Menyerang dan Menghina Gereja dan Tempat Ibadah Agama Lain adalah Bukan Ajaran Islam seperti yang Berlaku Di Mesir

Gambar Ihsan Reuters


Serangan letupan yang berlaku pada hari Ahad lepas ke atas sebuah gereja (Cairo’s Coptic Cathedral) di ibu negara Mesir telah membunuh 20 orang dan mencederakan hampir 35 orang. Kejadian yang berlaku masih belum diketahui siapakah dalang di sebalik tragedi berdarah yang boleh menegangkan hubungan antara agama dan rakyat Mesir.  

PAS mengecam sebarang serangan yang melibatkan kematian orang awam, warga tua, wanita, kanak-kanak dan memusnahkan bangunan kerana ia bercanggah dengan prinsip Islam yang sebenar. Allah SWT berfirman:

﴿وَلَا تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ بَعۡدَ إِصۡلَٰحِهَا ٥٦﴾ [الأعراف: 56] 

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya” [Al-A'raf: 56]

Islam agama yang syumul telah menggariskan adab dalam peperangan (jihad) dengan melarang menebang pokok dan merosakkan bangunan. Saidina Abu Bakar pernah mewasiatkan komander-komander perangnya, “Jangan menebang pokok dan menghancurkan bangunan”. Inilah sunnah Rasulullah SAW yang diwarisi oleh para sahabat yang paling memahami Al-Quran, Sunnah Rasul-Nya dan roh Islam. 

Islam juga mengutamakan jalan pendamaian dan menyelesaikan dengan penuh keharmonian tanpa pertumpahan darah. Jalan kekerasan dan peperangan bukan jalan terbaik untuk membina negara yang aman dan damai. 

Ketegangan hubungan antara agama dan bangsa hanya membuka pintu untuk campur tangan kuasa asing dengan cita-citanya mengkucar-kacirkan umat Islam dan mengaut hasil bumi untuk dibawa pulang ke negara mereka. Selain itu, perlu berhati-hati supaya tidak masuk dalam perangkap musuh dengan provokasi yang dilakukan bagi mencetuskan huru-hara. 

“Inilah Penyelesaian Kita” 
 
ABDUL HADI AWANG

Sumber: Harakah Daily
loading...
Loading...

0 Response to "Menyerang dan Menghina Gereja dan Tempat Ibadah Agama Lain adalah Bukan Ajaran Islam seperti yang Berlaku Di Mesir"

Post a Comment

Didakwah