SOLAT HAJAT UNTUK PENCURI

Kongsikan di




Selesai sahaja para jemaah memberi salam akhir solat subuh pagi tadi di sebuah masjid, tiba-tiba bunyi agak bising di bahagian dewan jemaah wanita. Perkataan yang paling lantang kedengaran ialah “pencuri”.


Suara itu datang daripada sebalik tabir dewan jemaah perempuan, yang dipisahkan oleh kain tabir dengan dewan jemaah lelaki. Beberapa orang jemaah lelaki bekejar ke arah suara tersebut.

Seorang wanita keluar dari tabir kain itu menceritakan bahawa beg tangannya telah dicuri orang. Ini berlaku ketika dia sedang sujud. Beg diletakkan di sebelah kanan di tepi tabir kain itu. Ketika semua orang sujud, seseorang daripada dewan solat lelaki mengangkat tabir kain itu dari bawah dan mengambil, lalu melarikan begnya.

Beberapa orang jemaah lelaki berlari ke pintu belakang masjid. Tapi sejurus kemudian mereka masuk semula mengeleng-gelengkan kepala. Kerana masa kejadian itu berlaku telah agak lama berlalu.

Kalau wanita itu terus menjerit ketika menyedari begnya dicuri mungkin keadaan berlainan. Sudah tentu sebahagian daripada jemaah lelaki di syaf belakang mungkin bsersedia untuk membatalkan solat mereka untuk mengejar pencuri yang memang telah lama mreka idam-idamkan untuk memberkasnya. Dan solat boleh diteruskan semula.


Penyamun itu mungkin telah masuk lebih awal dengan para jemaah yang lain, dan pura-pura untuk solat, atau pun mereka mungkin masuk kemudian waktu orang sedang solat. Oleh sebab para jemaah lelaki tidaklah begitu ramai, hanya ada dua syaaf yang agak panjang setiap satunya, kerana itu syaf mereka tidaklah sampai sejajar dengan syaf wanita di balik tabir.


Waktu itu, jemaah wanita tersebut masih belum pasti apakah yang adal dalam beg tangannya itu, selain dari sebuah kitab kuci al-Quran dan mungkin juga anak kunci. Adalah diharapkan tidak ada lagi bahan-bahan penting di dalamnya seperti Ic dan sebagainya.


Sebenarnya pencurian dan penyamuan seperti ini bukanlah perkara pertama kali berlaku di masjid ini. Dalam tahun ini telah berlaku lebih dari sekali.

Saya teringat kepada salah seorang Allahyarham sahabat saya yang pernah memegang jawatan penggawa atau ketua kampung. Tidak perlu saya ceritakan daerah mana di negeri Kelantan ini. Waktu dia mula-mula bertukar di daerah tersebut  jenayah mencuri sangat kerap berlaku. Hampir setiap hari.


Apa yang dilakukannya? Beliau  bekerjasama dengan imam masjid dan jawatankuasanya mengadakan solat hajat khusus untuk membenteras pencurian. Ia diadakan sekurang-kurangnya seminggu sekali, dan semua anak mukim dijemput hadir di waktu ditetapkan itu. Ramai yang hadir walaupun tidak seramai solat Jumaat. Biasanya solat hajat itu diadakan di masjid, tapi kadang-kadang diadakan juga di madrasah-madrasah di mana kerap berlaku pencurian. Kami pun biasa dijemput beliau untuk ikut bersolat hajat.


Saya tidak pasti apakah doa yang mereka pohonkan kepada Allah? Tapi doa mereka dikabulkan Allah. Kejadian pencurian kian hari kian kurang, sehinggakan akhirnya boleh dikatakan tidak ada lagi kecurian.


Sembahayang hajat biasa selepas solat Jumaat diadakan juga meminta untuk keselamatan umum, kampung halaman dan negara.


Tapi ini merupakan solat hajat khusus untuk mencegah pencurian, bukan sahaja di masjid, tapi untuk seluruh kampung dan mukim, dan Insya-Allah ianya boleh menjadi sejata yang ampuh untuk memerangi para penjenayah. Dan ianya merupakan sebahagian daripada perang psikolgi yang berkesan dengan izin Allah.


Mana-mana kampung atau mukim yang menghadapi problem yang sama, boleh mencubanya, memang wajar. Semoga berguna untuk mencegah jenayah.


Ya Allah selamatkanlah kami para tetamu rumah-Mu yang mulia ini. Selamatkanlah kami Muslimin dan Muslimah  dari segala fitnah dan pesona. Teguhkanlah hati kami di jalan-Mu yang suci dan mulia. Kuatkanlah azam kami untuk terus mengimarahkan rumah-Mu yang suci ini. Ampunkanlah kami ya Allah.



Sumber : pondokrahmat

loading...

1 Response to "SOLAT HAJAT UNTUK PENCURI"

  1. ayo segera bergabung dengan kami
    di fanspoker^^com || karna difans anda bisa mendapatkan keuntungan lebih besar
    ayo tunggu apa lagi segera di add pin bb kami 55F97BD0 || saya tunggu di add nya ya...

    ReplyDelete

Didakwah