1. Mulakan Dari Rumah
Rumah merupakan sekolah pertama anak-anak. Pelbagai perkara akan anak pelajari bermula dari rumah. Anak dalam usia sebegini sememangnya menjadi pencerap dan pemerhati yang sangat baik terhadap perkara yang berlaku di sekelilingnya. Oleh itu, kita sebagai ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh yang baik dalam konsep berkongsi agar anak turut memahami erti perkongsian.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh menunjukkan kepada anak bahawa semua ahli keluarga boleh berkongsi kuih-muih yang dihidangkan dalam satu pinggan untuk dimakan bersama, berkongsi buku untuk dibaca atau berkongsi menggunakan alat tulis yang ada di rumah.
2. Bermain Bersama
Bermain bersama anak juga merupakan salah satu cara untuk mendidik anak kecil berkongsi barang. Ini kerana, dalam proses bermain itu sudah pasti kita akan menggunakan pelbagai peralatan untuk bermain bersama mereka termasuklah alat permainan anak. Jadikan aktiviti bermain bersama anak kecil sesuatu yang menyeronokkan dengan berkongsi barang permainan bersama mereka.
Kelak, mereka akan memahami bahawa berkongsi barang itu dapat melipat gandakan kegembiraan mereka bukan sahaja ketika bermain, malah dalam melakukan pelbagai perkara lain juga.
3. Tetapkan Masa
Ibu bapa juga boleh mengajar anak berkongsi barang dengan menetapkan masa untuk anak bermain atau menggunakan sesuatu barang. Sebagai contoh, abang akan bermain alat muzik gitar dalam masa 10 minit, dan kemudian giliran adik pula bermain permainan tersebut dalam tempoh 10 minit.
Selain daripada belajar untuk mengambil giliran, anak kecil sekaligus dapat belajar berkongsi barang dengan orang lain.
4. Minta Kebenaran
Untuk mengelakkan anak suka bergaduh, fahamkan mereka tentang konsep meminta dan memberi pinjam untuk berkongsi barang. Didik anak kecil untuk meminta kebenaran sekiranya ingin meminjam atau berkongsi barang dengan orang lain dan ucapkan terima kasih apabila diberi pinjam barang tersebut.
Tegur anak kecil secara berhemah sekiranya mereka hanya merampas barangan yang diingini daripada orang lain. Ingatkan juga anak kecil untuk berhati-hati ketika menggunakan barang yang dikongsikan bersama orang lain itu dan menjaga barang tersebut seperti barangnya sendiri.
5. Beri Kepada Yang Memerlukan
Berkongsi apa yang kita ada kepada orang lain yang memerlukan adalah amalan mulia yang seharusnya dipupuk dalam diri anak kecil. Sesekali, kita boleh mengajak anak untuk mengumpul barang-barang yang masih elok tetapi tidak lagi digunakan di rumah untuk diberikan kepada individu yang lebih memerlukan.
Cara ini bukan sahaja dapat memupuk sifat pemurah dalam diri anak, malah anak kecil ini akan belajar bahawa perkongsian dapat memberi manfaat buat orang lain juga.
6. Simpan Barang Kesayangan
Kita semua pasti mempunyai beberapa barang yang amat disayangi dan tidak mahu dikongsikan kepada orang lain. Begitu juga dengan anak kecil. Mereka tidak boleh dipaksa untuk berkongsi barangan kesayangan mereka dengan orang lain.
Untuk mengatasi anak suka bergaduh, bantu anak kecil ini memilih barangan kesayangannya untuk disimpan di tempat yang selamat apabila tetamu datang ke rumah serta benarkan anak berkongsi barang-barang lain dengan tetamu yang datang.
Dengan ini, anak akan dapat belajar membuat keputusan dalam memilih barangan yang mahu disimpan untuk dirinya sahaja dan barang yang boleh dikongsikan bersama orang lain.
7. Beri Pujian
Apabila anak kecil sudah dapat menerima serta memahami konsep perkongsian dan mula berkongsi barang dengan adik-beradik, sepupu mahu pun kawan-kawan mereka, jangan lupa untuk memberikan pujian kepada mereka!
Pujian daripada kita sebagai ibu bapa ini sangat bermakna buat anak kecil kerana ianya pasti dapat meneguhkan serta mengukuhkan lagi sikap mereka untuk berkongsi barang dengan orang lain.
Sumber: Sirap Limau
loading...
0 Response to "7 Tips Berkesan Didik Anak Kecil Yang Kedekut Untuk Berkongsi Barang"
Post a Comment