BAGAIMANA KAWAN MEMPENGARUHI PERIBADI KITA

Kongsikan di


Ramai orang bersahabat, tetapi tidak ramai yang ada sahabat yang sejati.
Ramai yang bersahabat, mana mungkin kita hidup di dunia ini bersendirian tanpa insan yang bergelar sahabat.
Tidak dinafikan jika dahulu sahabat kita adalah ibu bapa dan adik beradik kita.
Kemudian apabila menjejakkan kaki ke alam persekolahan, akan ada pula kenalan lain digelar rakan dan rakan baik sehingga ada yang seperti belangkas asyik berkepit 24 jam.
Namun, ada juga persahabatannya terhenti seiring tamatnya musim persekolahan.
Oleh itu, apa sebenarnya erti sebuah persahabatan yang dianjurkan oleh Islam?
Adakah sahabat seseorang yang mempunyai banyak persamaan dengan kita? Atau seseorang yang ada bersama kita ketika kita senang atau susah?
Atau seseorang yang mungkin seakan lupakan kita tetapi doanya tidak putus buat kita?
Kita tinggalkan sebentar soalan ini.

Untuk apa kita bersahabat sebenarnya?

Satu persoalan yang jarang kita tanyakan pada diri kita. Mungkin kurang penting pada kita.
Tetapi sebenarnya matlamat persahabatan itu perlulah jelas agar nilai sebuah persahabatan itu dapat kita raih dan nikmatnya dapat kita rasai.
Mungkin ramai mudah mengatakan, “Aku bersahabat kerana Allah”, namun, sejauh mana kita mampu melaksanakannya.
Jangan kita ingat hanya Cinta memerlukan pengorbanan, persahabatan juga memerlukannya. Fitrah manusia yang dikurniakan emosi.
Di saat persahabatan kita diuji, di sini kita boleh nilai sejauh mana ikhlasnya kita bersahabat. Orang kata kawan ketawa ramai, kawan menangis jarang dijumpai.
Mampukah kita yakin ada di kalangan sahabat kita yang akan ada untuk mendukung kita di saat kita memerlukan mereka?
Jika itu yang kita inginkan, sudah semestinya sahabat kita juga berfikiran yang sama.
Sudah saya utarakan tadi, persahabatan yang tulus adalah benar-benar kerana Allah. Tidak mengharapkan sebarang balasan, hanya untuk memberi.
Tidak ada sebarang rungutan apabila melakukan dengan ikhlas. Sejauh mana kita ikhlas dalam bersahabat hanya Allah yang mampu menilainya. Saya teringat satu kata-kata tentang ikhlas:
“Masih belum ikhlas kalau kita masih boleh mengungkit”.
Indahnya bersahabat kerana Allah, kerana semua yang dilakukan untuk sahabat hanya untuk mengharapkan balasan dariNya. Lalu, untuk apa pujian manusia atau balasan darinya sedangkan ada Allah yang Maha Kaya.
Ketika saya mencoretkan artikel ini, saya teringatkan sahabat saya yang sentiasa mengingatkan kami tentang Allah. Tuturnya tidak lari dari mengharapkan redha Allah.
Pada mulanya,saya seolah-olah malu dengannya, seakan saya dipaksa berbuat baik di depannya.
Namun, ketika saya faham bahawa dia menasihati atas rasa kasih pada sahabat dan untuk kebaikan diri saya juga tanpa mengharapkan sebarang balasan, saya mula mengerti.
Saya pernah terbaca satu petikan bahawa Allah akan mengirimkan orang yang baik jika kita berniat untuk menjadi orang yang baik.
Sebab itu kita harus bijak memilih sahabat kerana sahabat merupakan cerminan diri kita. Oleh itu, bagaimana jika sahabat kita belum seperti yang kita harapkan?
Jawapannya, jangan tunggu sahabat yang baik tetapi jadilah sahabat yang baik itu. In Shaa Allah, kita akan menjadi magnet yang membawa perubahan itu.
Dalam hati setiap hamba Allah pasti ada satu rasa untuk berubah. Itulah fitrah mungkin cara untuk menzahirkannya sahaja perlukan mujahadah.

Jadi dahulu seperti yang diinginkan

Mari sahabatku, kita refleksi diri. Jadilah seperti yang kita impikan.
Dalam memilih pasangan hidup, kita amat behati-hati agar pasangan kita dapat bersama-sama kita menuju redhaNya.
Dalam persahabatan juga wujudkan ciri-ciri sahabat yang diidamkan agar kita dapat sama-sama menikmati indahnya bersahabat keranaNya.
Di sini saya gariskan beberapa ciri yang perlu ada dalam diri seorang sahabat (juga untuk kita yang bergelar sahabat)
  1. Berpegang pada agama (Beragama sahaja tidak cukup kerana cinta pada Allah bukan hanya melalui kata-kata sahaja tetapi melalui perbuatan melaksanakan perintah dan menghindari laranganNya)
  2. Berakhlak (Akhlak ini apa yang terzahir di hati, dan sesungguhnya akhlak yang terpuji ada pada Rasul yang kita cintai, Nabi Muhammad s.a.w)
  3. Sanggup berkorban
  4. Menjaga aib sahabatnya
  5. Sentiasa menasihati dan bersedia menerima teguran

Akhir kalam: nilai sebuah persahabatan yang sebenarnya.
Saya ulang soalan tadi apa sebenarnya erti sebuah persahabatan yang dianjurkan oleh Islam?
Sahabat adalah insan yang selalu di samping kita walau tidak ada di depan mata tapi dalam doanya sentiasa ada untuk kita.
Islam menganjurkan persahabatan yang dilandasi kasih sayang kerana Allah.
Jika itu matlamatnya pasti akan saling ingat-mengingati ke arah kebaikan dan bersama-sama mencegah kemungkaran. Indahnya hidup bersahabat bukan?
Kesimpulannya, persahabatan itu cukup indah bagi mereka yang benar-benar megerti akan nilainya. Sedarlah wahai sahabat adalah antara hadiah terbaik dari Allah untuk kita.
Jangan sesekali bersahabat kerana keperluan semata-mata kerana apa sahaja yang kita lakukan tidak akan lari dari Yang Maha Melihat.
Manusia memang tidak lari dari kesilapan tetapi itu tidak menjadi alasan untuk kita tidak berusaha berubah ke arah kebaikan. Mari audit diri.
Cuba hayati bait-bait lirik lagu nyanyian kumpulan Brothers yang berjudul Teman Sejati ini;
Selama ini ku mencari-cari teman yang sejati buat menemani perjalanan ini,
Bersyukur kini padaMu Ilahi teman yg dicari selama ini telah kutemui,
Dengannya disisi perjuangan ini senang diharungi bertambah murni kasih Illahi,
KepadaMu Allah ku panjatkan doa agar berkekalan kasih sayang kita,
Kepadamu teman ku pohon sokongan, pengorbanan dan pengertian,
Telah kuungkapkan segala-galanya.
SUMBER: UMIRA SHAHAR
loading...

0 Response to "BAGAIMANA KAWAN MEMPENGARUHI PERIBADI KITA"

Post a Comment

Didakwah