ISLAM telah pun menggariskan beberapa perkara ke atas perempuan yang menjalani tempoh ‘iddah dan ihdadkerana kematian suami, iaitu:
1. Meninggalkan perkara yang mempunyai unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan, antara perkara yang dilarang:
a. Memakai pakaian berwarna yang menarik perhatian seperti merah dan kuning.
b. Memakai wangi-wangian atau haruman walaupun pada waktu malam sama ada pada pakaian atau tubuh badan.
c. Menghias diri seperti berinai, bercelak mata atau mengenakan solekan pada muka dan gincu pada bibir serta memasang kanta mata yang berwarna.
d. Berhias dengan memakai apa jua jenis barang kemas sama ada cincin atau gelang yang diperbuat dari emas atau perak, permata dan sebagainya.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah sebagaimana di atas. Dalam sebuah hadits yang lain pula, Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya : “Perempuan yang kematian suaminya tidak boleh memakai pakaian yang berwarna kekuningan dan juga kemerahan, tidak boleh memakai barang kemas, tidak boleh berinai dan tidak boleh bercelak mata.”
(Hadits riwayat Abu Daud)
Jelas daripada hadits di atas, perempuan yang kematian suami dilarang untuk berhias pada tubuh badan dan pakaian dan berwangi-wangian kecuali untuk bersuci atau membersihkan darah haidh, iaitu untuk menghilangkan bau daripada kesan darah haidh dan bukan bagi tujuan berwangi-wangian.
2. Diwajibkan menetap diam di rumah suaminya yang meninggal dunia atau rumah tempatnya tinggal dan tidak boleh meninggalkan rumah itu selama dia masih dalam tempoh ‘iddah.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Tafsirnya : “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani ‘iddah mereka) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu.”
(Surah ath-Thalaq:6)
Ayat tersebut menerangkan tentang kewajipan suami menempatkan isterinya yang dalam tempoh ‘iddah di rumahnya. Manakala kewajipan isteri pula, sama ada ‘iddah yang dicerai hidup ataupun yang kematian suami menetap di rumah tempat tinggalnya sewaktu berlakunya perceraian sehinggalah dia selesai menjalani ‘iddahnya.
Sungguhpun demikian, bagi perempuan yang menjalani ‘iddah kerana kematian suami dan perempuan yang ber‘iddah talak ba’in yang tidak hamil, dia dibolehkan keluar dari rumahnya pada siang hari untuk memenuhi keperluannya dan melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya seperti membeli barang keperluan, berubat, bekerja dan seumpamanya kerana nafkahnya tidak lagi ditanggung oleh suami dan tidak ada orang lain yang dapat menolongnya dalam melaksanakan perkara-perkara tersebut.
Walau bagaimanapun pada waktu malam, mereka dilarang keluar melainkan ada hajat atau keperluan yang tidak dapat dilaksanakan ketika siang, maka dalam hal ini dibolehkan dia keluar malam dengan syarat dia dalam keadaan aman iaitu tidak mendatangkan kerosakan atau fitnah kepadanya.
3. Tidak boleh keluar belayar sekalipun untuk menunaikan haji atau ‘umrah kecuali dalam beberapa keadaan yang tertentu.
Pertama: Perempuan yang sedang dalam musafir untuk melakukan haji atau ‘umrah (dengan izin suaminya) kemudian di tengah perjalanannya itu diwajibkan ke atasnya ber‘iddah kerana dia ditalak suaminya atau suaminya meninggal dunia, maka dia diberi pilihan sama ada:
- Untuk meneruskan perjalanannya kerana memutuskan perjalanan atau pelayarannya itu akan mendatangkan kesukaran, terutama sekali apabila dia berada jauh dari negerinya dan takut terpisah daripada rombongannya atau;
- Untuk kembali semula ke tempat tinggalnya dan ini adalah lebih afdhal.
Kedua: Sekiranya kewajipan ber‘iddah ke atas perempuan itu terjadi sebelum dia keluar belayar daripada rumahnya, maka dia sama sekali tidak dibolehkan keluar untuk membuat pelayaran.
Ketiga: Sekiranya perempuan itu telah berihram haji dengan izin suaminya, ataupun tanpa izin suaminya, kemudian dia ditalak atau suaminya meninggal dunia, maka jika dia khuatir akan luput haji apabila dia menghabiskan ‘iddahnya dahulu, kerana masa yang singkat, maka wajib dia keluar untuk mengerjakan haji dalam keadaan ber‘iddah kerana dia telah berihram lebih awal. Jika sekiranya masa masih panjang, dan dia tidak khuatir akan luput haji, maka harus baginya keluar untuk mengerjakan haji.
Tetapi berbeza pula kedudukannya jika sekiranya dia berihram untuk mengerjakan haji atau ‘umrah atau kedua-duanya setelah dia ditalak atau setelah kematian suaminya, dengan keizinan yang diberikan oleh suaminya sebelum itu ataupun tanpa izin suaminya, maka dalam keadaan ini dia ditegah untuk keluar, sama ada dia khuatir akan luput haji atau tidak. Ini kerana keizinan yang diberikan sebelum dia melakukan ihram itu telah terbatal kerana berlakunya talak atau kematian suaminya, ataupun dia sememangnya tidak mendapat izin daripada suaminya. Maka apabila telah selesai ‘iddahnya, barulah dia menyempurnakan ‘umrahnya atau hajinya, jika masih ada waktu haji. Sekiranya waktu haji telah luput, hendaklah dia bertahallul dengan ‘umrah, dan wajib ke atasnya qadha dan membayar dam kerana luput haji.
Jelasnya bahawa seorang isteri yang kematian suami yang masih lagi menjalani ‘iddah adalah dilarang keluar belayar, termasuk belayar untuk mengerjakan haji atau ‘umrah, Seorang wanita yang berihram setelah ditalak suaminya atau setelah kematian suaminya, tidak kira sama ada dia telah diberi izin sebelum itu ataupun tidak, dan tidak kira sama ada ihram itu bagi tujuan haji atau ‘umrah atau keduanya, dia tetap dilarang keluar dari rumahnya bagi melaksanakannya selagi dia masih dalam tempoh ‘iddah.
Keharusan untuk keluar menunaikan haji atau ‘umrah bagi wanita yang dalam ‘iddah hanyalah dalam dua keadaan, iaitu:
1) Apabila dia ditalak atau suaminya meninggal dunia, sedang dia pada ketika itu berada dalam musafir (dalam pelayaran).
2) Apabila dia telah berihram haji atau ‘umrah sebelum ditalak atau sebelum kematian suaminya.
Larangan di dalam ‘iddah merupakan satu kewajipan yang perlu dijaga oleh isteri yang ber‘iddah kerana perceraian atau kematian suami, bahkan kewajipan ihdad juga berlaku bagi isteri yang kematian suami.
Manakala larangan untuk berhias, bukanlah larangan ini menafikan aspek kebersihan dan kesihatan diri kerana menjaga kebersihan dan mengamalkan gaya hidup sihat juga adalah sesuatu yang amat dituntut dalam Islam. Walaupun dalam ‘iddah dan ihdad, perempuan juga masih dituntut untuk menjaga keduanya.
Sumber: Pelitabrunei
loading...
0 Response to "LARANGAN KETIKA IDDAH YANG KITA TIDAK KETAHUI"
Post a Comment