Benarkah Wujud Dunia Lain Di Perut Bumi?

Kongsikan di



Dakwaan aneh ini dikemukakan oleh seorang bekas anggota tentera udara Amerika, Kolonel Billie Faye Woodard.

Menurut Billie, dunia yang terletak di perut bumi itu dihubungkan oleh beberapa buah lohong dan terusan yang dibina oleh penduduk tamadun Lumeria - iaitu tamadun yang pernah wujud ratusan ribu tahun lalu di sebuah benua di Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.

Bagaimanapun, tamadun itu lenyap akibat bencana alam yang dahsyat.

Di dalam perut bumi itulah masyarakat Lumeria membina suatu tamadun baru. Kemudian, penduduk perut bumi itu membina lohong-lohong rahsia ke kutub utara dan Gunung Shasta di California, Amerika Syarikat, untuk membolehkan mereka keluar menggunakan objek tidak dikenali (UFO) dan membawa masuk penduduk bumi ke dalam dunia mereka.

Billie juga mendakwa dia telah beberapa kali masuk ke dalam dunia yang terletak di perut bumi itu.

Kali pertama berlaku ketika dia berusia 12 tahun dan sedang bermain dengan kawan-kawan di sebuah ladang jagung berhampiran rumah bapa angkatnya di Texas.

Kata Billie, sewaktu melintasi ladang jagung tersebut, dia telah didatangi oleh sebuah UFO lalu dibawa terbang merentasi Amerika dan Kanada hingga ke kutub utara.

Makhluk yang 'menculiknya' itu, dakwa Billie, mempunyai tubuh dua kali ganda daripada manusia biasa.

Sampai di kutub utara, Billie melihat kawasan yang diliputi ais itu tiba-tiba terbuka luas, membentuk sebuah lohong.

Dari dalam perut bumi, terpancar cahaya yang terang-benderang menuju ke langit. UFO yang dinaikinya terbang memasuki lohong tersebut.

Cahaya terang itu sebenarnya menurut Billie, datangnya daripada 'matahari' yang terdapat di dalam perut bumi. Ia menerangi kota-kota besar dan indah, tempat Billie hidup selama enam bulan berikutnya.

Disitulah, dakwa Billie, dia bertemu dengan manusia-manusia yang telah lenyap secara tiba-tiba dari muka bumi ini, seperti juruterbang serta anak kapal yang ghaib semasa melintasi Segi Tiga Bermuda.

Billie memasuki dunia lohong itu buat kali kedua semasa dia menyertai tentera udara. Billie mendakwa pada suatu ketika, dia dan beberapa orang pegawai tinggi tentera udara Amerika telah diarahkan menyertai satu operasi rahsia di sebuah padang pasir Nevada, yang dinamakan Area 51. Operasi itu dinamakan, Top Secret.

Tingkap pesawat digelapkan untuk merahsiakan lokasi sebenar operasi. Mereka diturunkan di celah-celah sebuah pergunungan dan kemudian masuk ke dalam sebuah lif. Lif berkenaan membawa mereka memasuki sebuah terowong rahsia menuju ke perut bumi.

Menurut Billie lagi, di perut bumi itu terdapat sebuah tamadun yang cukup hebat, mempunyai kota dan bandar yang cantik. Manusia yang tinggal di sana dua kali ganda lebih besar daripada manusia biasa.

Billie kemudiannya dibawa ke sebuah tempat bernama 'Telos', iaitu sebuah kota suci di bawah Gunung Shasta. Setelah itu barulah mereka kembali semula ke pangkalan.

Dalam tempoh 11 tahun selepas itu, Billie mendakwa dia telah tiga kali memasuki lohong bumi melalui terowong-terowong rahsia.

Dunia lohong itu begitu aman dan cantik. Hanya terdapat sebuah benua dan sebuah lautan saja di sana. Ibu kotanya, kata Billie, bernama Eden, terletak di bawah bumi Arkansas.

Kesemua penghuninya memakan sayur-sayuran manakala haiwan-haiwan yang terdapat di perut bumi jinak serta boleh berinteriaksi dengan manusia melalui telepati.

Billie seterusnya mendakwa, tiada penyakit di sana kerana persekitarannya cukup bersih hinggakan jika kita memasuki dunia itu, segala penyakit akan sembuh dengan hanya menyedut udara.

Dalam kunjungan kali ketiga ke dunia lohong di perut bumi itu, Billie diminta oleh penghuni di sana supaya memberitahu tentang kewujudan mereka kepada penghuni dunia. Billie turut diminta menyampaikan mesej bahawa, penghuni perut bumi adalah makhluk yang sukakan keamanan. Mereka juga ingin sangat bersahabat dengan manusia yang hidup di permukaan planet ini.

