Tidak dinafikan, ada terlalu banyak akhlak dan sunnah baginda yang terpuji yang seharusnya dikongsikan dan menjadi contoh. Jika disenaraikan, memang takkan pernah habis. Pendek kata, baginda bukan sahaja seorang tokoh spiritual yang disegani oleh orang Islam, tetapi turut disegani oleh orang bukan Islam.
Berikut adalah beberapa perkara menarik untuk dikongsikan tentang Nabi Muhammad SAW menurut perspektif anak-anak.
1. Baginda Tak Pernah Makan Seorang Diri
Nabi Muhammad SAW selalu berkongsi makanan dengan orang lain. Sayangnya, sunnah makan berjemaah ini nampaknya sudah semakin dilupakan. Sebenarnya ada banyak kebaikan yang boleh kita pelajari daripada diet ala Rasulullah.Baginda mengajar kita bahawa 2 hidangan sebenarnya cukup untuk 4 orang. Ajaran ini menunjukkan bahawa kita tak seharusnya makan berlebihan kerana ia mengundang kemalasan dan sifat tamak.
Dalam sebuah hadis baginda bersabda:
“Sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga untuk nafas.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Majah)
Telah begitu banyak kajian saintifik yang membuktikan bahawa makan sekadarnya dapat menjadikan tubuh lebih sihat kerana setiap organ dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada fungsinya yang tertentu. Sebaliknya, jika kita makan berlebihan, organ tubuh akan terlalu sibuk menguraikan makanan hingga mengabaikan fungsi mereka yang sepatutnya. Jadi, tidak hairanlah begitu banyak penyakit hari ini berpunca daripada obsesi kita terhadap makanan!
2. Baginda Sentiasa Memandang Wajah Semasa Bercakap Dengan Seseorang
Sesiapa yang berinteraksi dengan Baginda sentiasa merasakan bahawa merekalah yang paling istimewa. Walau apa pun latarbelakang mereka, apabila berada di samping Rasulullah, mereka akan berasa amat dekat, dihargai, dan dicintai.Setiap butir perkataan Baginda dilantunkan dengan suara yang jelas dan menjadikan semua orang senang mendengarnya. Walaupun dikenali dengan sifat pendiam, Baginda juga suka menceriakan suasana dengan jenaka yang tidak keterlaluan. Selain itu, Baginda tidak kedekut meluangkan masa untuk bermesra dan melayan anak kecil dan suka bermain dengan mereka.
3. Baginda Selalu Tersenyum
Apabila anda berhadapan dengan kesukaran, percayalah bahawa lebih ramai lagi yang diuji dengan begitu banyak kesusahan yang lebih berat, termasuklah Nabi SAW. Malahan, Baginda bukan saja terpaksa menanggung kesedihan akibat kehilangan anak-anaknya, tetapi juga isterinya Khadijah yang amat dicintainya.Walaupun berhadapan dengan tragedi demi tragedi, baginda sentiasa positif dan bersemangat meneruskan hidup serta dakwah Baginda. Malah, ia menjadikan Baginda lebih empati terhadap kesedihan orang lain.
Buktinya, Abdullah bin Al-Harist RA mengatakan, yang ertinya,”Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Sallam “. (Riwayat At-Tirmidzi)
Sebenarnya, senyuman mampu meningkatkan kadar hormon serotonin, iaitu penawar kemurungan semulajadi dalam tubuh manusia. Dengan menyebarkan senyuman, ia menjadikan dunia lebih positif di samping mengakrabkan hubungan antara manusia. Ramai daripada kita yang memandang remeh terhadap sunnah Rasulullah yang hebat ini.
4. Baginda Mengajari Kita Untuk Mengasihi Anak Yatim
Selain mengasihi anak-anak kecil, Nabi Muhammad SAW amat menitikberatkan soal keprihatinan umat Islam terhadap anak yatim. Baginda berkata bahawa sesiapa yang menjaga dan mempermudahkan urusan anak-yatim yatim akan berada bersama Baginda di syurga.Secara psikologinya, orang dewasa sekalipun apabila kehilangan ibu bapa pastilah akan terasa kosong jiwanya. Apatah lagi anak yang masih kecil. Betapa sedihnya apabila seseorang yang selama ini menyayanginya, mengambil berat terhadapnya, menghiburkannya, menasihatinya dan sangat dekat dalam hidupnya telah pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
Oleh itu, terlalu banyak hikmahnya kita apabila Islam menempatkan anak yatim ini di posisi yang sangat tinggi. Banyak sekali ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menekankan perihal kebajikan anak yatim.
5. Baginda Merindui Kita
Tahukah anda, Rasulullah SAW pernah diceritakan amat merindui umat akhir zaman, termasuklah setiap daripada kita semua.Rindu ini terungkap ketika Rasulullah SAW pulang daripada mengunjungi syuhada Uhud dalam keadaan menangis sehingga para sahabat bertanya, “Apa yang membuat engkau menangis ya Rasulullah?”
Baginda menjawab, “Aku merindukan saudara-saudaraku.”
“Bukankah kami saudara-saudaramu wahai Rasulullah?” Tanya sahabat.
Kemudian beliau bersabda, “Kalian adalah sahabat-sahabatku, adapun saudara-saudara adalah suatu kaum yang datang setelahku, mereka beriman kepadaku sedang mereka belum pernah melihatku, aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka.”
Pupuk Cinta Anak Terhadap Rasulullah SAW
Mungkin ada yang tertanya-tanya, bagaimana mungkin kita memperkenalkan seseorang kepada anak kecil yang tidak dapat melihat dan memandang wajah mereka seperti Rasulullah SAW, apatah lagi menyanjungi dan menyayangi Baginda.Jangan pandang rendah dengan imaginasi anak kecil, sebagaimana mereka dapat mengenal dan menyanjung superhero, seperti itu jugalah mereka boleh terpengaruh dengan kisah-kisah hebat tentang Nabi kita. Yang penting, kita sebagai ibu bapa perlulah mendedahkan maklumat yang sesuai mengikut tahap kefahaman mereka.
Sumber: Sirap Limau
loading...
0 Response to "5 Perkara Anak Kita Patut Tahu Tentang Nabi Muhammad SAW"
Post a Comment