ROH TIDAK BOLEH PULANG KE DUNIA

Kongsikan di

Image result for ROH TIDAK BOLEH PULANG KE DUNIA


“Menjelang bulan Ramadhan, roh orang beriman dibenarkan pulang ke dunia bagi mengutip pahala yang dihadiahkan kepada mereka.”
Itulah antara mesej berantai yang banyak tersebar dalam media sosial menjelang tibanya bulan Ramadhan. Memang segala macam perisian media social seperti “WHAT’S APP, TELEGRAM, FACEBOOK” dan sebagainya sangat berguna untuk memanjangkan ilmu. Ilmu masuk mencurah ke dalam telefon pintar bak hujan mengalir deras tanpa perlu menunggu kuliah di masjid dan surau. Pun begitu, fitnahnya pun tak kurang hebat kerana sindrom “kemaruk berkongsi tazkirah dan informasi” tanpa tapisan. Pantang ada tazkirah yang diterima terus mahu dikongsi. Tanpa sedar rupanya yang disangka mutiara ilmu adalah hadith dan fakta palsu yang sangat beracun untuk minda.
Antara tazkirah media sosial yang sangat popular menjelang Ramadhan adalah “tazkirah ajaib berkaitan kepulangan Roh Manusia pada bulan Ramadhan. Setakat yang dilihat, pihak yang menyebar mesej “KEPULANGAN ROH PADA BULAN RAMADHAN” tidak menyatakan dalil atau hujah yang sahih atas dakwaan tersebut. Mungkin ia berpunca dari salah faham terhadap makna perkataan “ROH” dalam ayat ke 4 surah al-Qadar:
تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ
Ertinya: Pada Malam itu, turun malaikat dan “ROH” (iaitu Jibril) dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (al-Qadar [97:4]).
Roh dalam ayat ini bukan roh manusia seperti yang disangka, tetapi suatu gelaran kemuliaan kepada malaikat Jibril. Bukan sekali Jibril digelar “ROH” oleh al-Quran tetapi berkali-kali (al-Baqarah[2:87 & 253], al-Ma’idah[5:110], al-Nahl[16:102], al-Syu’ara’[26:192-193] dan al-Naba’[78:38]).
Selain itu, wajib diingat perihal roh adalah rahsia Allah yang tergolong dalam urusan ghaib. Pengetahuan kita mengenainya pun sangat sedikit, jadi usahlah terlebih bijak dari Allah:
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Ertinya: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "ROH ITU DARI PERKARA URUSAN TUHANKU; DAN KAMU TIDAK DIBERIKAN ILMU PENGETAHUAN MELAINKAN SEDIKIT SAHAJA" (al-Isra’ [17:85]).
Sebarang bicara mengenai yang ghaib seperti roh wajib bersandarkan sumber wahyu seperti al-Quran dan Hadith yang Sahih. Tidak cukup sekadar berkata “IA ADA DISEBUT DALAM KITAB” atau ia pernah dikongsi oleh Pak Ustaz dalam media sosial. Fahamilah disiplin ilmu Islam melalui Firman Allah ini:
قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ
Ertinya: Katakanlah lagi: “TIADA SESIAPAPUN DI LANGIT DAN DI BUMI YANG MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB MELAINKAN ALLAH!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati) (al-Naml [27:65]).
Al-Quran menegaskan roh orang yang sudah mati terkurung di alam barzakh sehingga kiamat. Tidak boleh balik semula ke dunia, tidak untuk balik mengutip “pahala-siswa” pada bulan Ramadhan atau malam jumaat dan jauh sekali untuk pulang menjadi hantu membalas dendam. Akurlah kepada Firman Allah ini:
حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ (99) لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (100)
Ertinya: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, dia berkatalah: "WAHAI TUHANKU, KEMBALIKANLAH DAKU (HIDUP SEMULA DI DUNIA) - "SUPAYA AKU MENGERJAKAN AMAL YANG SOLEH DALAM PERKARA-PERKARA YANG TELAH AKU TINGGALKAN". TIDAK! MASAKAN DAPAT? SESUNGGUHNYA PERKATAANNYA ITU HANYALAH KATA-KATA YANG DIA SAHAJA UCAPKAN, SEDANG DI HADAPAN MEREKA ADA ALAM BARZAKH (DINDING PEMISAH YANG MEREKA TINGGAL TETAP PADANYA) HINGGA HARI MEREKA DIBANGKITKAN SEMULA (PADA HARI KIAMAT)” (al-Mu’minun [23:99-100]).
Malahan Barzakh itu sendiri dalam takrifnya bermaksud “DINDING PEMISAH YANG MENGHALANG ROH SI MATI DARI KEMBALI KE DUNIA (Tafsir al-Jalalayn).”
