Lemah Bila Merancang Masa Depan – Tanda Syaitan Sedang Acah Hati Kita!

Kongsikan di



Pejam celik mata Sara membaca pesanan ringkas Ulfa. Dia separa sedar.
Kabur-kabur tulisan pada skrin paparan telefon itu pada pandangannya. 2 pagi. Rasa sejuk menggigit-gigit hujung kakinya yang sedikit terkeluar daripada selimut tebal merah pudar.
“A’uzubillahi minannar”
Lambat-lambat bibirnya menuturkan lafaz lazim yang selalu diucap setiap kali sedar dari tidur. Kakinya menyepak lembut selimut merah pudar, membetulkan perlahan agar membungkus kaki yang terjulur.
Mata Sara celik. Dia kembali meraba telefon bimbit yang disorong ke bawah bantal. Gelap bilik tidurnya cuma dicahayai oleh lampu jalan dari luar tingkap, itu pun suram-suram.
Mujurlah ada dilekatkan bulan bintang hiasan yang bercahaya dalam gelap, bolehlah buat digunakan sebagai bantuan tambahan ketika memerlukan.
Mesej Ulfa kembali dibaca. Sara kurang senang. Pasti ada sesuatu yang tidak kena, tekanya. Dia bangkit menyambar baju sejuk biru yang disangkut pada pintu almari. Disarung kemas.
“Em…” Sara berkira-kira. Seketika kemudian dia kembali duduk di birai katil.
Ibu jari kaki kanannya menguis-nguis ibu jari kaki yang sebelah lagi, sambil kepalanya berfikir sama ada mahu diteruskan hajat mengetuk pintu bilik Ulfa.
Beep.
Nada pesanan ringkas mengejutkan Sara. Paparan pesanan baru dibuka. Ulfa. Sara menutup ruang pesanan dengan jarinya. Sengaja enggan membaca terus kandungan pesanan tersebut.
Dia menarik nafas. Dalam. Rasa kurang senang hatinya dengan pesanan bertalu dari Ulfa tengah-tengah malam begini. Memikirkan berita apa yang akan disampaikan mengundang debar di dada.
“Bismillah.” Perlahan jari-jarinya dialihkan. Cahaya telefon yang tadi suram ditutupi jari kecil Sara kembali bersilau.
“Sara, saya nak tanya awak satu soalan. Cukuplah satu jawapan dari awak untuk membuat saya tenang. Apa perancangan awak selepas habis pengajian nanti? Saya dilema.”
Sara menghela nafas. Alhamdulillah. Dia senyum. Dalam hatinya membebel pada diri sendiri. Terlalu jauh fikirannya menerawang, menyangka yang bukan-bukan pada pesanan Ulfa dari awal mula.
Kira-kira hendak menjenguk ke bilik Ulfa dibatalkan. Dia kembali menyarung selimut merah pudar, ditutup sebahagian badan. Paparan pesanan masih dibuka. Butang balas disentuh.
Lambat-lambat jarinya menari di atas abjad-abjad kelabu. Sekejap ditaip, sekejap dipadam, ditaip semula. Pesanan yang mulanya ada dua tiga perkataan dihantar dengan satu perkataan sahaja.
Kenapa?
Pesanan itu dihantar. Tidak sampai beberaa saat, ada pesan baru yang masuk.
“Saya rasa lemah bila fikirkan soal masa lalu dan masa depan.”
Sara mengalih badannya ke kanan. Belum pun sempat dia membalas, ada lagi pesanan diterima.
“Saya patut fokus pada masa sekarang kan, Sara? Selebihnya Allah akan tunjuk jalan, kan?”
Sara rasa terkunci. Otaknya berhenti berfikir.
“Allah, tunjuklah jalan untuk Ulfa.” Pinta Sara dalam hati.
Jujurnya dia juga tidak tahu bagaimana mahu menenangkan Ulfa. Malah dia juga tidak punya apa-apa penyelesaian untuk sahabatnya itu. Sara mula menaip satu-satu apa yang terlintas di dalam hatinya.
Sesekali yang sudah ditaip dipadam semula, mencari kesesuaian perkataan dan ayat yang lebih baik untuk penerimaan Ulfa. Baginya, hati yang sedang ‘demam’ perlukan ubat yang betul.
Tidak kena ubat, tidak betul cara, ‘demam’ yang biasa boleh mengundang parah yang panjang.

