Vivy Yusof Kongsi 11 Tips Untuk Bergelar Usahawan Berjaya

Kongsikan di



“Saya percaya bahawa Tuhan sentiasa menyokong di belakang saya dan saya tidak takut.” – Vivy Yusof.

Siapa yang tak kenal dengan wanita dan usahawan berjaya Malaysia ini. Bukan saja hebat dalam perniagaan malah merupakan fesyen idola hijabista masa kini.

Rupanya sudah 6 tahun Vivy berkecimpung dalam bidang perniagaan online dan jenamanya Fashion Valet dikenali di seluruh Asia.
Kejayaan tidak akan dikecapi tanpa kegagalan. Pasti ramai nak tahu apa rahsia dan tips berguna untuk mengecap kejayaan seperti Vivy Yusof.

1. Tahu tentang produk dan industri yang diceburi

Apa yang anda nak jual? Anda perlu buat research, produk pesaing-pesaing anda, dan jalankan penyelidikan industri secara keseluruhan.

Contohnya kalau anda nak jual baju, anda kena tahu syarikat pakaian mana yang profitable, macam mana mereka boleh buat duit, apa kaedah yang mereka terapkan, apa teknik yang mereka gunakan, dan macam-macam lagi.


2. Kenal pelanggan atau target market

Sebelum saya mulakan FashionValet, saya memang tak tahu tentang perkara ini. Saya sangkakan FashionValet adalah untuk semua orang, tapi saya salah. Anda perlu mempunyai fokus atau tumpuan khusus kepada jenis pelanggan.

Contohnya kalau pasaran anda untuk golongan yang lebih tua, produk yang dijual tak boleh sama dengan produk yang disasarkan kepada golongan muda. Selain itu, ciri-ciri demografik juga penting.

Anda kena tahu pelanggan anda di KL mungkin gaya mereka berbeza dengan pelanggan anda di Johor Bahru. Lain tempat lain caranya.

3. Cari partner yang sesuai & betul-betul ‘ngam’

Saya percaya bahawa tiada insan yang sempurna. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan diri. Macam saya sendiri, saya tak pandai dari segi kewangan, dan dari segi organisasi.

Saya bersyukur ditemukan dengan suami saya kerana kami berdua saling melengkapi antara satu sama lain dalam menguruskan FashionValet. Sebab itulah partner yang sesuai memang benar-benar penting.

4. Bentuk pasukan yang hebat

Bukan senang nak membentuk satu pasukan yang dinamik. Sepanjang 5-6 tahun berniaga, ramai orang datang dan pergi. Kami mengambil masa yang lama untuk mencari orang yang sempurna dan ia sangat sukar.

Selepas membentuk pasukan, anda perlu melatih pasukan anda dan jadikan mereka leaders. Kalau dulu, saya sangat hands on dan perlu membuat semua keputusan. Tapi sekarang, saya dah ada a few leaders dalam setiap pasukan yang membantu saya setiap hari dalam menentukan hala tuju syarikat.

Dari sini, karier mereka juga akan berkembang.

5. Bijak mengurus masa

Saya seorang ibu, saya ada dua orang anak yang perlukan perhatian saya setiap hari, dan saya juga berniaga pada masa yang sama. Tanggungjawab yang saya pikul ini benar-benar memakan masa yang banyak.

Jadi, saya perlu betul-betul membahagikan masa diantara kerja dan keluarga. Tidak ada lagi istilah ‘buang masa’ dalam hidup saya. Setiap jam mesti dipenuhi dengan pelbagai urusan. Pada saya, hidup yang begitu sibuk sebegini adalah lebih produktif. Sebab kalau anda ada banyak masa, mungkin masa itu akan disia-siakan begitu saja.

6. Delegasi & komunikasi

Anda perlu sedar, seberapa banyak yang anda rasa anda mampu lakukan segala-galanya, sebenarnya anda tidak boleh. Kita hanyalah manusia biasa dan bukan Superman. Sebab itulah saya sangat pentingkan kerja berpasukan. Delegasikan atau bahagikan kerja-kerja kepada leaders dan para pekerja anda agar segalanya berjalan lancar, teratur, dan cepat.