Jika dikata yang bebas adalah roh manusia yang beriman. Apa dalilnya? Tambahan pula ni’mat alam barzakh yang dirasai orang beriman jauh lebih hebat dari ni’mat duniawi. Jadi apa perlunya mereka pulang ke dunia mencari yang biasa serta meninggalkan yang istimewa? Jika dikata pulang mereka adalah untuk mengutip pahala sedekah anak cucu, maka jawabnya penyaluran pahala boleh sahaja dialirkan terus ke alam barzakh tanpa perlunya mereka balik.
Jika dikata ada hadith Sahih menyebut orang yang sudah mati masih mampu mendengar sebagaimana bicara nabi SAW kepada bangkai Kafir Quraysh yang terbunuh selepas perang Badar (Sahih Muslim), maka fahamilah hadith itu dengan betul. Rasulullah SAW menyatakan mereka MAMPU MENDENGAR DAN BUKANNYA MAMPU BALIK KE DUNIA SELEPAS MATI.
Jika dikata ada riwayat menyebut orang hidup bermimpi bertemu orang mati, perlu difaham ia juga bukan dalil Roh si mati pulang ke dunia. Ia adalah pertemuan di suatu alam yang hanya Allah sahaja tahu. Sebahagian ulama menyebut ketika manusia tidur, Allah mempertemukan roh orang yang hidup dengan roh orang yang sudah mati di suatu alam bandingan yang dikenal sebagai “ALAM MITHAL” dan bukannya roh si mati itu kembali ke dunia. Prinsip perbincangan mengenainya berpaksi pada ayat 42 surah al-Zumar.
Jika dikata ada “sebuah hadith lemah” menyebut mengenai kepulangan roh pada bulan Ramadhan, maka jawabnya hadith lemah tidak boleh menjadi hujah agama apatah lagi untuk menyanggah ayat 99 dan 100 surah al-Mu’minun di atas.
Pun begitu, walau berjela diberikan hujah NAQLI (WAHYU) dan AQLI (LOGIK) menafikan kepercayaan karut ini, orang jahil yang TIADA DISIPLIN ILMU ISLAM akan menyanggah dengan ayat “SERIBU GUNA” mereka iaitu: “IA TIDAK MUSTAHIL PADA KEKUASAAN ALLAH KERANA ALLAH ITU MAHA BERKUASA. BOLEH SAHAJA ALLAH DENGAN KUASANYA YANG TIDAK TERBATAS MEMBEBASKAN ROH YANG BERIMAN PADA BULAN RAMADHAN ATAU MALAM JUMAAT.”
Jika begitu logik mereka, maka ini jawapannya:
“Malam tadi saya didatangi Jibril AS. Jibril memeluk saya erat sambil mengajarkan saya surah al-‘Alaq. Sejurus selepas itu saya DILANTIK SEBAGAI NABI akhir ZAMAN SELEPAS NABI MUHAMMAD SAW. Jadi, anda semua perlu beriman kepada kerasulan saya. Jika ada yang tidak bersetuju dengan perlantikan saya sebagai Rasul, maka ini hujah “SERIBU GUNA” saya: “IA TIDAK MUSTAHIL PADA KEKUASAAN ALLAH KERANA ALLAH ITU MAHA BERKUASA. BOLEH SAHAJA ALLAH DENGAN KUASANYA YANG TIDAK TERBATAS MELANTIK SAYA SEBAGAI NABI AKHIR ZAMAN SELEPAS NABI MUHAMMAD.”
Inilah antara contoh “DISIPLIN CACA MARBA” dalam agama yang digunapakai oleh sesetengah orang jahil. Memang Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja, tetapi perlu dipahat kemas dalam hati bahawa Allah juga sudah meletakkan Sunnatullah atau undang-undangNya yang tidak akan diubah:
سُنَّةَ اللَّهِ فِي الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلُ وَلَنْ تَجِدَ لِسُنَّةِ اللَّهِ تَبْدِيلًا
Ertinya: Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah yang telah lalu; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu (al-Ahzab [33:62]).
Antara Sunnatullah yang tidak akan berubah sampai kiamat adalah nabi Muhammad SAW adalah nabi dan rasul terakhir. Juga roh orang yang sudah mati tidak boleh pulang sama sekali ke dunia untuk apa sahaja tujuan.

Sebarang dakwaan menyanggah hukum dan undang-undang Allah ini wajib ditolak. Jika tidak, agama suci ini akan jadi “agama secukup rasa” yang bergantung kepada penganutnya. Jika mahu lebih pedas tambahlah cilinya. Jika mahu lebih masin, tambahlah garamnya. Jika mahu lebih manis, tambahlah gulanya. Jika ini disiplin memahami agama ini, hilanglah keagungannya dan runtuhlah kegemilangannya.
Sumber : baca-tazkirah.blogspot.my

loading...

0 Response to "ROH TIDAK BOLEH PULANG KE DUNIA"

Post a Comment

Didakwah