Masa Depan Ini Seperti Perlumbaan

“Alah pada masa yang sudah berlalu itu biasa, Ulfa. Saya juga kadang-kadang begitu. Malah masa lalu itu sering membuat saya jadi takut pada masa depan yang belum pasti.
Sedangkan sebenarnya masa sekaranglah yang lebih bernilai. Samalah keadaannya saya dan awak tidak tahu kalau satu saat dari sekarang, saya masih menaip pesanan ini atau tidak, awak masih membaca pesanan ini atau tidak.
Yang di hadapan, Allah-lah yang mengaturnya. Aturan itu hasil usaha dan pilihan kita. Yang sudah berlalu, jika hendak disesalkan sekalipun, jangan merantai kaki kita dari terus melangkah ke depan.”  
“Perlahan, Ulfa. Masa depan kita corak perlahan mengikit kemampuan kita. Pada saat tidak mampu berjalan pantas, perlahankan gerakan.
Kemaskan langkah. Bila rasa gagah, segeralah. Ada saatnya kita perlu lekas berlari. Semua ini mengikut keadaan, keperluan dan kemampuan kita. kerana masa depan ini seperti perlumbaan.
Perlumbaan mahu berjaya, perlumbaan mahukan redha Allah. itulah kejayaan kita.”
Dibaca sekali lagi tulisannya sebelum dihantar. Beberapa perkataan dipadam ganti dengan yang lain. Sara berusaha memberi kelembutan dalam nada tulisannya agar tidak menambah bebean Ulfa. Dihantar.
Fikiran Sara kosong.
Dalam hati, dia menyerahkan semua kepada Allah. Mudah-mudahan ada ketenangan yang hadir bersama nasihat yang disampaikan. Semua yang dikongsikan adalah apa yang diilhamkan oleh Allah jua.
Beep. Pesanan baru.
Tidak pernah ada orang memberitahu begini pada saya, Sara. Allah Maha Baik menemukan saya dengan awak.
“Hadza min fadhli Rabb” Bisik Sara perlahan. Jawapan balas dihantar.
“Allah yang bantu. Bukan saya”
“Ambil masa untuk merancang. Apabila sudah bersedia, rancanglah satu persatu apa yang awak kehendaki untuk masa depan. Allah Maha Melihat perancangan.
Kalau Allah izin, Dia akan tunaikan seperti yang awak rancang. Kalau tidak, maknanya Dia sudah aturkan yang lebih baik daripada apa yang awak minta.”
Sara merehatkan tangan kanannya di dahi.
Terkelip-kelip dia dalam gelap sambil memutar kembali bait-bait kata yang disusun baik untuk Ulfa. Menasihati orang lain perlu dalam masa sama menyertai nasihat untuk diri sendiri.
Sara mengenang beberapa peristiwa masa depan yang dirancang, tetapi tidak menjadi. “Allah mengaturkan yang lebih baik”. Nasihat itu diulang untuk peringatan dirinya.
Dia juga lemah. Dia juga tidak bersedia setiap masa untuk semua perkara. Mengenang kelemahan dirinya, dia jadi malu mahu memberi nasihat pada teman-teman yang meminta.
“Mujur ada Engkau, Ya Allah.” Matanya dipejam.
Beep.
Pesanan baru lagi. Sara bangkit duduk bersandar pada dinding bilik. Selimut merah pudar dikemaskan.
“Itu yang saya tidak berani, Sara.”
“Saya takut merancang. Saya ada terlalu banyak kelemahan ketika merancang masa depan. Inilah yang buat saya marah pada diri sendiri. Saya tidak mampu.”
Sara menghela nafas. Panjang jawapan balas untuk Ulfa.
“Kita memang lemah, Ulfa. Sebab kita lemahlah kita cuma dapat merancang. Setakat merancang saja yang kita dapat lakukan. Lebih dari itu, luar upaya kita. Hikmahnya, Allah mahu kita tahu kita ini ada batas dalam berbuat sesuatu. Allah mahu kita sedar diri, bahawa Dialah yang Maha Mengatur, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui. Sedangkan kita tidak berdaya selain daripada sedikit yang Dia beri.”
“Masih ingat bagaimana kita siapkan kertas kerja cadangan untuk program? Kita sungguh-sungguh merangka gerak kerja, menyiapkan itu ini untuk dimasukkan dalam kertas kerja. Kita patuhi format yang disyaratkan. Kertas kerja itu kemudian kita serahkan pada orang atasan untuk dinilai dan diberi pertimbangan. Kalau lulus, maka program itu boleh dijalankan. Kalau tidak, maka dibatalkan begitu saja. Diluluskan pun dengan beberapa penambahan dan pengurangan. Malah ada cadangan kita yang ditolak mentah-mentah dan diganti dengan cadangan pihak atasan dengan alasan cadangan mereka ini lebih baik dan lebih sesuai untuk kelancaran program.
Begitu juga dengan ketetapan Allah, Ulfa. Kita merancang. Rancangan ini seperti kita usulkan sesuatu kepadaNya. Jika baik menurutnya, maka jadilah. Jika tidak, maka tidak. Ada perkara yang kita rancang tidak terjadi seperti yang kita mahukan, tetapi jadi lebih baik daripada yang kita sangka. Kerana yang mengetahui baik dan buruk itu Dia. Kita tidak nampak semua perkara, Allah Maha Mengetahui semua. Kan Ulfa?”

