Ramadhan dan Taqwa

Kongsikan di


Bismillah Wal Hamdulillah.

Bulan Ramadhan sentiasa dikaitkan dengan taqwa. Bahkan apabila membicarakan soal bulan Ramadhan, pasti tidak akan ketinggalan membicarakan tentang ketaqwaan. Bukankah Allah telah menekankan kaitan antara Ramadhan dan taqwa ini dalam kalamNya?

Firman Allah s.w.t dalam surah Al Baqarah ayat 183 yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Dalam ayat di atas, telah dijelaskan kepada kita bahawa matlamat tertinggi yang perlu kita capai dalam bulan Ramadhan adalah ketaqwaan. Maka, apakah yang dimaksudkan dengan ketaqwaan?

Dalam satu kisah, Nabi Muhammad s.a.w ketika duduk bersama sahabat, baginda bertanya kepada para sahabat apakah yang dimaksudkan dengan taqwa. Setelah para sahabat menyatakan pandangan, mereka bertanya kembali kepada baginda, apakah maksud sebenar taqwa. Maka jawab Nabi s.a.w:

“At Taqwa ha huna”

“At Taqwa ha huna”

“At Taqwa ha huna”

“Taqwa itu disini.” Nabi s.a.w mengulang sebanyak tiga kali sambil tangannya menunjuk ke dada di mana terletaknya hati nurani.”

Jawapan yang diberikan Nabi s.a.w menjelaskan kepada kita bahawa taqwa ini melibatkan urusan hati. Taqwa bukan pada pakaian, percakapan mahupun perbuatan kita. Namun ketaqwaan yang ada dalam hati akan terzahir pada akhlak dan perwatakan kita.

Sahabat pembaca yang dirahmati Allah sekalian, Ramadhan akan tiba tidak lama lagi. Ia akan tiba dengan jutaan rahmat dan keampunan Tuhan. Tinggal lagi kita yang berusaha untuk meraih rahmat dan keampunan itu.

Jika kita rasa kita hamba yang penuh dengan dosa, janganlah berputus asa dari rahmatNya, kerana keluasan rahmat Allah itu tidak mampu dibayangkan oleh manusia. Yakinlah dengan Allah, Dia tidak akan sekali-kali meninggalkan hambaNya yang bersusah payah mencari jalan menuju redhaNya. Dia akan berikan jalan kepada mereka yang benar-benar ingin mendekati-Nya.

3 Perkara Yang Boleh Dilakukan Di Bulan Ramadhan

Oleh itu, kita harus bersiap sedia untuk menyambut ketibaan Ramadhan, agar apabila Ramadhan tiba, kita telah bersedia dengan momentum ibadah yang tinggi untuk meraih sebanyak mungkin rahmat dan keampunan Allah.

Antara perkara yang boleh kita lakukan:

#1 – Mula membaca Al Quran secara konsisten dengan meletakkan sasaran yang tepat. Sebagai contoh, setiap hari kita wajibkan diri kita untuk membaca 5 muka surat Al Quran. Matlamat yang telah kita letak akan menjadi ‘burning desire’ untuk kita berusaha mencapainya.

#2 – Biasakan diri untuk bangun sebelum subuh. Sebelum tidur, jangan lupa minta kepada Allah agar membangunkan kita sebelum subuh agar kita sempat menunaikan sekurang-kurangnya dua rakaat solat sunat tahajud. Jika kita meminta dengan bersungguh-sungguh, pasti Allah akan kabulkan. Tidak percaya? Cubalah!

#3 – Setiap kali keluar berjalan-jalan atau ke mana sahaja, sediakan sejumlah wang untuk kita sedekahkan kepada siapa sahaja yang memerlukan. Sekali kita berniat melakukan kebaikan, Allah pasti memudahkan jalan kita untuk melaksanakan kebaikan tersebut. Pasti kita akan bertemu dengan orang yang memerlukan untuk kita hulurkan wang yang telah kita sediakan.

Ini hanyalah beberapa contoh perkara yang boleh kita lakukan sebagai persediaan menyambut Ramadhan. Matlamat kita adalah untuk beroleh taqwa yang akan menjadi bekalan kehidupan di dunia sebelum menempuh alam abadi di akhirat. Paling penting, kuatkan hati untuk melawan hawa nafsu yang malas. Semakin kita lawan, jiwa kita menjadi semakin kuat.

Kekuatan itulah yang akan memelihara diri kita agar kita sentiasa taat pada segala perintah dan larangan Allah. Insyaallah. Semoga Berjaya!

SUMBER
loading...

0 Response to "Ramadhan dan Taqwa"

Post a Comment

Didakwah