Selain itu, Billie mendakwa diminta memberitahu pihak kerajaan dan tentera supaya menghentikan keganasan serta ujian senjata nuklear dan atom yang sering dilakukan dewasa ini.

Selain menyebabkan kerosakan serta pencemaran, ujian senjata itu turut mengancam nyawa manusia yang hidup di perut bumi.

Bagaimanapun, Billie memberitahu mereka bahawa permintaan itu sia-sia sahaja. Kerajaan dan pihak tentera yang ada di planet bumi semuanya keras kepala.

Ego mereka terlalu tinggi dan mereka tidak akan mendengar suara penghuni perut bumi. Lantas Billie mencadangkan agar penghuni perut bumi keluar dan menunjukkan kewujudan mereka. Dari situ barulah manusia yang hidup di permukaan bumi ini terkejut dan mengubah sikap.

Di dalam biografinya yang berjudul World Top Secret Our World is Hollow yang ditulis oleh Rodney M. Cluff pada Julai 2008, Billie memberitahu, dakwaannya bukan cerita rekaan. Billie dengan tegas mengatakan ia adalah suatu rahsia besar kerajaan dan tentera Amerika Syarikat. Dia sendiri telah diberi amaran keras supaya tidak mendedahkan perkara itu kepada dunia luar.

World Top Secret Our World is Hollow

Dakwa Billie lagi, kejadian sebuah lohong terbuka di kutub utara telah berlaku pada tahun 1986 dan dilihat sendiri oleh seorang juruterbang yang membawanya ke sana.

Bagaimanapun, dua buah jet pejuang Amerika yang berpangkalan di Alert Air Force Base, Kanada telah memintas sebelum mereka sempat memasuki lohong tersebut. Mereka diberi amaran supaya berpatah balik.

Boigrafi itu seterusnya mencatatkan, Billie terpaksa mematuhi arahan tersebut. Ketika berpatah balik, muncul tiga buah UFO dari lohong berkenaan. UFO itu kemudiannya menghubungi radio di dalam pesawat yang dinaiki Billie, memberitahu, "Billie, kami mengalu-alukan kedatangan anda ke dunia kami. Kami minta maaf atas apa yang berlaku. Anda tidak dapat melakukannya sekarang, tetapi perjalanan anda seterusnya akan menemui kejayaan. Auf wiedersehen!"

Benarkah dakwaan Billie ini? Walaupun ramai yang menyanggah, namun Billie tetap mempertahankannya. Malah, Billie mengaku dia bukan manusia biasa. Dia sememangnya berasal dari perut bumi dan dilahirkan bersama adik perempuan kembarnya yang bernama Zuria. Mereka mempunyai kedua-dua organ seks.

Billie mendakwa masih ingat lagi bagaimana dia berbual dengan ibu bapanya ketika masih bayi dan kemudian ibu bapanya meninggalkan mereka dua beradik di sebuah taman di Texas pada 18 September 1951. Disitulah dia diambil oleh pasangan Red Indian, ibunya dari suku Apache, manakala bapanya dari suku Cherokee.

Billie juga mendakwa, suatu ketika dahulu dia dan adiknya mampu bertutur dalam bahasa Lumeria. Adiknya, Zuria, bagaimanapun telah berpindah ke dalam dunia lohong itu. Billie mendakwa telah bertemu Zuria dalam kunjungannya ke sana.

Ramai yang menganggap dakwaan Billie satu cerita karut. Menurut mereka, cerita Billie hanyalah khayalan manusia yang tidak waras. Mereka juga mengaitkannya dengan latar belakang Billie yang pernah mengalami penderaan seks semasa zaman kanak-kanaknya dahulu.

Lumeria Lagend
Gambar hiasan.

Selain itu, Billie turut didakwa terpengaruh dengan gambaran dunia perut bumi yang telah diceritakan dalam pelbagai buku, antaranya oleh nelayan Norway bernama Olaf Jansen dalam Smoky God. Di dalam buku itu, Olaf mendakwa pernah belayar memasuki lohong yang terbuka di kutub utara dan memasuki dunia di dalam perut bumi.

Adakah anda percaya dakwaan Billie tadi? Adakah benar UFO bukan berasal dari angkasa raya, sebaliknya dari dalam perut bumi?

Adakah anda yakin manusia yang hilang di permukaan bumi serta yang lenyap sewaktu melintasi Segi Tiga Bermuda telah disedut masuk ke dalam dunia perut bumi ini?

Benarkah ia suatu rahsia besar kerajaan Amerika?





Sumber : sentiasapanas.com
loading...

0 Response to "Benarkah Wujud Dunia Lain Di Perut Bumi?"

Post a Comment

Didakwah