Ulfa tidak mengambil masa lama untuk membalas pesanan tersebut. Beberapa minit selepas pesanannya dihantar, kedengaran bunyi pesanan baru masuk. 
“Ini juga sebahagian janji Allah, Sara?”
Sara mengukir senyum. Dia percaya Ulfa sudah nampak poin-poin yang cuba diberikan. Temannya itu cuma perlukan sokongan. Sokongan untuk terus bergerak, terus berjalan ke depan.
“Takut-takut cuma permainan acah-acah syaitan yang mahu memesongkan hati.” Begitu fikir Sara sambil tangannya menaip nasihat ringkas untuk Ulfa.
“Ya. Ini sebahagian antara sifat Allah, Ulfa. Buat masa ini, ambillah masa untuk berfikir, merenung kembali apa yang sudah diatur rancang dan apa yang Allah tentukan. Beritahulah pada hati awak bahawa Allah sudah menjanjikan bantuan dan yang terbaik untuk diri awak. Berdialoglah selalu dengan hati, Ulfa. Itu saja tips paling mujarab dari saya. Amallah tips ini setiap hari. Adulah apa saja, dalam bentuk bahasa apa pun supaya hati awak rasa dekat dengan penciptaNya.
Hati yang lemah, kekuatannya dari Allah. inshaa Allah bila sudah sembuh, awak akan rasa kekuatan luar biasa. 
Percayalah.”
Lama dihantar, pesanan akhir itu tidak berbalas. Sara menganggap Ulfa sedang bersendiri. Boleh jadi dia sedang memberi ruang untuk dirinya berfikir semula.
Sara keluar dari selimut merah pudar. Perlahan meninggalkan tempat tidur, bersiap untuk sujud sementara malam masih bersisa.


Sumber : akuislam.com
loading...

1 Response to "Lemah Bila Merancang Masa Depan – Tanda Syaitan Sedang Acah Hati Kita!"

  1. mari coba keberuntungannya bersama kami hanya dengan
    deposit minimal 10.000 bisa menangkan uang jutaan rupiah
    ditunggu apalagi, segera bergabung bersama kami di F*A*N*S*P*O*K*E*R

    ReplyDelete

Didakwah