Tapi apa yang lebih penting ialah komunikasi. Anda perlu berkomunikasi dengan pekerja anda tentang masalah yang timbul dan bincangkan cara atau jalan penyelesaian, anda juga perlu follow up, dan paling penting anda mesti kena turun padang, tak kiralah sama ada ke pejabat ataupun ke events.

7. Cari kritikan bukan pujian

Ramai orang suka mencari pujian. Produk dialah yang terbaik, dialah yang paling cantik, dialah yang paling berjaya, paling kaya. Mereka sentiasa mencari orang untuk memberitahu mereka apa yang mereka nak dengar.

Tetapi bagi saya, cara itu tidak akan beri peluang untuk anda memperbaiki diri. Saya suka apabila orang mengkritik produk saya. Walaupun ada masanya pahit dan sukar untuk saya terima, kritikan-kritikan inilah yang memberitahu saya tentang kelemahan jenama saya.

Anda perlu ingat bahawa anda tak akan dapat puaskan hati semua pihak. Jadi, mesti akan ada kritikan yang perlu anda hadapi. Just take it positively, improve, and move forward.

8. Perkasakan media sosial

FashionValet menggunakan pendekatan yang agak agresif di media sosial terutamanya di Facebook dan instagram. Saya percaya media sosial kena kuat sebab sekarang semua orang pun ada media sosial sendiri.

Produk atau jenama anda perlu sentiasa relevan dan up-to-date, tidak kiralah jenis perniagaan apa pun yang anda ceburi. Cuba maksimumkan penggunaan media sosial sebaik mungkin dan ambil kesempatan melaluinya. Media sosial memang sangat penting untuk menjadikan jenama anda lebih dikenali ramai.

9. Hidup & ‘bernafas’ dengan produk anda

Kadang-kadang saya sendiri yang menjadi pelanggan di fashionvalet.com. Dari situ, saya boleh tengok apa yang tak kena dengan laman web tersebut dari perspektif seorang pelanggan.

Selain itu, pakaian yang saya kenakan setiap hari semuanya datang dari FashionValet. Tudung pula saya akan pakai Duckscarves. Saya perlu membawa imej jenama saya kemana jua saya pergi. Kalau saya sendiri tak pakai, macam mana saya nak expect orang lain untuk pakai juga?

10. Dapatkan support system yang baik

Ramai orang terlupakan perkara ini. Dalam berniaga, anda perlu berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran dan kritikan. Perkara-perkara tidak boleh dikawal inilah yang akan menjatuhkan anda kalau anda tak kuat. Anda akan rasa demotivated, putus asa, dan tidak bersemangat lagi untuk teruskan perjuangan.

Jadi, kalau anda tiada support system yang baik, siapa yang akan bangkitkan semula semangat anda ketika anda sedang jatuh? Itulah sebabnya sistem sokongan seperti ibu bapa, ahli keluarga, suami/isteri, anak-anak, rakan karib, dan orang-orang penting ini amat penting dalam kehidupan kita.

Tanpa mereka, pasti kita tak akan mampu melangkah jauh. Oleh itu, jagalah hubungan baik dengan orang-orang tersayang.

11. Sentiasa percaya kepada Tuhan

Allah adalah Perancang segala-galanya. Kalau Dia kata ia akan berlaku, maka berlakulah ia. Rezeki itu di tangan Tuhan dan Dia telah menentukan rezeki bagi setiap makhluk di muka bumi ini. Sepayah mana pun liku hidup anda, Tuhan boleh mengubahnya dalam sekelip mata. Dan semewah mana pun hidup anda, Tuhan boleh menarik segalanya dalam sekelip mata.

Saya percaya bahawa Tuhan sentiasa menyokong di belakang saya dan saya tidak takut. Oleh itu, percayalah kepada-Nya, beribadahlah kepada-Nya setiap hari, dan segala-galanya akan dipermudahkan insyaAllah. Kalau kita dekatkan diri dengan Tuhan, mustahil Tuhan akan jauh dengan kita. Percayalah.

Sumber: HanaSuva
loading...

0 Response to "Vivy Yusof Kongsi 11 Tips Untuk Bergelar Usahawan Berjaya"

Post a Comment

Didakwah