Iblis laknatullah merupakan musuh tradisi bagi manusia sejak turun temurun lagi. Ini tidak dapat disangkal lagi kerana banyak ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang perkara tersebut.
Antaranya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 208:
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”
Oleh kerana itulah, syaitan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan agar kita terpesong dari jalan yang benar. Syaitan akan cuba pelbagai cara untuk memastikan kita melakukan sekecil-kecil dosa hinggalah sebesar-besar dosa.
Diantara senjata syaitan untuk memastikan matlamatnya tercapai ialah dengan menyebarkan penyakit was-was dikalangan manusia. Penyakit ini akan ditanamkan sedalam mungkin ke dalam lubuk hati manusia dengan tujuan untuk menimbulkan keraguan dihati manusia tersebut.
Dengan senjata ampuh dan berkesan ini, syaitan akan mampu menjadikan seorang Muslim itu menjadi ragu-ragu dengan ibadah yang dilakukannya dan sentiasa akan mengulang-ulang perbuatan ibadah tersebut.
Ada kes pesakit yang saya terima mengalami masalah was-was ini, yang terpaksa mandi wajib selama berjam-jam, ada yang mengulangi wuduk beberapa kali kerana merasakan ada bahagian yang kering (tidak kena air wuduk), ada yang berwuduk berkali-kali kerana merasa seperti terkentut, dan macam-macam lagi keadaan was-was yang dialami.
Anda boleh bayangkan tak sekiranya anda yang berada dalam situasi was-was tersebut? Hanya untuk melakukan satu ibadah sahaja perlu mengambil masa yang lama kerana hati tidak tenang. Inilah akibatnya yang akan berlaku apabila anda diserang penyakit was-was.
Tetapi, apakah tujuan syaitan menanamkan perasaan was-was ke dalam hati manusia?
Kemungkinan besar, tujuan syaitan melakukan perkara tersebut adalah bertujuan untuk menimbulkan rasa bosan seseorang itu untuk melaksanakan ibadah tersebut. Akibat was-was, akhirnya ibadah tersebut ditinggalkan. Atau paling kurang pun, dengan perasaan was-was itu menyebabkan seseorang terjerumus ke dalam perbuatan takalluf (membebankan diri yang dilarang).
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda:
““Sesungguhnya agama itu mudah, tidaklah seseorang memberat-beratkan dirinya dalam beragama kecuali dia akan terkalahkan.” (HR. Bukhari 39, An-Nasai 5034, dll).
Cara Mengubati Penyakit Was-Was
Setelah anda yakin bahawa was-was itu adalah datangnya dari gangguan syaitan, persoalannya sekarang adalah bagaimana ikhtiar yang dapat diusahakan untuk melawan penyakit tersebut. Apakah solusinya?
Ada beberapa cara yang disarankan oleh ulama untuk anda mengubati penyakit was-was.
1) Jangan Peduli
Ini yang banyak kali saya katakan kepada pesakit saya. Jangan ambil peduli sekiranya datangnya perasaan was-was dalam hati. Tidak peduli (tidak melayan) adalah ubat yang paling mujarab, inshaaAllah.
Ahmad Al-Haitami ketika ditanya tentang penyakit was-was ini, beliau mengatakan:
“Ada ubat yang paling mujarab untuk penyakit ini, iaitu tidak mempedulikan secara keseluruhan. Meskipun dalam dirinya muncul keraguan yang hebat. Karena jika dia tidak perhatikan keraguan ini, maka keraguannya tidak akan menetap dan akan pergi dengan sendiri dalam waktu yang tidak lama. Sebagaimana cara ini pernah dilakukan oleh mereka yang mendapat taufiq untuk lepas dari was-was. Sebaliknya, orang yang memperhatikan keraguan yang muncul dan menuruti bisikan keraguannya, maka dorongan was-was itu akan terus bertambah, sampai menyebabkan dirinya seperti orang gila atau lebih parah dari orang gila. Sebagaimana yang pernah kami lihat pada banyak orang yang mengalami cubaan keraguan ini, sementara dia memperhatikan bisikan was-wasnya dan ajakan syaitannya” (al-Fatawa al-Fiqhiyah al-Kubro, 1:149).
Sangat benar apa yang dikatakan oleh beliau. Apa yang saya perhatikan, penyakit was-was ini, apabila dilayan, ianya akan bertambah teruk sehingga akhirnya memang akan jadi seperti orang gila.
Bayangkan saya pernah melihat seorang yang terkena penyakit was-was, dia terpaksa membazirkan masa selama 3 jam setiap hari, untuk mengelap lantai rumahnya kerana dirasakan bernajis, walaupun secara zahirnya dia tidak nampak pun najis.
2) Mengambil Sikap Yang Berlawanan Tentang Apa Yang Diragukan
Maksudnya di sini ialah mengambil sikap yang berlawanan tentang apa yang diragukan. Sebagai contoh, katakanlah anda baru lepas berwuduk, kemudian timbul keraguan di dalam hati kerana merasakan seolah ada sesuatu yang keluar dari dubur.
