TIADA PAHALA untuk Solat yang TIDAK KHUSYUK

Kongsikan di


Khusyuk dalam solat adalah suatu perkara yang sukar ditemui oleh ramai umat Islam.
Adakalanya seseorang muslim solat tapi dari permulaan hingga akhir
solatnya dia tidak mengingati apa-apa pun kecuali khayalan-khayalan dan
fikiran yang melayang ke seluruh alam. Sebenarnya solat yang tidak ada
khusyuk di dalamnya tidak mempunyai pahala.

Walaupun pendapat yang dipakai dalam mazhab Imam Syafie ialah hukum
sunat khusyuk dalam solat. Namun ramai juga ulama yang menghukumkan
wajib khusyuk dalam solat.Di sini didatangkan petikan dari sebuah kitab yang
popular pada warga
madrasah dan pondok, iaitu Fathul Muin karangan Syaikh Zanuddin Al
Malibari. Kata beliau:
“dan disunatkan khusyuk dalam solat dengan hatinya dan anggotanya.
Khusyuk dengan hati ialah bahawa tidak datang dalam hatinya perkara yang
 selain daripada solat, dan jika perkara yang berkaitan dengan akhirat
sekalipun. Dan khusyuk dengan anggota ialah ia tidak bermain-main dengan
 mana-mana anggota pun.

Hukum ini adalah berdasarkan firman Allah taala yang memuji orang yang
khusyuk dengan firman-Nya:

“Sungguhnya telah berjaya orang yang beriman, (iaitu) yang khusyuk dalam
 solat mereka.” (Mukminun 1-2)

Dan juga kerana tiada pahala pada solat yang tidak dilakukan dengan
khusyuk, sebagaimana yang dinyatakan oleh banyak hadis-hadis sahih.

Di samping itu kerana ada juga pendapat di kalangan ulamak mazhab Imam
Syafie yang mengatakan bahawa kusyuk adalah syarat bagi sahnya solat.”
(Fathul Mu’in bersama hasyiah I’anah Talibin, 1/181)

Apabila terdapat perbezaan pendapat ulama dalam sesuatu hukum maka kita
disunatkan melakukan ihtiyat. Maksud ihtiyat ialah melakukan sesuatu
perkara mengikut jalan yang terbaiknya. Di sana terdapat satu kaedah
yang bererti: “keluar dari perbezaan pendapat adalah disunatkan.”

Contoh hukum yang menjadi perbezaan pendapat ulama ialah hukum menggosok
 anggota wudhuk. Ulama mazhab Syafie berpendapat sunat kerana Imam Malik
 bin Anas berpendapat wajib.

Syaikh Al Malibari berkata: tidak disunatkan melakukan perkara-perkara
sunat dalam wudhuk sekiranya ia menyebabkan terlepas solat jamaah.
Tetapi perkara yang ada sebahagian ulama menghukumnya wajib, seperti
menggosok anggota ketika wudhuk, sunat dilakukan juga walaupun akan
menyebabkan terlepas solat jamaah.

Kata-kata Syaikh Al Malibari ini menunjukkan kepentingan menjaga khilaf
(perbezaan pendapat) yang berlaku di antara ulama. Kita tidak boleh
berkata: alah sunat je, kerana pendapat ulama yang berkata wajib
hendaklah dihormati juga, kerana barangkali pendapatnya adalah yang
benar di sisi Allah.

Begitu jugalah dengan hukum khusyuk dalam solat walaupun pendapat yang
muktamad dalam Mazhab Imam Syafie adalah sunat, tetapi kerana ada ulama
dalam mazhab ini dan juga dari mazhab lain mengatakan khusyuk adalah
wajib, maka kita hendaklah cuba dan berusahah untuk solat dengan
khusyuk. Tambahan pula banyak hadis-hadis yang mengatakan solat yang
dilakukan tanpa khusyuk adalah tidak ada pahala.

Di antara ulama yang mengatakan wajib khusyuk di dalam solat ialah Imam
Al Ghazzali di dalam kitabnya Ihya Ulumiddin dan diikuti oleh sebahagian
 ulama seperti Ibnu Hamid pengikut Imam Ahmad, dan ada dua pendapat Imam
 Ahmad, Ibnu Taimiyyah juga mengatakan wajib khusyuk.

Imam Ar Razi mengatakan khusyuk ialah syarat sah dan bukan syarat untuk
diterima solat.

