KEHEBATAN CAHAYA IMAN

Kongsikan di



Dalam meniti hidup ini sudah tentu kita bersua dengan aneka jenis manusia di segenap penjuru dunia.


Ia menyogokkan kita dengan berbagai-bagai pengalaman, yang akan memberi manfaat kepada kita kalau kita mempunyai minda yang sentiasa terbuka.


Kita mungkin pernah bertemu dengan insan yang mempunyai wajah yang menarik, bukan kerana wajahnya yang cantik atau tampan, tapi ada sesuatu yang menyebabkan wajahnya  bercahaya dan berseri-seri.


Wajah yang membuat kita merasa gembira dan tenang berada di sisinya. Berat terasa hati untuk berpisah dengannya.


Ia bukan kerana dia lelaki tapi kita perempuan, atau kerana dia perempuan tapi kita lelaki. Tidak.


Tapi wajahnya mempesonakan. Malah melihat wajah yang berseri-seri seperti ini akan mengingatkan kita kepada Allah SWT yang Maha Pencipta.


Kenapa? Cahaya apakah yang berkilau di wajahnya itu? Apakah itu caya kerohanian? Adakah itu cahaya keimanan yang turut memberi kesan kepada fizikalnya?


Sebaliknya, kita juga tentu pernah melihat wajah insan yang suram kelam, gelap dan tidak memberangsangkan, bukan kerana wajahnya tidak ayu atau atau tampan, tapi kerana sesuatu yang lain.


Walaupun wajahnya cantik atau tampan, dan telah ditampal dengan aneka alat kencantikan, tapi tidak ada seri di wajahnya. Segala alat kecantikan itu tidak dapat menyorokkan apa yang tersembunyi yang berada di sebaliknya.


Keindahan luar tempelan tidak dapat menyembunyikan kesuraman dalamannya yang tidak bercahaya. Keindahan yang zahir tidak dapat membantu keindahan batin yang ditimpa musibah.


Itulah sebabnya melihat wajah insan yang seperti ini mencetuskan rasa seram dan takut kepada kita. Ini bukan kerana wajahnya yang tidak cantik atau tidak tampan. Bukan kerana dia lelaki, kita juga lelaki, atau kerana dia perempuan, maka kita juga perempuan. Bukan kerana itu.


Apakah ini kerana orang seperti ini tidak mempunyai cahaya kerohanian, atau tanpa cahaya keimanan, dan yang ada hanya cahaya kesuraman yang menjadi lambang kegelapan hati dan jiwanya yang jauh dari Allah.


Nikmat Iman


Memangnya, iman itu mempunyai kesan yang besar terhadap orang yang benar-benar beriman. Ia bercahya, memancarkan cahaya keimanan. Itulah nikmat kurnia Allah kepada orang yang beriman dan bertakwa yang dikasihi-Nya. Nikmat di dunia dan nikmat di Akhirat.

Drs. Triguno LLM telah memperincikan kesan-kesan iman dan takwa kepada seseorang semasa di dunia dan juga di Akhirat yang kekal dan abadi.


-Dia akan menjadi sebutan dan mendapat pujian dari Allah.


-Dia akan mendapat keyukuran daripada Allah.


-Dia akan dicintai Allah.


-Dia adalah seorang yang terkemuka di ambang pintu hadirat Ilahi.


-Dia dikurniakan rahmat bahawa segala doa yang dipohonkannya kepada Allah akan dikabulkan.


-Dia akan mendapati segala urusannya akan diatur dan ditanggung oleh Allah, disusuli dengan usaha sendiri.


-Dia akan mendapati rezekinya ditanggung dan dipermudahkan oleh Allah.


-Dia akan mendapat pertolongan dan penjagaan dari Allah daripada musuh atau orang yang berniat jahat terhadapnya.


-Dia sama sekali tidak akan merasa kesunyian, kerana sentiasa bersama dengan Allah dengan bergembira dengan-Nya.


-Dia mempuyai kemuliaan batin, dan tidak akan ditimpa kerendahan kerana berkhidmat kepada dunia.


-Dia mempunyai himah yang tinggi, dan tidak sudi dicemari oleh kekotoran dunia.


-Dia mempunyai hati yang kaya, lebih kaya daripada mereka yang mementingkan kebendaan, dan hatinya sentiasa tenteram, dan tidak khuatir dengan urusan hidupnya.


-Dia memperolehi banyak ilmu dan rahisa serta nikmat-nikmat yang terbuka kepadanya kerana kesucian hati dan nur kalbunya, nikmat yang hanya diperolehi dengan susah payah dan dalam waktu yang sangat lama oleh orang lain.


-Dia mempunyai dada yang lebar, hati yang lapang, dan batinnya tidak tewas oleh berbagai-bagai cubaan atau rintangan dari sesama manusia.


-Dia disegani dan dihormati orang.


-Dia dicintai oleh orang kerana Allah.


-Dia mendapat barakah atau kebaikan yang terkandung dalam semua perkara yang ada padanya, baik perkataannya, malah nafasnya juga.


-Dia mendapat kurniaan Allah yang menjadikan dunia ini sungguh istimewa kepadanya, justeru jauhnya jarak dan lamanya perjalanan menjadi perkara yang mudah sahaja kepadanya.


-Dia mendapat kurniaan Allah yang membuat binatang yang liar sekali pun mencintainya dan tidak membahayakannya.


-Dia memiliki kunci-kunci kekayaan bumi jika dia menghendakinya.


Allah berfirman, maksudnya:

 “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya [Muhammad], niscaya Allah memberikan rahmat-Nya keapdamu dua bagian, dan menjadi cahaya untukmu yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan serta Dia mengampunimu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang”. Al-Hadid:28.


Ya Allah masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang beriman yang dikurniakan cahaya di akhirat nanti, sebagaimana janji-Mu:


“Pada hari engkau akan melihat orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, betapa cahaya mereka bersinar di depan dan di samping kanan mereka, [dikatakan kepada mereka], “Pada hari ini ada berita gembira untukmu, iaitu syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikian itulah kemenangan yang agung”. Al-Hadid:12.


Dan jadikanllah kami orang-orang yang sentiasa basah lidah dengan doa setiap kami dalam perjalanan menuju ke rumah-Mu ya Allah:


“Ya jadikanlah pada hatiku cahaya,
pada lidahku cahaya,
pada pendengaranku cahaya,
pada pandanganku cahaya,
dari atasku cahaya
dan dari bawahku cahaya,
dari kananku cahaya
dan dari kiriku cahaya,
dari hadapanku cahaya
dan dari belakangku cahaya.
Ya Allah, berikan kepadaku cahaya.

Amin.




Sumber : pondokrahmat
loading...

0 Response to "KEHEBATAN CAHAYA IMAN"

Post a Comment

Didakwah