Mahu ke destinasi baru, lumrah kita menggunakan aplikasi Maps atau Waze sebagai alat bantuan. Apabila menjelajah negara asing, peta menjadi panduan. Begitu halnya dalam kehidupan kita, Allah swt menurunkan Al-Quran sebagai penunjuk dan panduan bagi seluruh umat Islam.
“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada jalan yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.”Surah Al-Isra’: 9
Berikut adalah 13 tips mudah menghafal Al-Qur’an:-
1. Niat
Ganjaran dari Allah swt kita perolehi bergantung niat kita di permulaan. Begitu juga kesudahannya kelak.
Pasakkan niat yang betul mahu menghafal al-Quran kerana Allah swt. Mahu mengutip manfaat dan nur dari al-Quran. Bukan kerana mahu berbangga kepada masyarakat dengan gelaran al-Hafiz.
2. Tekad
Setelah niat terpahat, tekad pula harus dipacakkan dalam diri. Tekad untuk menghafal keseluruhan al-Quran dan bersedia menempuh apa sahaja cabaran sepanjang menghafal.
Daripada Abu Umamah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafa’at kepada pembacanya.”Riwayat Muslim
3. Yakin
Keyakinan penting sebelum mencapai matlamat. Apabila seseorang yakin dengan apa yang bakal dilakukan, akan lebih bersemangat, berusaha keras dan sedia berkorban menuju matlamat.
Jika matlamat mahu menghafal al-Quran 30 juzuk, maka dalam jiwa mesti yakin kita boleh menghafal 30 juzuk.
4. Doa
Doa adalah senjata mukmin, doa juga penghubung kita dengan Yang Maha Agung. Justeru, kita perlu banyak meminta dan berdoa kepada-Nya supaya memudahkan kita menghafal kalam-Nya. Allah swt mustajabkan doa seiring usaha hamba-Nya. Berdoa sebelum, semasa dan selepas menghafal al-Quran.
اللهم أرزقنا حب القرءان وفضل القرءان وبركة القرءان ونور القرءان وسكينة القرءان
وشفاء القرءان ورحمة القرءان وهداية القرءان
5. Target
Sebelum melakukan sesuatu, kita didedahkan supaya meletakkan target. Begitu juga dalam menghafal. Letakkan target terperinci namun mengikut kemampuan diri.
Contoh, sehari hafal satu muka sahaja. Maka perlu disiplinkan diri agar sehari wajib hafal satu halaman.
6. Baca
Sebelum mula menghafal, adalah lebih baik baca terlebih dahulu. Jika kita target hafal satu semuka dalam satu waktu, maka baca semuka sebanyak mungkin hingga lancar bacaan kita.
7. Fahami Terjemahan
Digalakkan kita membaca maksud ayat yang akan dihafal. Fahami dan hayati cerita halaman tersebut sambil memerhatikan ayat Bahasa Arab dan terjemahannya. Apabila kita tahu cerita halaman tersebut, akan lebih memudahkan kita menghafal.
8. Hafal
Mula menghafal satu ayat terlebih dahulu. Pada permulaan, dibolehkan melihat Al-Quran jika tidak mengingati ayatnya. Namun, selepas itu cuba hafal tanpa melihat mushaf. Ulang sebanyak mungkin sehingga kita berjaya mengingatinya.
9. Ulang
Sekiranya telah menghafal tiga ayat, disarankan sebelum mula menghafal ayat keempat, ulang semula ayat pertama hingga ketiga tanpa melihat mushaf.
10. Latihan Menulis
Tips ini terpulang kepada penghafal, samada terus membuat latihan menulis selepas hafal ayat pertama atau membuat latihan setelah selesai menghafal satu muka. Latihan ini akan lebih menguatkan daya ingatan penghafal.
11. Tasmi’
Selesai menghafal, tasmi’ atau memperdengarkan hafalan kita di hadapan guru, sahabat atau ibu ayah untuk disemak. Tasmi’ dilakukan tanpa melihat mushaf.
12. Waktu Menghafal
Waktu menghafal berperanan penting membantu kita menghafal Al-Quran. Digalakkan memilih waktu untuk menghafal seperti sebelum Subuh, selepas Subuh, selepas Maghrib hingga waktu Isyak.
13. Murajaah
Ilmu tidak akan melekat diingatan kita tanpa melakukan murajaah, begitu juga dengan Al-Quran. Kita perlu murajaah atau ulang semula juzuk-juzuk yang sudah dihafal. Ia dikenali juga dengan nama i’adah.
Perbanyakkan berdoa kepada Allah swt agar membantu kita dalam menghafal kalamullah.
من سار على الدرب وصلBarang siapa yang berjalan pada jalannya, maka dia akan sampai.
وما اللذه الا بعد التعبDan tiada kenikmatan kecuali selepas kepenatan.
Rasulullah saw pernah bersabda :
“Sesiapa yang membaca al-Quran dan belajar serta beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, dia akan dipakaikan pada hari kiamat dengan mahkota daripada cahaya yang mana cahayanya lebih terang daripada cahaya matahari dan kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan perhiasan yang tidak pernah mereka pakai.Maka mereka berdua bertanya: Dengan sebab apakah kami dipakaikan dengan perhiasan ini? Mereka akan dikatakan: Dengan sebab bacaan al-Quran oleh anakmu.”Riwayat al-Hakim
Sumber: tazkirah.net
loading...
0 Response to "13 Tips Mudah Menghafal Al-Quran"
Post a Comment