DALIL-DALIL ULAMA YANG MENGATAKAN KHUSYUK ADALAH SYARAT.

Firman Allah, ertinya:

“dan dirikanlah solat kerana mengingati-Ku” (Toha, 14)

Zahir dalam perintah ini adalah wajib (menginti Allah dalam solat), dan
lalai adalah berlawanan dengan mengingati Allah. Maka orang yang lalai
dalam seluruh solatnya bagaimana boleh dikata sebagai orang mendirikan
solat untuk mengingati Allah?

Dan firman Allah, ertinya:

“ Dan ingatlah tuhanmu dalam hatimu dengan rendah diri dan takut, tanpa
menguatkan suara pada waktu pagi dan petang , dan jangan kamu jadi orang
 yang lalai.” (A’raf, 205)

Ini adalah larangan yang zahirnya ialah untuk mengharamkan sifat lalai.

Dan firman Allah (ertinya):

“sehingga kamu tahu apa yang kamu katakan dalam (solat)

Ayat ini adalah alasan kepada larangan mabuk, sedangkan mabuk ( tak tahu
 apa yang ia katakan dalam solat ) adalah perkara yang biasa berlaku
pada orang yang sibuk berfikir dengan dunia.

(ertinya ayat itu melarang seseorang mendirikan solat ketika mabuk, dan
dia hanya dibenarkan solat setelah sedar dan tahu apa yang dia baca
dalam solat. Sama juga dengan orang yang tidak khusyuk dalam solatnya,
dia hanya dibenarkan mendirikan solatnya ketika dia telah tidak ada
khayalan-khayalan dalam fikirannya dan dapat menumpukan perhatian dalam
solatnya.

Ayat di atas melarang solat ketika mabuk bermakna tidak boleh minum arak
 ketika hampir waktu untuk bersolat. Sama juga dengan keadaan orang yang
 akan solat hendaklah ia membuang pemikiran-pemikiran yang mengganggunya
 ketika solat.)

HADIS MENGENAI KHUSYUK

Dari Ammar bin Yasir: sabda Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas
baginda), ertinya: seseorang yang telah selesai bersolat maka hanya
dituliskan pahala baginya sebanyak sepersepuluh, sepersembilan,
seperlapan, sepertujuh, seperenam, seperlima, seperempat, sepertiga,
seperdua. (Abu Daud)

Sabda Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda) ertinya:
sesungguhnya hamba melakukan solat, dan tidaklah ditulis pahala untuknya
 seperenam, dan tidak sepersepuluhnya. Hanya ditulis pahalanya mengikut
apa yang ia menyedari daripadanya.

PANDANGAN PARA SALAFUS SOLEH

Kata Muaz bin Jabal (radiyallahu anhu): sesiapa yang mengetahui sesiapa
yang berada di kiri dan kanannya semasa bersolat maka tidak ada solat
untuknya.

Kata Al Hasan: solat yang tidak hadir hati (tidak khusyuk)adalah lebih
cepat mendatangkan azab.

Kata Abdul Wahid bin Zaid: ulama telah sepakat bahawa hamba tidak
mendapat pahala malainkan apa yang ia sedari ketika solatnya.

CARA-CARA MENDATANGKAN KHUSYUK DALAM SOLAT

Menghilangkan segala perkara yang mengganggu tumpuan di dalam solat:
antaranya :

MENGANTUK

Apabila berjaga sampai tengah-tengah malam sebab facebook atau tengok
perlawanan bolasepak maka subuh esoknya sudah tentu dikerjakan dalam
keadaan sangat mengantuk, dan khusyuk ketika ini adalah hampir mustahil.
 Nampaknya FB dan bola lebih berharga daripada pahala solat pada
sebahagian umat Islam.

RASA TERINGIN KEPADA MAKANAN

Kerana inilah umat Islam tidak dibenarkan solat ketika menghadapi
makanan dan terbuka seleranya untuk makan. Malah hendaklah makan hingga
hilang ingatan kepada makanan tersebut walaupun sehingga menyebabkan
terlepas solat berjemaah.

TERASA INGIN BUANG AIR BESAR/ AIR KECIL/KENTUT

Kita hendaklah pergi ke tandas dahulu walaupun solat hampir atau telah
diqamatkan. Begitu juga jika terasa ingin kentut tidak dibenarkan
menahannya semasa hampir solat kerana mungkin ia akan mengganggu ketika
di tengah-tengah solat.

