MENGAPA SUSAH BAGI KITA MENGINGAT ALLAH

Kongsikan di

menyebut nama Allah
Sentiasa menyebut nama Allah | ALLAH by DxbEdition
Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Tidak dinafikan bahawa Tuhan itu hampir. Sangat hampir dengan setiap makhluk ciptaanNya. Makhluk yang berada di dalam air, dalam tanah, di bumi, bahkan di langit pun.
Tuhan itu dekat dengan kita. Dan kerana itu jua, kita mengimani bahawa hidup ini berTuhan. Ada pemilikNya, penciptaNya. Dan Tuhan itu Maha Berkuasa atas setiap segalanya.
“Allah SWT bersama-sama dengan kita. Setuju..?” kata Shaykh Muhammad al-Yakoubi.
Kita mempersetujuinya.
“Kita pula bersama-sama dengan Allah SWT..?” tambah beliau lagi. Kita diam dan memikirkan jawapannya.
Antara jawapan yang paling jujur, kita tidak bersama-sama dengan Allah SWT. Kita terlalu jauh, dan dalam kejauhan itu kita tidak lihat akan kewujudan Allah SWT.
Kita tidak merasai adanya Allah SWT. Dan kedekatan Tuhan yang Pengasih itu kita tidak pun hiraukanNya.
Kita jauh. Nun jauh entah ke mana~
Dalam keadaan senang dan dipermudahkan urusan kehidupan, kita mudah lupa dan alpa padaNya. Bilamana ujian mendatang, kita kembali untuk mengingatiNya.
Itupun kerana rahmatNya dan bantuanNya. Jika tiada bantuan, jika tiada rahmat, tiada belas kasihan, dan tiada pertolongan daripada Allah SWT, bagaimanakah kita?
Lihat bagaimana seseorang pendosa itu melakukan dosa, maksiat, dan tidak taat padaNya. Apakah Allah SWT terus menghukum? Adakah Allah SWT terus campak ke dalam neraka jahanam?
Nabi Adam a.s dan pasangannya diusir dari syurga dan di tempatkan di dunia dan bukannya melulu ke neraka, kerana Allah SWT memberi peluang pada segenap makhluk. Tidak lain peluang yang Allah SWT beri pada kita ialah taubat.
“Apakah yang memberatkan kita menyebut nama Allah SWT..?” nasihat Habib Munzir bin Fuad Al Musawa.
Muhasabah.
Hari ini, hidup kita dihiasi dengan bercakap-cakap. Meskipun kita tidak melafazkannya melalui mulut, kita bercakap-cakap melalui tulisan. Dan sekalipun tidak secara tulisan, kita bercakap-cakap melalui hati kita sendiri. Kita bermonolog.
Namun, apakah yang dicakap-cakapkan?
Politik, ekonomi, hiburan, kerjaya, belajar, rumahtangga, mengumpat aib orang dan kesalahan orang lain, isu cinta sebelum dan selepas nikah..? Adakah itu Tuhan kita? Atau kita berTuhankan semua perkara itu?

Jarang sekali kita bercakap-cakap, bahkan menyebut nama Allah SWT.

Walhal, hebatnya seorang muslim itu telah terpancar lagi ketika ia dilahirkan.
Keluar sahaja daripada perut ibu, diazankan, diiqamatkan. Bibit-bibit awal mengenali Tuhan. Akan tetapi, semakin hari, semakin bulan, semakin tahun, kita jarang mendengar dan menyebut-nyebut nama Allah SWT.
Dan apabila bercakap soal kematian, hendak seribu satu mati dalam keadaan baik, mati sebagai seorang Islam, mati dengan keadaan seorang hamba yang bibirnya lancar menyebut nama Allah SWT.
Tetapi hidup kita bagaimana? Kita banyak mensia-siakan peluang yang diberi.
Allah SWT cinta akan kita.
Kerana itu, kita dianugerahkan seorang Nabi dan Rasul yang mulia, Nabi Muhammad SAW. Kehidupan Rasulullah saw sangat berkat dan baik.
Baginda saw banyak menyebut nama Allah SWT, berzikir, dan beristighfar. Lebih banyak diam daripada bercakap-cakap yang tidak penting dan tiada manfaat.
Setiap perkara, Rasulullah saw mengutamakan Allah SWT. Keakraban dan kedekatan hubungan beliau dengan Allah SWT telah terlihat lagi sewaktu hidup.
Dan di akhirnya kehidupan, Allah SWT memuliakan Rasulullah SAW. Kita merindukan saat itu.
Ketahuilah, Allah SWT cinta akan kita. Lalu dikurniakan kita akan Rasulullah SWT. Dan Rasulullah SWT pun mencintai kita semua. Tidak kira apa pun, Rasulullah SAW dan Allah SWT tetap dan senantiasa bersama-sama dengan kita.
Kita..?
SUMBER: NASIRUDIN AMIR
loading...

0 Response to "MENGAPA SUSAH BAGI KITA MENGINGAT ALLAH"

Post a Comment

Didakwah