Perbezaan Antara Dara Dan Janda

Kongsikan di


Jika anak perempuan yang masih dara ingin berkahwin, keputusan tersebut terletak di tangan orang tuanya. Namun, bagaimana pula jika anak perempuan itu telah menjadi janda dan bukan lagi anak dara?

                                                        Gambar hiasan.
                                                           
Bagaimana pula jika dia pernah berzina dan bukan dara lagi. Adakah orang tuanya masih boleh memberi keputusan untuk berkahwin atau tidak mengikut pandangan agama?

Adakah gadis yang tiada lagi dara sama status dengan janda dari soal memberi keputusan untuk berkahwin?

Secara amnya, disyariatkan meminta izin wanita untuk menjalankan akad perkahwinan ke atasnya. Cuma ulama berbeza pandangan jika yang hendak dikahwinkan itu adalah gadis/dara.

Adakah meminta izinnya wajib atau sunat sahaja (jika yang menjadi walinya adalah bapa atau datuknya)?

Menurut mazhab Imam Malik, Syafie dan Ahmad, meminta izinnya sunat sahaja. Iaitu jika bapa atau datuk mengahwinkannya dengan lelaki pilihan mereka tanpa persetujuan gadis/dara, perkahwinan itu sah.

Mazhab Abu Hanifah pula berpendapat, wajib meminta keizinannya, jika tidak maka perkahwinan tidak sah. Adapun janda, tiada khilaf dikalangan ulama bahawa wajib diminta keizinannya, maka perkahwinan tidak sah.

Bagi gadis, tanda keizinannya memadai dengan diamnya. Adapun bagi janda, tidak memadai dengan diamnya sahaja akan tetapi wajib dengan pengakuan mulut darinya.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW, "Tidak dikahwinkan wanita janda kecuali dengan meminta arahannya dan tidak dikahwinkan gadis kecuali dengan meminta keizinannya".

Sahabat bertanya, "Ya Rasulullah. Bagaimana yang dikatakan keizinannya? Baginda menjawab, Dengan diamnya". (HR Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Dari keterangan di atas, kita dapat melihat ada perbezaan hukum antara gadis dan janda dalam masalah berkaitan.

Bagaimana untuk menentukan seorang wanita itu gadis atau janda mengikut hukum Syarak? Dalam kitab Al-Mughni (Imam Ibnu Qudamah), dijelaskan seperti berikut:

1. Menurut mazhab Imam Ahmad dan Syafie. Janda ialah wanita yang telah disetubuhi difarajnya sama ada dengan persetubuhan yang halal atau haram. Namun, Imam Malik dan Imam Abu Hanifah berpendapat, Wanita yang disetubuhi secara tidak halal, hukumnya masih wanita gadis.

2. Jika selaput dara hilang kerana sebab lain dari jimak seperti kerana terjatuh, darah haid terlalu banyak atau kerana tusukan jari, kayu dan sebagainya, maka hukumnya masih hukum dara/gadis.

3. Jika sesorang wanita disetubuhi di duburnya, status tidak berubah menjadi janda dan tidak tertakluk dengan hukum wanita janda kerana persetubuhan tidak berlaku pada farajnya.

Dalam kitab Kifayatul-Akhyar (Kitab Fiqh mazhab Syafie), pengarangnya menjelaskan, "Janda ialah wanita yang telah hilang selaput daranya melalui persetubuhan sama ada halal, syubhah ataupun zina.

Adapun jika hilang dara kerana terjatuh, menusuknya dengan jari, kuatnya darah haid atau terlalu lama membujang (tidak berkahwin), maka mengikut pandangan yang sahih, hukumnya masih seperti dara/gadis.

Jika hilang selaput daranya kerana persetubuhan yang dipaksa atau disetubuhi ketika tidur mahupun wanita gila (yang disetubuhi), maka hukumnya seperti janda mengikut pandangan yang terkuat.

Ada juga pandangan berkata, "Hukumnya masih seperti gadis. Jika seorang wanita dijadikan tanpa selaput dara, ia masih dianggap dara/gadis".

Kesimpulannya, mengikut pandangan mazhab Imam Ahmad dan Syafie, wanita yang pernah berzina, ia tidak lagi dianggap gadis. Maka kedudukannya sama seperti janda dalam masalah diatas iaitu wajib diminta keizinannya secara pengakuan mulut sebelum mangahwinkannya.

Adapun mengikut pandangan mazhab Hanafi dan Maliki, ia masih lagi gadis kerana persetubuhan yang halal (bukan persetubuhan melalui akad nikah yang sah).





Sumber : sentiasapanas.com

loading...

0 Response to "Perbezaan Antara Dara Dan Janda"

Post a Comment

Didakwah