Apabila Allah swt membawa kita memasuki bulan Ramadhan ini, ketahuilah bahawa Dia mahu membawa kita ke arah kemuliaan dan kebaikan kerana Ramadhan adalah bulan yang mulia.
Sudahkah kita melafazkan syukur atas kesempatan yang Allah swt berikan ini? Kesempatan yang bakal berakhir.
Namun, seramai mana umat Islam yang merasai kehadiran dan keistimewaan Ramadhan ini? Adakah kita termasuk dalam kalangan umat Nabi Muhammad saw yang menghargai Ramadhan?
Bertuahnya bagi mereka yang berhasrat mahu memperbaiki diri menjadi lebih baik dan mendapatkan kemuliaan di bulan Ramadhan ini.
Disini mahu saya kongsikan cara untuk memperbaiki diri. Dengan harapan, kita tidak membiarkan Ramadhan berlalu pergi tanpa peningkatan iman dan amal.
1- Niat & Azam
Dari Amir al-Mu’minin Abu Hafs ‘Umar Ibn Khattab r.a, katanya: Aku dengar Rasulullah saw bersabda: Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan.
Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya.
Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.
Riwayat Bukhari dan Muslim
Niat adalah qasad (tujuan hati) dan iradah (kehendak hati). Dengan tujuan hati dan kehendaknya sendiri, akan terjadilah sesuatu amal atau pekerjaan.
Dalam Islam menitikberatkan soal niat sebelum kita melakukan sebarang kerja atau amalan. Maka utama sekali seharusnya kita meletakkan niat yang jelas kerana ia akan membantu kita mencapai matlamat yang jelas juga.
Pasang niat kita mahu memperbaiki diri menjadi lebih baik dan hamba lebih bertaqwa kepada-Nya. Pasakkan azam dan niat setingginya di hati dan minda kita. Mengapa harus minda?
Minda juga berperanan penting dalam melakukan sesuatu. Sekiranya kita telah ‘setting’ ia dengan sebaik mungkin, pasti kita akan sentiasa termotivasi untuk melaksanakannya. Walau apapun halangan yang mendatang. Pendek kata, mind set kita.
Merealisasikan niat yang baik akan menghantarkan pelakunya ke dalam Syurga.
2- Tetapkan Matlamat & Peracangan
Setelah menetapkan niat untuk memperbaiki diri, kita harus melakar perancangan dan matlamat apa yang mahu dicapai di penghujung Ramadhan.
Tetapkan matlamat yang kita benar-benar mahu mencapainya. Bukan sekadar angan-angan kosong. Sebagai contoh :
1) Mahu diri aku lebih RAJIN membaca Al-Quran, setiap hari.
2) Mahu diri aku lebih PEMURAH
Sesuatu matlamat yang gah tidak akan tercapai tanpa adanya perancangan yang rapi. Seterusnya marilah kita membuat perancangan amalan untuk mencapai matlamat tersebut.
Perancangan ini adalah amalan tambahan yang mahu dilakukan sepanjang Ramadhan. Amalan yang tidak pernah atau jarang diamalkan sebelum ini.
Sebagai contoh, jika sebelum ini kita hanya membaca Al-Quran selepas waktu Maghrib sahaja, maka dalam perancangan, kita mahu membaca Al-Quran setiap kali usai solat.
Perancangn itu haruslah melibatkan amalan yang mahu dilipatgandakan. Adalah lebih baik sekiranya kita merancang untuk khatam Al-Quran di bulan mulia ini.
3- Paksa Diri
Dalam kita berusaha untuk melakukan sesuatu yang diluar jangkaan tabiat kita, pasti akan hadir rasa malas dan liat. Solusinya kita harus sentiasa memaksa diri dan mengingatkan diri akan matlamat kita.
Lihat sedalam mungkin matlamat tersebut. Jika terasa susah hendak melaksanakan amalan itu, paksa sahaja diri! Usah dimanjakan diri kita. Kita tidak akan berjaya jika tidak paksa diri untuk bergerak.
Yakinlah, Allah swt pasti akan hadirkan kebahagiaan kepada kita biarpun melakukannya dalam keadaan terpaksa ketika itu. Yang penting, niat awal kita. =) Allah swt Maha Mengetahui.
4- Mengenang Dosa Silam
Antara salah satu cara untuk melahirkan rasa penghambaan dan keinsafan diri kita kepada Allah swt adalah dengan mengenang dosa silam.
Di bulan mulia ini, alangkah baiknya sekiranya kita banyak mengenang dosa silam dan maksiat yang pernah kita lakukan.
Bukan untuk mengenang perkara pahit tetapi saya yakin dengannya akan memudahkan kita mengalirkan airmata seterusnya menghadirkan rasa bersalah, malu, risau dan takut kita kepada Allah swt.
Risau, adakah dosa silam sudah diampunkan Allah swt? Takut, adakah kita dijauhkan dari azab kubur dan neraka kelak?
Kenanglah segala dosa-dosa yang pernah dilakukan sepanjang hayat kita. Dosa pernah menderhakai ibu bapa, dosa maksiat, dosa zina dan sebagainya. Mudah-mudahan airmata kita semakin deras mengalir tanda penyesalan kita atas dosa tersebut. Aamiin.
5- Memohon Bantuan Allah swt
Ketahuilah, dalam melakukan sesuatu, kita tidak akan berjaya tanpa izin-Nya Yang Maha Berkuasa. Setelah kita berusaha dalam memperbaiki diri, kita perlu memohon pertolongan-Nya.
Sesungguhnya semua urusan tidak dapat diraih, kecuali dengan rasa tawakkal kepada Allah swt dan memohon pertolongan kepada-Nya.
Ibnu al-Qayyim telah mengatakan bahawa makna tawakkal mencakupi pengertian pasrah, memohon pertolongan dan redha kepada Allah, dengan pengertian bahawa kewujudan segala sesuatu tidak akan terjadi sekiranya tanpa semua itu.
Firman Allah swt :
“ Berserahlah kepada-Nya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa-apa yang kamu lakukan.”
Surah Hud, ayat 123
Di fasa terakhir ini, marilah kita berebut-rebut untuk mengejar Lailatul Qadr, yakni malam qadar (ketentuan). Antara amalan Rasulullah saw dan para sahabat adalah iktikaf di masjid, mengulangkaji hadis dan tafsir, menghadiri majlis ilmu, perbanyakkan tasbih, istighfar dan membaca Al-Quran.
Tinggalkanlah sementara kecintaan dunia demi mengejar ‘malam berharga’. Malam yang penuh keajaiban dan kehebatan yang tiada tandingan serta menjanjikan ganjaran yang berganda-ganda. Juga malam dimana malaikat mengurumi bumi.
Sekiranya kita beribadah sepenuh hati dan mengharapkan keredhaan Allah swt pada malam tersebut, Allah swt akan mengampunkan semua dosa lalu kita. Tidak mahukah kita ganjaran sedemikian?
Mudah-mudahan Allah swt memilih kita untuk bertemu dan beribadah pada malam lailatul qadr. Amin.
loading...
0 Response to "5 Cara Perbaiki Diri Di Bulan Ramadhan"
Post a Comment