Soalan:
Mohon penjelasan Mufti, apakah hukum bagi orang lelaki atau perempuan mencukur bulu kaki ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur
dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas
junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga, para sahabat
baginda, serta golongan yang mengikuti jejak langkah mereka sehingga
hari kiamat.
Berkenaan dengan isu mencukur bulu-bulu yang terdapat pada anggota
badan manusia, para ulama mengkategorikan hukumnya kepada tiga bahagian
seperti berikut:Pertama: Bulu-Bulu Yang Terdapat Perintah Untuk Mencukurnya.
Di dalam nas -nas syarak, terdapat
beberapa perintah yang mengarahkan supaya dicukur beberapa jenis bulu
yang terdapat pada anggota tubuh manusia. Ini sepertimana yang
disabdakan oleh Rasulullah S.A.W:
الْفِطْرَةُ
خَمْسٌ ـ أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ ـ الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ،
وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
Maksudnya: Fitrah itu ada lima –
atau lima perkara yang menjadi fitrah – adalah berkhatan, memotong bulu
kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, dan memotong misai.
Riwayat Al-Bukhari (5889)
Para ulama apabila mengulas kalimah Istihdad daripada hadis di atas mengatakan, maksudnya adalah: Mencukur bulu kemaluan. Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: Istihdad adalah mencukur bulu kemaluan, iaitu bulu-bulu yang berada di sekitarnya. Lihat Tahrir Alfazh al-Tanbih, Al-Nawawi (Hlm. 253).
Imam al-Nafrawi dari kalangan fuqaha bermazhab Maliki menyatakan bahawa bulu-bulu yang berada di sekitar dubur juga turut dikira sebagai bulu kemaluan. Rujuk Al-Fawakih Al-Dawani, Al-Nafrawi (2/306).
Berdasarkan hadis di atas, terdapat tiga
bulu yang disebutkan untuk dipotong iaitu bulu kemaluan, bulu ketiak,
dan juga misai. Maka kita diperintahkan untuk memotong, mencukur, atau
mencabutnya.
Kedua: Bulu Bulu Yang Terdapat Larangan Mencukurnya
Terdapat bulu-bulu yang dilarang oleh
syarak untuk mencukurnya. Di antaranya adalah memotong atau mencukur
janggut bagi orang lelaki. Larangan ini dapat kita lihat berdasarkan
sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma bahawa Nabi S.A.W
bersabda:
أَحْفُوا الشَّوَارِبَ وَأَعْفُوا اللِّحَى
Maksudnya: Cukurlah misai-misai, dan biarkanlah jangut-janggut.
Riwayat Muslim (259)
Juga berdasarkan sebuah riwayat yang turut diriwayatkan daripada Ibn Umar R.anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ، وَفِّرُوا اللِّحَى، وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ
Maksudnya: Berbezalah kalian dengan orang musyrikin, kekalkan janggut dan potonglah misai.
Riwayat Al-Bukhari (5892)
Kata Imam Ibn Hajar Al-Asqalani Rahimahullah
apabila mensyarahkan hadis ini: Perintah Nabi berkaitan janggut
bererti, kekalkanlah ia iaitu biarkanlah ia dalam keadaan yang banyak.
Rujuk Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Hajar (10/350).
Perintah Nabi S.A.W untuk membiarkan
janggut bererti juga dalam masa yang sama baginda melarang dari
perbuatan mencukur janggut. Ini berdasarkan sebuah kaedah fekah yang
disebutkan oleh Imam Al-Haramain Abdul Malik Al-Juwaini Rahimahullah:
Perintah untuk melakukan sesuatu adalah larangan kepada perbuatan yang
menyelisihinya. Manakala larangan melakukan sesuatu adalah perintah
kepada meninggalkannya.
Selain itu, di antara bulu-bulu yang
dilarang mencukurnya juga adalah bulu kening. Ini berdasarkan sebuah
riwayat daripada Rasulullah S.A.W bahawa baginda bersabda:
لَعَنَ
اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ
وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ
خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: Allah S.W.T melaknat para
pembuat tatu dan mereka yang meminta untuk dibuatkan tatu untuknya, para
wanita yang mencukur bulu kening serta wanita yang meminta untuk
dibuang bulu keningnya, dan orang yang menjarangkan gigi-gigi mereka
yang mengubah ciptaan Allah.
Riwayat Muslim (2125)
Kata Imam Al-Nawawi apabila mensyarahkan hadis ini: النامصة
adalah wanita yang membuang bulu-bulu daripada mukanya. Manakala
المتنمصة adalah wanita yang meminta untuk bulu-bulu tersebut dibuang.
Perbuatan ini adalah haram melainkan apabila seorang perempuan itu tumbuh janggut atau misai, maka tidak haram untuk membuangnya.
Imam Ibn Hajar mengulas isu perempuan
memotong janggut dan misainya ini dengan katanya: Ia terikat dengan
keizinan dari suami dan pengetahuan suaminya. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (10/390).
Imam al-Nawawi berkata lagi: Mazhab kami
adalah apa yang telah kami sebutkan berkenaan keharusan membuang
janggut, misai, serta العَنْفَقَةُ (‘anfaqah)
iaitu bulu-bulu kecil yang tumbuh di antara bahagian bawah bibir hingga
dagu (bagi kaum perempuan). Sesungguhnya larangan di dalam hadis adalah
kepada bulu kening dan bulu-bulu yang berada di bahagian muka. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (14/285).
