ZAKAT FITRAH ORANG BERADA DI LUAR NEGARA

Kongsikan di


Soalan; Ustaz. Persoalan saya adalah : Skrg saya sekeluarga berada di Perth Australia, semenjak 23hb Feb 2008 dan insya Allah akan berada disini selama 3-4 tahun sehingga isteri saya menamatkan pengajian.
Berkenaan dengan pembayaran Zakat Fitrah ini, bolehkah saya membayar melalui internet ( ie Pusat Zakat, MBB2u etc ) dan berapakah kadar yg sepatutnya saya bayar? Adakah bergantung kepada kadar yg ditetapkan oleh Islamic Organization / Center di Perth ini atau boleh dibayar kadar seperti di Malaysia atau mungkin kena dikira secara 'pro-rata'kan bergantung kepada jumlah hari/bulan saya menetap di Malaysia dan di Perth ini?
Bagaimanakah situasinya dan kadarnya sekiranya saya bercadang utk berada & beraya di Malaysia (dan pada ketika itu saya belum lagi menbayar Zakat Fitrah).
Harap Ustaz tidak keberatan utk memperjelaskan dan terima-kasih. Wassalam.

Jawapan;

Zakat fitrah adalah zakat diri. Oleh ia hendaklah dikeluarkan di tempat di mana diri kita akan berada semasa terbenam matahari hari terakhir Ramadhan (yakni bermula malam pertama Syawal) iaitulah waktu sebenar bagi kewajipan mengeluarkan zakat fitrah menurut mazhab Syafi’ie, Ahmad dan beberapa ulamak yang lain.[1] Jadi, jika saudara bercadang untuk berhari raya di Malaysia di mana sebelum atau semasa terbenam matahari itu saudara jangka akan berada di Malaysia, maka hendaklah saudara membayar zakat fitrah di Malaysia. Dan jika saudara akan beraya di Australia, hendaklah saudara membayar zakat fitrah di sana. Dikecualikan jika saudara mendapati ada ahli keluarga yang miskin di Malaysia atau ada orang yang lebih berhajat di Malaysia yang lebih memerlukan zakat saudara, maka ketika itu haruslah saudara memindahkan zakat ke Malaysia sekalipun saudara berada di Australia. Begitu juga, harus saudara memindahkan zakat dari Malaysia ke tempat lain jika ada orang yang lebih berhajat di tempat itu walaupun saudara berada di Malaysia. Kadar zakat pula hendaklah mengikut ketetapan pihak berkuasa agama di tempat saudara mengeluarkan zakat.

Mengenai hukum membayar zakat secara online (internet banking) telah saya jelaskan sebelum ini. Sila baca di; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/zakat-secara-online-internet-banking.html).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatawa Mu’asharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, 1/135.
2. az-Zakah, Syeikh Abdullah ‘Ali al-Abhar, hlm. 72.
3. Fiqh az-Zakah, Syeikh Abdur-Razzaq Nasir Muhammad, hlm 212.

Nota Kaki;

[1] Walaupun waktu wajib adalah di penghujung Ramadhan (iaitu apabila terbenam matahari di hari terakhir Ramadhan), namun zakat fitrah harus dibayar lebih awal dari masa tersebut. Ketetapan waktu bagi mengeluarkan zakat fitrah mengikut menurut mazhab Syafi’ie adalah seperti berikut;
1. Waktu wajib : iaitu dengan terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan.
2. Waktu harus : iaitu sebaik sahaja masuknya bulan Ramadhan dan berterusan hingga ke hari raya (sebelum terbenamnya matahari). Jadi, sepanjang bulan Ramadhan –menurut mazhab Syafi’ie- adalah waktu yang diharuskan untuk kita membayar zakat fitrah.
3. Waktu sunat ; iaitu pada pagi hari raya sesudah sembahyang subuh dan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya atau sebelum solat hari raya didirikan.
4. Waktu makruh; iaitu mengeluarkan zakat fitrah sesudah solat aidil-fitri tetapi sebelum terbenam matahari pada hari raya.
5. Waktu haram; iaitu melambatkan pembayaran zakat fitrah hingga selepas terbenam matahari pada hari raya.

SUMBER
loading...

0 Response to "ZAKAT FITRAH ORANG BERADA DI LUAR NEGARA"

Post a Comment

Didakwah