Keistimewaan Bulan Zulhijjah: Penamat Dalam Bulan Islam

Kongsikan di

Image result for Keistimewaan Bulan Zulhijjah: Penamat Dalam Bulan Islam


Pejam celik, rupanya kita sudah pun menghampiri penghujung bulan Islam iaitu Zulhijjah. Agaknya, apakah bekalan yang telah kita lakukan pada 11 bulan yang lalu? Adakah semakin bertambah atau semakin berkurangan.
Jika bertambah, syukur dipanjatkan dan mudah-mudahan ia akan terus istiqomah. Adapun, jika semakin berkurangan ia perlu dimuhasabah kembali. Ini kerana tujuan kehidupan ini tidak lain hanyalah untuk mengabdikan diri kepadaNya.
Sebelum memasuki tahun baru dalam Islam, adalah sebaiknya kita menampal lompong-lompong amal ibadah yang semakin terhakis dek kerana kesibukan dunia. Mari sama-sama kita tingkatkan kualiti ibadah pada bulan Zulhijjah ini. Siapa tahu, amal yang satu dan sedikit ini mampu membantu kita di hari ‘sana’ nanti. Berikut dikongsikan apa yang istimewa dan ada dalam bulan Zulhijjah ini.

#1 – Puasa Sunat

Umat Islam digalakkan untuk berpuasa sunat pada 1 hingga 9 Zulhijjah. Rasulullah SAW bersabda;
“Berpuasa pada hari Arafah, dapat menebus dosa-dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.”(Hadis Riwayat Muslim)

#2 – Hari Arafah (9 Zulhijjah)

Ia merujuk kepada kemuncaknya ibadah haji iaitu wukuf di Padang Arafah. Ia dilakukan kerana diyakini menjadi tempat pertemuan semula antara Nabi Adam a.s dan isterinya, Hawa setelah diturunkan dari syurga. Setelah memohon keampunan serta taubat, Allah SWT menerima taubat dan dosa mereka diampunkan di Padang Arafah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah, sebaik-baik ucapan yang diucapkan olehku dan nabi-nabi sebelumku adalah, ‘Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa dan tiada sebarang syirik (sekutu) bagi-Nya, bagi-Nya segala penguasaan dan pujian, Dialah yang berkuasa bagi setiap sesuatu’.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

#3 – Menunaikan Ibadah Haji

Ibadah haji merupakan pelengkap dalam rukun Islam setelah ucapan syahadah, solat fardhu 5 waktu, berpuasa dalam bulan Ramadan dan menunaikan zakat. Ia dilakukan bagi mereka yang berkemampuan.Selain bertujuan untuk mencapai keredaan Allah, ibadah ini juga menuntut keihkhlasan, pengorbanan serta kesatuan dalam melaksanakannya.

#4 – Perayaan Hari Raya Aidiladha

Hari Raya Aidiladha ini merupakan perayaan kedua terbesar bagi umat Islam setelah Hari Raya Aidilfitiri. Ia disambut pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah bagi memperingati akan peristiwa sejarah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim yang hendak menyembelih anaknya sendiri atas sebab perintah Allah SWT yang diperolehinya melalui mimpi. Akan tetapi, ia ditukar ganti dengan binatang kibas pada akhirnya.

#5 – Melaksanakan Ibadah Korban

Ibadah korban pada bulan Zulhijjah perlu dilakukan setelah selesai solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah sehingga terbenam matahari 13 Zulhijjah. Ia adalah sunnah muakkad iaitu sunnah yang digalakkan. Adapun, jika sembelihan dilakukan setelah waktu ini ia tidak dianggap sembelihan korban, melainkan hanya sedekah semata-mata.
Adapun, bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji dalam bulan Zulhijjah, kita digalakkan untuk menghidupkan malam 10 Zulhijjah itu dengan bacaan Al-Quran, qiamullail, berzikir (takbir, tahmid dan tahlil) dan amal-amal yang lain.
Semoga keistimewaan yang ada dalam bulan Zulhijjah ini dapat kita raih bersama-sama sebelum memasuki tahun baru Islam. Ini kerana belum tentu kita masih sempat untuk melaluinya lagi pada tahun yang akan datang. Moga bermanfaat. Wallahua’lam.
Sumber : tazkirah.net
loading...

1 Response to "Keistimewaan Bulan Zulhijjah: Penamat Dalam Bulan Islam"

  1. mari coba keberuntungannya bersama kami hanya dengan
    deposit minimal 10.000 bisa menangkan uang jutaan rupiah
    ditunggu apalagi, segera bergabung bersama kami di F*A*N*S*P*O*K*E*R

    ReplyDelete

Didakwah