3 Srikandi Islam Yang Berpegang Kepada Janji Allah Untuk Dicontohi

Kongsikan di

3 Srikandi Islam Yang Berpegang Kepada Janji Allah Untuk Dicontohi
 
“Safiyah, kenapa jadi begini?” itulah soalan pertama yang terkeluar daripada mulut saya ketika memandang wajahnya.
Namun, Safiyah hanya tunduk membisu.
Perlahan-lahan saya menariknya untuk duduk di sebelah saya. Sambil hati berasa gundah dengan kegagalan Safiyah dalam beberapa subjek semester ini. Prestasinya semakin merosot selepas ibunya pergi mengadap Ilahi.
“Safiyah, boleh saya berkongsi kisah tiga srikandi ini. Mereka telah berjuang meneruskan kehidupan dengan berpegang kepada janji Allah.”
Saya cuba membuka bicara untuk menceritakan kisah terindah kepadanya. Safiyah mengangguk, tanda setuju.

Cinta Rabiatul Adawiyah

Saya mula menceritakan tentang muslimah yang pertama kepada Safiyah, iaitu Rabiatul Adawiyah Al-Basriyah. Rabiatul adalah merupakan srikandi yang tidak asing lagi di kalangan ahli sufi. Dia merupakan sufi wanita pertama yang disebut-sebut dalam sejarah kekasih Allah. Hidupnya penuh dengan dugaan dan rintangan.
Rabiatul lahir dalam keluarga yang penuh kemiskinan, kemudian menjadi anak yatim piatu sewaktu masih kecil. Dia terpaksa berpisah daripada adik-beradiknya ketika kota Basrah di landa kebuluran. Tidak cukup dengan itu, dia diculik bahkan dijadikan sebagai budak suruhan tatkala usianya masih muda.
Namun Rabiatul tidak pernah kesal dan menyalahkan Allah atas penderitaan hidupnya. Bahkan cinta Rabiatul terhadap Allah semakin bercambah dari hari ke hari sehinggalah ke akhir nafasnya. Menurut riwayat, Rabiatul tersenyum saat malaikat maut hampir ke arahnya, kerana dia sudah terlalu rindu kepada Kekasih hatinya.
“Rabiatul seorang yang suka meluahkan rasa hatinya dalam bentuk puisi. Sama seperti awak juga Safiyah.” saya cuba mencuit Safiyah.
Safiyah tersenyum. Reaksinya itu sudah cukup menggembirakan saya.

Kisah Cucu Rasulullah, Umamah Abu Al-Ash

Begitu juga dengan cucu perempuan sulung Rasulullah s.a.w. Umamah Binti Abu Al-Ash namanya. Kisah hidupnya juga penuh suka dan duka.
Jika ada antara kita yang menyatakan perjalanan hidupnya penuh kesengsaraan ditinggalkan orang tersayang, cubalah kenangkan kembali kisah Umamah ini. Setiap insan tersayang pergi meninggalkan Umamah ketika dia masih dahagakan kasih dan perhatian.
Di saat Umamah masih kanak-kanak, ibunya Zainab Binti Rasulullah telah pergi menemui PenciptaNya pada tahun 8H. Rasulullah kemudian mengambil alih mendidik dan menjaga Umamah dengan penuh cinta dan kasih. Namun ia hanya seketika, kerana tiga tahun selepas itu, Rasulullah pula wafat. Hilanglah tempat Umamah untuk bermanja.
Umamah kemudian diasuh oleh ibu saudaranya yang pengasih iaitu Saidatina Fatimah. Tetapi enam bulan berikutnya, Saidatina Fatimah pula pergi buat selama-lamanya meninggalkan Umamah diikuti oleh ayahnya pada 12H.
Satu demi satu insan yang tersayang pergi meninggalkan Umamah. Hidupnya tidak pernah lekang dengan kehilangan. Tetapi Umamah seorang wanita yang sangat tabah. Kisah hidupnya boleh dijadikan semangat bagi mereka yang kehilangan kasih sayang ibu dan ayah.

Asma’ Abu Bakar Wanita Bijaksana

“Saya ada ayah, tetapi saya tidak tahu di mana ayah saya berada. Dia meninggalkan kami tatkala kami memerlukannya.” tiba-tiba Safiyah bersuara.
Lantas saya memandang wajahnya, “Safiyah, bersabarlah di atas ujian dan dugaan Allah ini. Mungkin ayah Safiyah ada alasannya sendiri, tiada siapa yang tahu kecuali Allah.”
Wajah Safiyah sedikit berubah, seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Safiyah tahu siapa yang digelar Dzatun Nithaqain?”
“Ya, anak kepada Abu Bakar as-Siddiq kan?” balas Safiyah.
Benar, dialah Asma’ Abu Bakar. Seorang lagi muslimah yang mempunyai sifat solehah. Sewaktu berhijrah bersama Rasulullah, Abu Bakar as-Siddiq tidak meninggalkan satu sen pun harta untuk keluarganya. Semua hartanya telah dibawa demi untuk Allah dan rasul-Nya.
Namun Asma’ memang seorang muslimah dan anak yang berakhlak mulia. Dia tidak sedikit pun berasa sedih dengan kehidupan yang penuh kepayahan dan kekurangan. Sifat ini jelas terpancar pada Asma’ bila mana dia berdialog dengan penuh bijaksana kepada datuknya iaitu Abu Quhafah:
“Demi Allah! Tentu ayahmu telah mengecewakanmu dengan hartanya, di samping akan menyusahkanmu dengan pemergiannya!”
Jawab wanita yang mulia ini,
“Tidak wahai datuk! sekali-kali tidak! Beliau banyak meninggalkan wang buat kami” ujarnya sambil menghiburkan dan menenangkan datuknya.
Dikumpulkannya batu-batu kerikil yang kemudiannya dimasukkan ke dalam lubang tempat kebiasaannya menyimpan wang. Kemudian dibawakan datuknya yang buta itu ke tempat simpanan tersebut, lantas berkata,
“Lihatlah datukku! Beliau banyak meninggalkan wang buat kami!”
Perkataan tersebut ternyata berjaya menyakinkan Abu Quhafah. Maksud perbuatan tersebut adalah untuk menyenangkan hati datuknya, agar tidak bersusah hati memikirkan hal tersebut.
Begitulah Asma’, muslimah bijaksana yang berpegang teguh kepada janji Allah, yang membeli syurga dengan jihad.

Mengadu Hanya Kepada Allah

“Safiyah…saya mungkin tidak dapat menyelami apa yang ada dalam isi hati awak. Tetapi Allah Maha Mengetahui. Anak yatim adalah anak yang mulia, dilindungi Allah setiap masa. Mengadulah hanya kepada Allah.” Saya cuba memujuk Safiyah.
“Astaqfirullah, rupa-rupanya ada insan yang lebih besar ujiannya daripada saya.” ujar Safiyah dalam nada yang agak perlahan.
Saya tersenyum mendengar bicara Safiyah. Ringkas tetapi mendalam. Semoga dia menjumpai jalan untuk kembali menjadi anak yang solehah dan berpegang kepada janji Allah.
Sumber : tazkirah.net


loading...

0 Response to "3 Srikandi Islam Yang Berpegang Kepada Janji Allah Untuk Dicontohi"

Post a Comment

Didakwah