Soalan:
Apakah terdapat perbezaan di antara lafaz wajib dan juga fardhu ?
Jawapan:
Para ulama terbahagi kepada beberapa
pendapat di dalam isu ini. Sebahagian mereka tidak membezakan di antara
takrif keduanya. Ini bererti fardhu dan wajib adalah suatu yang sama.
Manakala sebahagian lain membezakannya dari sudut pentakrifan dengan
meletakkan ciri-ciri tertentu di antara keduanya. Berikut kami jelaskan
secara lebih terperinci berkenaan hal ini.
Definisi Wajib Di Sisi Jumhur
Jumhur fuqaha yang kami
maksudkan di sini adalah al-Malikiyyah, al-Syafieyyah, dan al-Hanabilah.
Di sisi mereka, wajib dan fardhu adalah merupakan perkara yang sama dan
tidak ada beza di antara keduanya dari sudut hukum dan makna.
Kedua-duanya membawa maksud: Sesuatu yang mesti untuk dilakukan dan akan
dikenakan hukuman terhadap sesiapa yang meninggalkannya.
Imam al-Subki Rahimahullah ketika mendefinisikan wajib berkata: Wajib adalah suatu yang dituntut untuk melakukannya secara jazam. Lihat Al-Ibhaj Syarh al-Minhaj, Al-Subki (1/52).
Manakala Imam al-Baidhawi mentakrifkan
wajib sebagai: Sesuatu yang menyebabkan orang yang meninggalkannya
secara sengaja akan dicela oleh syarak. Rujuk Al-Ibhaj Syarah al-Minhaj, al-Subki (1/51).
Definisi Wajib Di Sisi Hanafiyyah
Para fuqaha bermazhab Hanafi mempunyai
pandangan yang berbeza dalam mendefinisikan wajib. Salah seorang tokoh
besar dari kalangan mereka iaitu Imam al-Kamal bin Humam Rahimahullah berkata: Sekiranya sesuatu tuntutan yang jazam itu datang secara zhanni maka ianya adalah wajib.
Ibn Ami Haj al-Hanafi ketika mengulas
kenyataan Ibn Humam ini berkata: Ataupun tuntutan yang jazam itu datang
secara zhanni dalalahnya dari al-Quran atau zhanni dari sudut tsubutnya
daripada Sunnah atau Ijma’ maka itu adalah wajib. Lihat Al-Taqrir wa Al-Tahbir Fi ‘Ilm Al-Usul (2/107).
Berdasarkan kenyataan ini, dapat kita
fahami bahawa wajib di sisi hanafiyyah adalah apa-apa yang syarak
lazimkan kepada kita untuk melakukannya dan perintah itu datang secara zhanni dalalahnya atau zhanni al-thubut
ataupun zhanni kedua-duanya. Iaitu apa-apa yang menyebabkan orang yang
meninggalkannya berhak mendapat celaan daripada syarak sekiranya dia
meninggalkannya dengan sengaja pada setiap masa.
Perbezaan Wajib Di Sisi Jumhur dan Al-Hanafiyyah
Bagi golongan Hanafiyyah, mereka
membezakan di antara fardhu dan juga wajib dengan melihat dari sudut
dalil datangnya sesuatu perintah. Sebagai contohnya, golongan hanafiyyah
mengatakan bahawa hukum sembelihan korban adalah wajib. Ini kerana,
perintah melakukannya datang dalam bentuk khabar ahad yang merupakan
dalil zhanni.
Manakala, sekiranya perintah melakukan
sesuatu perbuatan itu datang dari dalil yang qath’ie, maka amalan
tersebut merupakan suatu yang fardhu. Sebagai contohnya, perintah
menunaikan solat datang secara qath’ie, maka ia adalah fardhu di sisi
mereka.
Maka Hanafiyah meneliti kepada dalil
yang melazimkan sesuatu perbuatan. Maka mereka pun membahagikan di
antara wajib dan juga fardhu. Manakala Jumhur fuqaha meneliti kepada
keadaan perbuatan itu yang merupakan suatu tuntutan lazim kepada
mukallaf, tanpa melihat dari sudut dalilnya sama ada ia qath’ie ataupun
zhanni.
Berdasarkan perbezaan ini, terdapat athar atau kesannya di sisi Hanafiyyah. Kami nyatakan seperti berikut:
- Kemestian (luzum) dalam melakukan perbuatan wajib lebih rendah kedudukannya berbanding kemestian melakukan perbuatan fardhu.
- Hukuman meninggalkan yang fardhu jauh lebih besar berbanding hukuman meninggalkan perbuatan yang wajib.
- Seseorang yang mengingkari perkara wajib tidak jatuh ke tahap kufur. Manakala sesiapa yang mengingkari perkara fardhu boleh menjadi kufur.
Kesimpulan
Akhir kalam, kami berpandangan bahawa
khilaf yang berlaku di antara Jumhur dan Al-Hanafiyyah dalam isu ini
hanyalah khilaf dari sudut penamaan lafaz dan bukannya khilaf yang
hakiki. Satu kaedah masyhur disebutkan oleh para ulama:
لَا مُشَاحَة فِي الِاصْطِلَاحِ
Maksudnya: Tidak perlu saling bercanggahan dalam penamaan sesuatu istilah.
Ini kerana, kedua-duanya iaitu jumhur dan hanafiyyah bersepakat
bahawa wajib dan fardhu merupakan tuntutan melakukan sesuatu perbuatan
secara jazam dan sesiapa yang meninggalkannya berhak mendapat hukuman
dan seksaan.Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kemudahan kepada kita semua dalam memahami isu ini. Ameen.
Sumber: Mufti Wilayah
loading...
0 Response to "Apakah Perbezaan antara Wajib dan Fardhu?"
Post a Comment