Untuk mengubati perasaan was-was tersebut, jangan diperhatikan (melayan) rasa was-was tersebut, sebaliknya yakinkan dalam hati bahawa tidak ada apa yang keluar (kentut) dari dubur kerana tidak ada bunyi ataupun bau. Yakinkan dalam hati bahawa wuduk yang diambil tadi sah.
Ini sebagaimana yang disarankan Nabi SAW, dalam hadis dari Abbad bin Tamim, dari pamannya, bahawa ada seseorang yang pernah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang penyakit was-was yang dia alami. Dia dibayangi seolah-olah mengeluarkan kentut ketika menunaikan solat. Lalu Nabi SAW bersabda:
“Janganlah dia membatalkan shalatnya, sampai dia mendengar suara kentut atau mencium baunya.” (HR. Bukhari 137 dan Muslim 361).
3) Terus Berlatih Dengan Sabar
Untuk menghilangkan penyakit was-was ini, tidak dinafikan bukannya mudah. Tetapi ianya tidak mustahil. Dengan syarat anda perlu terus melatih hati anda untuk tidak melayan perasaan tersebut dan tetap bersabar. Sampailah gangguan tersebut benar-benar telah hilang dari hati anda.
Salah satu motivasi yang boleh anda tanamkan dalam hati ialah semua perasaan was-was yang muncul dalam diri anda sebenarnya adalah salah satu dari bentuk godaan syaitan. Dan usaha yang sedang anda lakukan untuk menghilangkan was-was itu juga adalah sebenarnya usaha anda melawan godaan dan hasutan syaitan.
Ahmad al-Haitami menukil keterangan al-Iz bin Abdus Salam dan ulama lainnya,
“Al-Iz bin Abdus Salam dan ulama lainnya juga menjelaskan sebagaimana yang telah aku sebutkan. Mereka menyatakan, “Ubat penyakit was-was: hendaknya dia meyakini bahwa hal itu adalah godaan syaitan, dan dia yakin bahwa yang mendatangkan itu adalah iblis, dan dia sedang melawan iblis. Sehingga dia mendapatkan pahala orang yang berjihad. Kerana dia sedang memerangi musuh Allah. Jika dia merasa ada keraguan, dia akan segera menghindarinya..” (al-Fatawa al-Fiqhiyah al-Kubro, 1:150).
Jadi anda yang sedang mengidap penyakit was-was ini sedarlah bahawa anda sedang berjihad. Jika perjuangan melawan godaan syaitan ini disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan mengikuti sunnah Nabi SAW, inshaaAllah anda akan mendapat ganjaran pahala dari Allah.
4) Banyakkan Mohon Perlindungan Kepada Allah Dari Godaan Syaitan
Oleh kerana perasaan was-was ini berpunca dari gangguan syaitan, maka tidak dapat tidak anda kena banyak memohon perlindungan kepada Allah. Dari sahabat Usman bin Abul Ash, bahawa beliau mendatangi Nabi SAW dan mengadukan kepada Baginda, “Wahai Rasulullah. Sesungguhnya syaitan telah menghalangi aku dengan solatku (tidak khusyuk), sampai aku menjadi keliru dengan bacaan solatku.
Kemudian Nabi SAW telah bersabda:
“Itulah syaitan, namanya Khanzab. Jika engkau berasa sedang digoda syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah dari gangguannya. Dan meludahlah ke aras kiri sebanyak 3 kali”. (Hadis Riwayat Muslim 2203). Usman mengatakan, “Aku pun melakukan apa yang disarankan oleh Nabi, dan Allah menghilangkan gangguan itu dariku”
Salah satu usaha untuk melindungi diri dari gangguan syaitan ialah dengan melazimkan diri membaca zikir pagi dan petang. Kerana salah satu keutamaan dari amalan berzikir ialah untuk perlindungan dari segala bentuk gangguan syaitan.
5) Belajar Cara Beribadah Dengan Ilmu Yang Benar
Kebanyakan dari mereka yang terkena penyakit was-was ini adalah mereka yang tidak memiliki ilmu yang betul tentang cara melakukan ibadah yang benar.
Semua ibadah yang dilakukannya mengikut apa yang dirasakan betul, ataupun sebab mengikut orang.
Berbeza dengan orang yang mempunyai ilmu yang benar tentang sesuatu ibadah. Dia melakukan ibadah berdasarkan ilmu yang diyakini benar. Sekiranya datang juga perasaan was-was tersebut, dia akan mempu menentang perasaan tersebut dengan ilmu yang diyakini benar tersebut.
Kesimpulannya, disamping semua usaha yang dilakukan di atas, jangan lupa banyak berdoa kepada Allah, memohon dengan bahasa yang anda fahami, agar Allah membebaskan anda dari penyakit was-was ini. Semoga Allah memudahkan kita untuk meniti jalan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Sumber : http://perawatislam.com
loading...
ayo segera bergabung dengan kami
ReplyDeletedi fanspoker^^com || karna difans anda bisa mendapatkan keuntungan lebih besar
ayo tunggu apa lagi segera di add pin bb kami 55F97BD0 || saya tunggu di add nya ya...