbuatan paling Rasulullah saw sukai pada bulan Ramadhan adalah mengisi hari-harinya dengan membaca al-Quran, baginda menjadikan sebahagian besar waktunya dengan al-Quran.

Kreatifkan Sedekah

Ramadhan hadir dalam hidup kita sekali setahun, maka ambillah peluang bulan barakah ini dengan kreatifkan dan perbanyakkan sedekah. Sekiranya sebelum ini kita bersedekah kepada tabung masjid, maka Ramadhan ini kita boleh bersedekah dengan membeli bekalan makanan dan sedekahkan kepada rakan atau saudara.

Berikan kejutan tersebut dengan menghidangkan makanan kegemaran mereka. Elok juga kita menziarahi pesakit-pesakit di hospital dan memberi hadiah kepada pesakit Muslim dan bukan Islam. Gembirakan mereka dengan pemberian kita.

Rasulullah saw sendiri menjalani hari-harinya di bulan Ramadhan dengan bersifat dermawan. Yakinlah dengan janji Allah swt akan membalas setiap perbuatan sesuai dengan apa yang kita lakukan.

Hidupkan Malam

Mula biasakan diri bangun malam supaya di bulan Ramadhan kelak lebih mudah kita menghidupkan malam dan memburu Lailatulqadar. Setkan loceng penggera sejam sebelum waktu Subuh, paling kurang kita dapat mendirikan solat sunat Tahajjud dan Taubat.

Sekiranya masih mempunyai waktu, bacalah al-Quran, tadabbur dan muhasabah diri kita.

Apabila tiba Ramadhan, Nabi Muhammad saw melakukan qiamulail kerana tiada qiamulail yang paling mulia melainkan qiamulail yang dilakukan pada bulan Ramadhan, tidak ada sujud yang paling mulia selain sujud yang dilakukan di bulan Ramadhan, tidak ada wuduk, zikir, sedekah, doa dan tangisan yang paling baik disisi Allah swt selain yang dilakukan pada bulan Ramadhan kareem.

Ramadhan adalah peluang besar kurniaan Allah swt kepada sekalian manusia untuk melatih diri menjadi lebih baik. Rugilah kaum Muslimin yang mengetahui kelebihan Ramadhan kareem namun tidak memanfaatkannya untuk memohon keampunan, meraih rahmat Allah swt, dan tidak mengharapkan pembebasan dari api neraka.

Hidupkan Ramadhan dengan memperbanyakkan masa bersama al-Quran kerana isi kandungan kalamullah adalah pendidikan Rabbani dan cahaya bagi hati.

Tadabburlah al-Quran sehingga kita mampu menangis kerana mengakui kebesaran Allah swt yang terkandung di dalamnya.

Mudah-mudahan Allah swt akan menghadirkan kemanisan dan keberkatan dalam diri kita sepanjang Ramadhan tahun ini.

SUMBER
loading...

1 Response to "5 Amalan Rasulullah Menjelang Ramadhan Al-Mubarak"

  1. ayo dicoba keberuntungannya bersama dengan kami di fanspoker^^com
    dapatkan juga bonus rollingan dan refferalnya

    ReplyDelete

Didakwah