Ini adalah sebahagian perkara yang dinyatakan dalam kitab fiqh. Salah
satu perkara yang paling penting ialah keimanan kepada akhirat dan
pengaruhnya kepada pemikiran seseorang setiap hari. Sekuat mana
seseorang muslim mengingati akhirat di dalam kehidupan sehariannya maka
sekuat itu solatnya menjadi khusyuk. Pengaruh akhirat ialah mengenai
balasan pahala dan ganjaran serta janji-janji Allah di dunia dan di
akhirat, yang akan disertai keikhlasan dan ihtisab (mengharap pahala).

Orang yang mengetahui bayaran lumayan yang akan diterima dari kerjanya
akan bertekun dengan sepenuh hati dan sepenuh tumpuan. Dan akan
melakukan apa sahaja untuk mejayakan kerjanya. Dengan semangat yang
tinggi kerja tersebut masih boleh dilakukan walaupun ketika letih dan
walau terpaksa berjaga sehingga tengah malam.

Begitulah juga solat yang diketahui segala balasan dan ganjarannya di
dunia dan akhirat –dan ganjaran akhirat lebih hebat- sudah pasti akan
melahirkan penumpuan terhadapnya, dan penumpuan inilah yang dinamakan
khusyuk. Khusyuk akan melahirkan nikmat dan lazat bermunajat dengan
Allah. Apabila nikmat telah mula dirasai maka solat itu akan dilakukan
dengan qiyam yang panjang, rukuk dan sujud pun begitu.

Firman allah taala, ertinya:

“dan mintalah bantuan kepada Allah dengan sabar dan solat; dan
sesunggunya solat itu berat kecuali bagi orang yang khusyuk; iaitu
mereka yang yakin akan bertemu tuhannya, dan yakin akan kembali
kepada-Nya.
(Al Baqarah, 45-46)

Mengikut tafsir An Nasafi:

“dan mintalah pertolongan kepada Allah untuk menunaikan segala keperluan
 kamu dengan bersabar dan solat, iaitu kamu melakukan solat dengan
bersabar di atas perintah solat dan segala kepayahan ketika
melakukannya, dengan ikhlas, menolak segala bisikan-bisikan syaitan dan
segala yang terlintas dalam fikiran, menjaga segala adab-adab solat,
khusyuk, dan mengetahui bahawa ia sedang berdiri di hadapan tuhan
penguasa seluruh alam.

Ataupun maksudnya: mintalah bantuan ketika menghadapi bala bencana
dengan bersabar dan melakukan solat ketika berlakunya, adalah Nabi
Muhammad (selawat dan salam ke atasnya) segera melakukan solat ketika
berlaku sesuatu masalah. Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas pernah
diberitahu kematian saudaranya ketika dia dalam musafir, ia pun membaca
istirja’ dan solat dua rakaat, dan membaca ayat di atas.

Ada ulama berpendapat sabar itu ialah puasa, dan ada sebahagaian
pendapat mengatakan solat ialah doa.

Sesungguhnya solat atau minta bantuan itu adalah berat, kecuali bagi
orang yang khusyuk, kerana mereka mengharapkan apa yang disimpan untuk
mereka sebagai balasan di atas penat lelah melakukan solat, sebab itu
mereka merasakan ringan melakukan solat.

Lihatlah firman-Nya: “iaitu orang-orang yang percaya bahawa mereka akan
bertemu tuhan mereka” yakni yang mengharap bertemu pahala mereka, dan
mendapat apa yang ada di sisi-Nya, dan ghairah untuk mendapatnya.


Ada juga ulama mentakwilkan makna percaya dengan makna yakin berdasarkan
 qiraat Abdullah bin Masud, yang membaca “mengetahui bahawa mereka akan
bertemu tuhan mereka” maksudnya mengetahui bahawa mereka pasti akan
bertemu balasan pahala dan sebab itu mereka beramal dengan
bersungguh-sungguh dan solat dirasakan ringan. Adapun orang yang tidak
meyakini dan mengharapkan pahala maka semua itu hanya dirasakan
kepayahan dan berat semata-semata. (Nasafi, 1/86)

(Sumber: Anakgeriksoleh)
loading...

1 Response to "TIADA PAHALA untuk Solat yang TIDAK KHUSYUK"

  1. ingin mendapatkan uang banyak dengan cara cepat
    ayo segera bergabung dengan kami di FANSPOKER

    ReplyDelete

Didakwah