Apakah status hadith memanah, berenang dan juga berkuda?

Kongsikan di


Soalan: Apakah status hadith memanah, berenang dan juga berkuda?

Matan Hadith
  • Daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda:

عَلِّمُوا أَبْنَاءَكُمُ السِّبَاحَةَ وَالرَّمْيَ
Maksudnya: “Ajarlah anak kamu berenang dan memanah”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir (5477)]

Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan hadith di atas, kita sering mendengar bahawa antara sukan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW adalah berenang, memanah dan menunggang kuda. Ketiga sukan ini dikatakan ia digolongkan di dalam sunnah Nabi SAW. Selain itu, hadith seperti ini juga diriwayatkan oleh jalur yang lain. Antaranya, Bakar bin Abdillah bin Rabi’ al-Ansari, Jabir bin Abdillah dan Umar bin al-Khattab yang diriwayatkan secara mawquf (tidak sampai kepada Nabi SAW). Untuk itu, kami cuba untuk menjelaskan berkaitan masalah ini:

Hukum Hadith
Antara penilaian ulama’ berkaitan hadith ini:

  • Imam al-Baihaqi menilai salah seorang daripada perawi di dalam jalur Ibn Umar iaitu Ubaid al-Atthar adalah seorang munkar al-Hadith (ditolak hadithnya). [Lihat: Syu’ab al-Iman, 135/11]
  • Imam al-Zahabi mengatakan riwayat perawi bernama Salim bin Amr daripada Ali bin ‘Iyash adalah riwayat yang bathil iaitu melalui jalur Bakar bin Abdillah bin Rabi’ al-Ansari. [Lihat: Mizan al-‘Itidal, 231/2]
  • Imam al-Sakhawi mengatakan sanadnya (jalur Bakar bin Abdillah bin Rabi’ al-Ansari) adalah dhaif tetapi ia mempunyai syawahid. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 463/1]
  • Al-Albani menilai hadith ini melalui jalur Bakar bin Abdillah bin Rabi’ al-Ansari sebagai dhaif. Manakala melalui jalur Ibn Umar adalah teramat lemah dan melalui jalur Jabir adalah palsu. [Lihat: Silsilah al-Dhaifah, 334,335 dan 336/8]

Setelah melihat penilain di atas, kami melihat dan cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah teramat lemah (dhaif ). Selain itu juga, terdapat sebuah hadith yang dikatakan bahawa ia daripada Nabi SAW tetapi ia sebenarnya merupakan kata-kata Umar bin al-Khattab RA bukannya hadith Nabi SAW:

عَلِّمُوْا أَوْلَادَكُم الرِّمَايَةَ وَرَكُوْبَ الخَيْلِ وَالسِّبَاحَةَ
Maksudnya: “Ajarlah anak-anak kamu memanah, menunggang kuda dan juga berenang”.

Akan tetapi, di sana terdapat isyarat daripada hadith atau ayat al-Qur’an yang menunjukkan akan kepentingan memanah dan berenang ini.

Walaupun hadith ini dhaif, terdapat isyarat daripada hadith lain yang menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan kita agar mempelajari perkara-perkara ini. Antaranya:

Pertama: Memanah
  • Daripada Salamah bin al-Akwa’ RA berkata:

مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى نَفَرٍ مِنْ أَسْلَمَ يَنْتَضِلُونَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ارْمُوا بَنِي إِسْمَاعِيلَ، فَإِنَّ أَبَاكُمْ كَانَ رَامِيًا ارْمُوا
Maksudnya: “Nabi SAW telah berjalan di hadapan sekumpulan daripada suku Aslam yang sedang berlumba (dalam menunjukkan kemahiran memanah)”. Maka Nabi SAW bersabda: “Panahlah, wahai bani Ismail kerana sesungguhnya nenek moyang kamu adalah ahli dalam memanah maka panahlah”. [Riwayat al-Bukhari (2899) (3373) (3507)]

  • Daripada Uqbah bin Amir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda ketika di atas mimbar:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ [الأنفال: 60]، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ
Maksudnya: “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah)”. [Riwayat Muslim (1917)]

Berdasarkan dua hadith sahih di atas, menunjukkan saranan daripada Nabi SAW untuk kita semua mempelajari memanah.

Kedua: Berenang
  • Daripada Jabir bin Umair berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ شَيْءٍ لَيْسَ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ فَهُوَ لَهْوٌ وَسَهْوٌ، إِلَّا أَرْبَعَ خِصَالٍ: مَشْيُ الرَّجُلِ بَيْنَ الْغَرَضَيْنِ، وَتَأْدِيبُهُ فَرَسَهُ، وَمُلَاعَبَتُهُ أَهْلَهُ، وَتَعَلُّمُ السِّبَاحَةِ
Maksudnya: “Setiap perkara yang tidak disebut nama Allah SWT adalah sia-sia dan lalai melainkan empat benda: Perjalanan seorang lelaki di antara dua matlamat, seorang yang mengajar kudanya, bermesra dengan isteri dan juga belajar berenang”. [Lihat: Mu’jam al-Awsath (8147)] [Imam al-Haithami di dalam [Majma’ al-Zawaid 269/5] mengatakan bahawa perawi-perawi Thabarani adalah sahih kecuali Abdul Wahab bin Bukht dan dia adalah seorang yang thiqah (dipercayai)]

Hadith di atas menunjukkan bahawa belajar menunggang kuda dan belajar berenang tidak termasuk di dalam perkara yang sia-sia dan juga melalaikan.

Ketiga: Belajar menunggang kuda
  • Daripada ‘Urwah bahawa Nabi SAW bersabda:

الخَيْلُ مَعْقُودٌ فِي نَوَاصِيهَا الخَيْرُ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ
Maksudnya: “Kuda yang tersimpul pada ubun-ubunnya segala kebaikan sehingga hari Kiamat”. [Riwayat al-Bukhari (2850)]

Berdasarkan hadith di atas, ia menunjukkan akan kelebihan yang terdapat pada seekor kuda yang digunakan untuk berjihad di jalan Allah SWT. Selain itu juga, terdapat sebuah hadith di dalam Jami’ al-Tirmizi yang menunjukkan bahawa galakan memanah dan juga berkuda:

  • Daripada Uqbah bin Amir RA bahawa Nabi SAW bersabda:

ارْمُوا وَارْكَبُوا
Maksudnya: “Lemparkanlah (panah) dan tungganglah (kuda)”. [Riwayat al-Tirmizi] [Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan]

Penutup
Kesimpulannya, beriadhah atau bersukan amat penting di dalam kehidupan kita agar menjadi seorang mukmin yang sihat dan kuat. Ini kerana, di dalam sebuah hadith:

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ، خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ
Maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah SWT  daripada Mukmin yang lemah”. [Riwayat Muslim (2664)]

Untuk itu, kita memahami bahawa memiliki tubuh badan yang sihat adalah satu sunnah dan tuntutan di dalam agama. Tambahan pula, menembak dan seumpama dengannya boleh dimasukkan ke dalam maksud memanah kerana sifatnya yang hampir sama. Selain itu juga, Nabi SAW tidak menyebut agar kita mempelajari ketiga perkara ini secara khsuus, akan tetapi ia difahami melalui isyarat daripada Baginda SAW akan kepentingannya. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita kesihatan yang baik agar kita dapat melaksanakan ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT dengan sebaik-baiknya. Amin.

Wallahua’lam

Sumber:muftiwp
loading...

0 Response to "Apakah status hadith memanah, berenang dan juga berkuda?"

Post a Comment

Didakwah