Imam Ibn Hajar al-Asqalani apabila mensyarahkan hadis ini menyebutkan: Al-Nammash
adalah membuang bulu muka dengan menggunakan alat pencukur. Dikatakan
perbuatan tersebut adalah khusus kepada bulu kening dengan tujuan untuk
meninggikan keduanya atau untuk menyamaratakan di antara keduanya.
Ibn Hajar turut menukilkan kata-kata Imam Abu Daud di dalam Al-Sunan
dengan katanya: النامصة adalah perempuan yang mengurangkan (menipiskan)
bulu keningnya. Beliau juga turut menukilkan kata-kata Imam Al-Thabari
yang berikut: Tidak boleh bagi seorang perempuan itu untuk mengubah
sedikitpun dari asal penciptaan asal dirinya yang telah Allah ciptakan
dengan menambah atau mengurangkan bertujuan untuk mendapatkan
kecantikan. Tidak boleh dia lakukan untuk suaminya dan tidak juga kepada
selainnya, seperti sesiapa yang kedua keningnya bersambung lalu dia
membuang bulu yang berada di antara keduanya. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar Al-Asqalani (10/390).
Ini bermaksud, tidak ada nas dari syarak
baik dari al-Quran ataupun Sunnah Nabi S.A.W yang mengarahkan bulu-bulu
ini untuk dipotong atau melarang bulu-bulu ini dari disimpan. Maka ia
kembali kepada hukum asalnya sesuatu iaitu keharusan. Ini berdasarkan
sebuah hadis daripada Salman Al-Farisi R.anh, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
الْحَلاَلُ
مَا أَحَلَّ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ وَالْحَرَامُ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فِي
كِتَابِهِ وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ مِمَّا عَفَا عَنْهُ
Maksudnya: Halal itu adalah apa-apa
yang Allah halalkan di dalam kitab-Nya, dan haram itu adalah apa-apa
yang Allah haramkan di dalam kitab-Nya. Dan apa-apa yang Allah diamkan
tentangnya (hukumnya) maka ia termasuk di antara perkara yang dimaafkan.
Riwayat Ibn Majah (3367)
Kata Al-Imam Al-Sindi apabila mensyarahkan hadis ini: Hadis ini bertepatan dengan sebuah hadis lain iaitu:
إِنَّ
اللهَ أَمَرَكُمْ بِأَشْيَاء فَامْتَثِلُوهَا وَنَهَاكُمْ عَنْ أَشْيَاء
فَاجْتَنِبُوهَا وَسَكَتَ لَكُمْ عَنْ أَشْيَاء رَحْمَةً مِنْهُ فَلَا
تَسْأَلُوا عَنْهَا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah
memerintahkan kepada kamu semua beberapa perkara maka lakukanlah ia, dan
Dia melarang kamu semua beberapa perkara maka jauhilah ia. Dan Dia
mendiamkan (tentang hukum) beberapa perkara disebabkan sifat rahmat
dari-Nya maka janganlah kamu bertanyakan berkenaannya.
Secara keseluruhannya, hadis tersebut membawa kepada: Sesungguhnya asal (hukum) pada setiap perkara itu adalah halal. Rujuk Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah (1/326).
Beberapa contoh bulu tersebut adalah
seperti bulu dada, bulu betis, bulu paha, bulu hidung, bulu yang
terdapat di lengan, serta selainnya yang tidak terdapat arahan untuk
memotongnya serta tidak terdapat larangan untuk menyimpannya. Justeru,
dalam hal ini seseorang itu boleh sahaja menyimpan bulu-bulu tersebut
iaitu tidak memotongnya, dan dia boleh juga untuk memotongnya sekiranya
dia mahu.
Kami berpendapat, hukum asal mencukur bulu kaki bagi orang perempuan ataupun orang lelaki adalah harus.
Ini kerana tidak terdapatnya arahan untuk mencukurnya serta tiada pula
larangan untuk menyimpannya. Walaupun begitu, jika sekiranya memotong
atau mencukur bulu-bulu tersebut boleh membawa kepada tasyabbuh
(penyerupaan) lelaki kepada perempuan, maka hukumnya adalah dilarang.
Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لَعَنَ
رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ
بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: Rasulullah S.A.W melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan, serta golongan perempuan yang menyerupai lelaki.
Riwayat Al-Bukhari (5885)
Imam Ibn Hajar Al-Asqalani Rahimahullah
apabila mensyarahkan hadis ini menukilkan kata-kata Imam Al-Thabari
berikut: Tidak dibolehkan bagi orang lelaki untuk menyerupai orang-orang
perempuan pada pakaian dan perhiasan yang khusus bagi kaum wanita dan
begitulah juga sebaliknya. Kata Al-Hafiz Ibn Hajar: Demikian juga (tidak
boleh menyerupai) pada ucapan dan juga cara berjalan. Adapun celaan tasyabbuh
(penyerupaan) pada ucapan dan cara berjalan itu adalah khas kepada
sesiapa yang sengaja melakukannya. Adapun sesiapa yang memang asal
kejadiannya sebegitu, dia diperintahkan untuk berusaha sedaya mungkin
meninggalkannya. Lihat Fath Al-Bari, Ibn Hajar (10/345).
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
loading...
0 Response to "Apa Hukum Mencukur Bulu Kaki Bagi Lelaki dan Perempuan?"
Post a Comment