Cantikkah Kita: Antara Perspektif Manusia Dan Pandangan Islam

Kongsikan di

Image result for muslimah


Wanita Dan Kecantikan
Wanita sangat sinonim dengan kecantikan. Nabi Muhammad SAW sendiri sangat meraikan fitrah wanita yang mencintai kecantikan. Buktinya, panggilan Baginda ke atas isterinya, Aisyah ialah Al-Humaira’ yakni putih kemerah-merahan. Panggilan manja ini sangat digemari oleh Saidatina Aisyah kerana itulah cara baginda mengiktiraf kecantikannya.
Di sisi Islam, kecantikan bukanlah sesuatu yang diharamkan selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat. Bahkan dalam Al-Quran sendiri adanya surah Az-Zukhruf, yang bermaksud perhiasan. Nah! Bukankah perhiasan digunakan untuk mencantikkan?
Walaubagaimanapun, definisi cantik membawa maksud yang berbeza apabila merentasi budaya dan negara. Sebagai muslim, adalah menjadi satu galakan untuk kita memahami perbezaan ini agar kita saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain. Bukankah Allah telah berfirman:
”Wahai manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal”(Al-Hujurat:13)
Justeru hari ini mari kita meneliti beberapa fakta yang dikaitkan dengan kecantikan mengikut definisi beberapa buah negara.

#1 – Eropah

Pada abad ke-20 wanita dianggap cantik apabila tinggi dan langsing. Sehingga ke hari ini, tidak hairanlah insan yang dipilih untuk memperagakan pakaian atau fesyen terkini di Eropah terdiri daripada golongan tersebut. Kelangsingan dan ketinggian tubuh melambangkan imej wanita yang menitikberatkan soal penjagaan kecantikan dan kesihatan diri.

#2 – Afrika dan India

‘Big is beautiful’. Itulah definisi kecantikan di mata mereka. Indikator kecantikan wanita bagi komuniti berkulit gelap ini ialah terletak kepada saiz tubuh yang agak berisi. Dalam kata lain, semakin berisi tubuhnya semakin cantiklah wanita tersebut. Bagi wanita yang sudah berkahwin pula, saiz tubuh yang besar melambangkan kebahagiaan hidup dan kesuburan wanita itu.

#3 – Thailand dan Myanmar

Seorang wanita dianggap cantik apabila memiliki leher yang panjang. Sekitar umur lima tahun, leher mereka akan mula dipasang dengan gelang tembaga yang melingkar dan berlapis-lapis. Ini bagi mengelakkan leher mereka menjadi besar dan kembang. Oleh itu, jangan terkejut jika berkunjung ke negara Asia itu, anda akan lihat ramai wanita yang bergelung di leher mereka.

#4 – Kalimantan

Definisi ‘cantik’ bagi perempuan di sana lebih banyak terfokus pada bahagian telinga. Semakin lanjut telinga, semakin cantiklah wanita itu. Caranya adalah dengan menindik bahagian cuping telinga dan menggantungkan anting-anting logam yang berat untuk ‘melanjutkan’ telinga tersebut.
Di sana, budaya menindik dan ‘melanjutkan’ telinga bukan sahaja bertujuan untuk mencantikkan malah ia menjadi lambang kehormatan sesuatu puak atau suku tersebut.

#5 – Korea

Di negara Asia timur ini, wanita yang mempunyai kelopak mata dianggap cantik kerana kebanyakkan wanita di sana mempunyai mata yang sepet. Walaubagaimanapun, secara umumnya, mereka masih mementingkan kecantikan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Ini kerana Korea mempunyai teknologi pembedahan plastik yang sangat maju bagi mencantikkan struktur tubuh yang sedia ada.

#6 – Ethiopia

‘Beauty is pain’. Itulah ungkapan yang selayaknya diberikan kepada warga Ethiopia yang masih meneruskan budaya melebarkan bibir menggunakan piring. Adat ini sering dilakukan ke atas golongan anak dara beberapa bulan sebelum pernikahan mereka. Dengan berbibir lebar, mereka bukan sahaja kelihatan cantik malah lebih dihormati oleh kaum lelaki dalam puak mereka.

Cantik Di Sisi Allah

Sungguh, dalam Islam definisi ‘CANTIK’ itu bukan hanya disandarkan pada bentuk tubuh, keayuan wajah mahupun fizikal wanita itu sendiri. Bahkan, ia melangkaui segala perkara itu. Fahamilah sabda Baginda Nabi SAW ini dan berusahalah untuk menjadi cantik dan berseri-seri di sana nanti.
“Umatku akan tampil (datang) pada hari kiamat kelak dengan wajah yang bersinar-sinar, tangan dan kakinya berkilau dari bekas-bekas wuduknya.”(Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim)
Hakikat cantik di sisi Allah bukan hanya pada fizikal semata-mata tetapi menjurus kepada kecantikan amal yang dipersembahkan kepadaNya. Bayangkan di akhirat kelak, bekas wudhuklah yang akan memberi sinar di wajah kita.
Jika di dunia, leher yang panjang cantik di mata wanita, maka ketahuilah leher panjang yang menjadi kebanggaan Allah di padang mahsyar kelak akan dimiliki oleh bilal yang melaungkan azan. Ini dibuktikan dalam hadis Rasulullah SAW yang menyebut:
Muadzin adalah orang yang paling panjang lehernya di akhirat kelak(HR Ibnu Majah)
Kesimpulannya, tidak salah untuk mencantikkan fizikal, tetapi janganlah sampai kita terlupa mencantikkan amal ibadah kita untuk dipersembahkan kepada Allah.
Ingatlah, secantik manapun rupa paras kita, tetap akan hancur dimakan ulat. Kerana akhirnya, keindahan amal soleh itulah yang akan menuntun kita ke SyurgaNya yang pastinya dilimpahi kecantikan yang kekal abadi.
Sumber : tazkirah.net
loading...

0 Response to "Cantikkah Kita: Antara Perspektif Manusia Dan Pandangan Islam"

Post a Comment

Didakwah