Ada tiga jenis sujud selain sujud di dalam solat fardhu yang dilakukan kerana sebab-sebab tertentu. Sujud-sujud yang dimaksudkan adalah sujud sahwi, sujud sajadah dan sujud syukur.
Sujud Sahwi
Sujud sahwi dilakukan disebabkan oleh 3 perkara iaitu:
1. Tertinggal membaca tahiyat awal.
2. Menambah rukuk, atau rukun-rukun yang lain kerana terlupa atau syak pada bilangan
rakaatnya.
3. Lupa membaca qunut atau salah satu daripada sunat Ab’adh.
Sunat Ab’adh adalah membaca tahiyat awal, membaca selawat ke atas nabi ketika membaca tahiyat awal, dan membaca qunut pada rakaat akhir solat Subuh dan pada rakaat akhir solat witir dalam separuh akhir bulan Ramadhan.
Cara-cara mengerjakan sujud sahwi adalah sebagaimana berikut:
Selepas tahiyyat akhir iaitu sebelum salam dan dalam keadaan duduk iftirasy, sujudlah dua kali sujud. Duduk iftirasy adalah duduk dengan kaki kanan ditegakkan manakala kaki kiri dibentangkan dan didudukkan kaki kiri itu. Ia adalah seperti duduk di antara dua sujud atau duduk pada tahiyyat awal.
Semasa sujud bacalah:
“Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak pula lupa.”
Kemudian duduk semula dengan duduk iftirasy. Beri salam ke kanan dan ke kiri.
Sujud Sajadah
Sujud Sajadah dikenali juga sebagai sujud tilawah. Ia adalah sujud ketika membaca atau mendengar bacaan ayat-ayat tertentu di dalam Al-Qur’an. Ada 15 tempat semuanya. Sujud ini boleh dilakukan di dalam atau di luar solat. Ia dilakukan sebanyak sekali sujud sahaja.
Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud,
“Dari Amru Ibn ‘As R.A. bahawa Rasulullah S.A.W menerangkan kepadanya lima belas ayat sajadah yang tersebut di dalam Al-Qur’an…”
Riwayat Abu Daud
Ayat-ayat sajadah itu adalah:
1. Surah al-A’raf: 206
2. Surah al-Ra’d: 15
3. Surah an-Nahl: 50
4. Surah al-Israa: 109
5. Surah Maryam: 58
6. Surah al-Hajj: 18
7. Surah al-Hajj: 77
8. Surah al-Furqan: 60
9. Surah an-Naml: 26
10. Surah as-Sajdah: 15
11. Surah Sad: 24
12. Surah Fussilat: 38
13. Surah an-Najm: 62
14. Surah al-Insyiqaq: 21
15. Surah al-‘Alaq: 19
Semasa bersujud, bacalah:
“Sujudlah muka dan seluruh diriku kepada Allah yang telah menciptakannya dan membentuk rupanya, juga telah mencipta pendengaran dan penglihatannya dengan kuasa Allah jugalah. Maha suci Allah dengan sebaik-baik kejadian.”
Sujud sajadah mesti dilakukan dengan 4 syarat:
1. Suci badan, pakaian dan tempat.
2. Menghadap kiblat.
3. Menutup aurat.
4. Sujud setelah selesai membaca ayat sajadah.
Sujud Syukur
Ada suatu masa seseorang itu beroleh nikmat atau terlepas dari bala. Perasaan bersyukur kerana keadaan itu boleh diterjemahkan melalui sujud syukur. Sujud ini dilakukan di luar solat. Bacaannya adalah sama seperti bacaan sujud tilawah atau sujud sajadah.
Ada 6 syarat untuk melakukan sujud syukur. Syarat-syaratnya ialah:
1. Mestilah berwuduk.
2. Menghadap kiblat.
3. Berniat seperti “Sengaja aku sujud syukur kerana Allah.”
4. Takbiratul ihram. Kemudian terus sujud.
5. Bertakbir bangkit dari sujud.
6. Memberi salam.
loading...
0 Response to "Pengertian Solat : Mari Mengenali Sujud Sahwi,Sujud Sejadah Dan Sujud Syukur Dalam Solat."
Post a Comment