BERAPA UMUR YANG ANDA ADA?

Kongsikan di



Berapa usia anda sekarang?


Dua puluh tahun, dua puluh lima tahun, tiga puluh tahun, tiga puluh lima tahun, enam puluh atau tujuh puluh tahun?

Dan seterusnya berapa banyak lagi masa berbaki yang anda miliki untuk meneruskan hidup ini?


Tidak ada siapa yang tahu? Tidak ada siapa yang dapat menjawabnya. Mungkin sehari, mungkin sepuluh hari, mungkin seminggu, mungkin setahun atau bertahun-tahun lagi.


Kerana hanya Allah sahaja yang mengetahui, kerana Dia-lah mencipta masa dan mengurniakan masa itu kepada kita.
Itulah sebabnya ada orang sakit, malah sakit kronis, masih boleh hidup bertahun-tahun. Tapi ada orang yang sihat, segar-bugar, tiba-tiba mati di gelanggang badminton atau di hadapan peti TV ketika menonton perlawanan bola sepak, atau ketika sedang berpidato di atas pentas.


Ada orang yang tua rangka. Masih boleh terus hidup bertahun-tahun lagi, tapi ada pula anak-anak muda remaja, tiba-tiba mati kerana terlibat dalam kemalangan jalanraya.


Ada orang yang sakit kronis telah diberikan tempoh  oleh doktor usianya sudah amat singkat, tapi tidak jarang, dia masih terus hidup bertahun-tahun kemudian mengingkari arahan doktor.
Malah ada janin atau bayi mati dalam kandungan ibunya, sebelum dapat menjenguk dunia. Sudah tidak ada masa lagi baginya.
Iitulah dikatakan orang: Buah putik gugur, buah tua [masak] pun gugur, malah bunga sebelum sempat berputik pun gugur bretaburan ke bumi.
Kerana masa yang trajis itu hanya berada di tangan Allah. Dia-lah yang Maha Bijaksana yang berhak dan mampu membuat penentuannya.
Justeru sebagai seorang yang beriman, kita hendaklah sentiasa berwaspada  pada setiap waktu untuk menghadapai ketibaan masa yang tidak dapat diduga-duga kunjungannya itu.


Umur Barang-Barangan

Kalau kita pergi ke pasar, khususnya ke pasar raya membeli cili sos, tomato sos atau lain-lain sos, di botol, di tin atau di kotaknya  ada label bertulis yang menyatakan tarikh ia dilahirkan dan juga tanggal ia luput atau mati.


Jika kita membeli kicap, kaya, jem, ikan sardin dan lain-lain, semuanya ada tarikh lahir dan juga penghabisan hayatnya pada botol atau tin pengisinya.


Malah semua benda ciptaan manusia, dapat ditentukan tempohnya sekian-sekian lama, walaupun kadang-kadang tidak tepat. Umpamanya, bahan-bahan elektrik, dikatakan usianya empat tahun, tapi kadang-kadang dua tahun sudah jahanam.


Masa Dan Umur

Bagaimana dengan umur manusia?


Kepada makhluk-makhluk hidup yang bernyawa, khusunya manusia, masa itu adalah umurnya. Justeru empat puluh tahun masa berlalu, maka bererti sudah empat puluh tahunlah usia atau umurnya.
Masa atau umur adalah nikmat kurniaan Allah yang amat berharga kepada makhluknya, khususnya manusia. Tidak ada harta kekayaan di dunia ini dapat dinilaikan dengan masa atau umur. Iaitu umur yang sedang kita tempuhi atau harungi saat ini, waktu ini, atau masa sekarang.
Oleh sebab masa itu terlalu lumrah dengan kita, selalu bersama kita, menyebabkan kebanyakan dari kita tidak merasa ataupun tidak menyedari bahawa masa itu sentiasa berjalan, selalu bergerak detik demi detik. Kerana itu kita tidak menyedari umur kita sentiasa dimamah oleh masa yang sentiasa berjalan itu. Dan kehilangannya tidak mungkin dikembalikan lagi, walaupun dibayar dengan harga yang melambung tinggi, sebuah dunia dan isi-isinya sekalipun. Dan yang tinggal hanya amalan-amalan yang kita kerjakan sepanjang masa yang telah berlalu itu.
Bersyukurlah kepada Allah yang telah mengurniakan masa atau usia yang berlanjutan kepada kita. Ertinya kita masih hidup. Justeru jadikanlah diri kita sebagai manusia yang beriman dan bertaqwa, dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan mencurahkan segala usaha bakti kepada Allah SWT, serta memberi khidmat bakti kepada masyarakat dengan niat semata-mata kerana Allah. Demikianlah kita seharusnya menghabiskan sisa-sisa umur kita yang masih berbaki lagi, sedikit atau banyak, kalau tidak kita akan menyesal nanti.


Ke Pintu Kubur

Walau bagaimanapun ada sesuatu yang pasti, iaitu detik yang berjalan itu sentiasa mengheret kita ke pintu kubur. Ke hujung jalan. Ke pintu maut. Di samping mengkedutkan kulit badan, terutama kulit muka, khususnya di dahi.


Masa yang berjalan itu biasanya menukar rambut kita yang hitam berkilat, menjadi putih beruban.


Justeru masa kita amat terbatas dan singkat untuk kita, maka hidup ini hanya merupakan mimpi-mimpi dan tipu daya kepada kita manusia.


Untuk keamanan, jadilahkanlah diri kita orang beriman yang sentiasa menghabiskan masanya dengan mentaati perintah Allah SWT supaya tidak timbul penyesalan yang tidak berkesudahan di hari muka. Rancanglah dengan cermat penggunaan masa kita setiap waktu. Bersikap bakhlilah dengan masa walaupun sedikit sahaja, supaya kita  tidak ditimpa kerugian, sebab masa itu jika telah hilang, ia tidak dapat dicari-cari lagi, tidak dapat dikembalikan lagi, sedangkan benda-benda lain yang hilang mungkin dapati temui kembali atau dicari ganti.
Ingatlah kepada pesanan Imam Al-Ghazali yang menyeru umat Islam supaya menghargai masa, dan setiasalah menilai akan kepentingan masa itu. Katanya orang Islam memandang masa itu seperti pedang, kalau anda tidak mengguna pedang itu untuk memotong, maka ianya akan memotong anda. Inilah yang benar-benar harus diingati oleh orang Islam tentang masa, tegasnya usianya sendiri.
Allah berfirman, maksudnya:

“Demi masa. Sungguh manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan menasihati untuk kesabaran”.Al-‘Ashar [103]: 1-3.




Sumber : pondokrahmat
loading...

0 Response to "BERAPA UMUR YANG ANDA ADA?"

Post a Comment

Didakwah