7 Tip Rebut Pahala Wanita Haid Di Bulan Ramadhan

Kongsikan di


Tidak dinafikan, antara golongan yang begitu gusar takut kehilangan pahala di bulan Ramdhan ialah kaum muslimat. Hal ini adalah kerana dalam tempoh sebulan Ramadhan, muslimat akan mengalami tempoh waktu yang tidak dibenarkan melakukan beberapa amalan kerana kedatangan haid.

La Tahzan. Seharusnya kaum muslimat faham dan redha di atas ketentuan Allah ini. Ia adalah fitrah bagi seorang perempuan yang baligh. Ingat lagi kisah Aisyah yang menangis kerana kedatangan haid sewaktu ingin mengerjakan Haji Widak? Rasulullah menenangkan hati Aisyah dengan berkata,

“Sesungguhnya pekara ini (haid) adalah ketentuan Allah ke atas wanita.”
Hadis riwayat Bukhari

Amalan Yang Dibenarkan

Sebenarnya, banyak lagi amalan yang boleh dilakukan oleh wanita haid berbanding yang dilarang. Mana mungkin Allah mengabaikan kaum muslimat untuk mengumpul pahala seperti orang lain yang berpuasa. Jadi bagaimanakah caranya?

#1. Tetap Bangun Bersahur Meskipun Tidak Berpuasa

Dari Anas Bin Malik, Rasululullah s.a.w bersabda,

“Bersahurlah, kerana di dalamnya terdapat keberkatan.”

Hadis riwayat Bukhari

Bahkan, Ibnu Umar berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Allah s.w.t dan para malaikat-Nya menurunkan rahmat ke atas orang yang bersahur.”

#2. Perbanyakan Sedekah

Kita sedia tahu betapa hebatnya ganjaran yang Allah berikan kepada mereka yang suka bersedekah. Kehebatan itu bertambah sewaktu di bulan yang mulia ini seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:,

“Sedekah paling utama adalah sedekah di bulan Ramadhan.”

Menurut Ibnu Abbas,

“Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya Al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah itu melebihi angin yang berhembus.”

Hadis riwayat Bukhari

#3. Berzikir

Berzikir juga adalah dibenarkan bagi wanita haid. Jangan melepaskan pahala yang telah dijanjikan Allah dalam bulan Ramadhan dengan berkata perkara yang sia-sia.

Sebaliknya banyakkan membaca zikir mutlak (perlaksanaannya tidak dibatasi oleh waktu, jumlah dan tatacara tertentu) dan zikir muqayyad (perlaksanaannya dibatasi oleh waktu, benda, jumlah bacaan dan tempat tertentu).[1]

Contoh zikir multak ialah membaca tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), tahlil, (La ilaha illallah) dan takbir (Allahu Akbar).

Manakala contoh bagi zikir muqayyad ialah membaca ‘Bismikallahumma ahya wa amut’ ketika hendak tidur.

#4. Beristiqfar

Lazimi lidah kita dengan sentiasa beristiqfar terutamanya pada waktu sahur. Allah telah berfirman:

“(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata:

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka.’

(Iaitu) orang-orang yang sabar, yang benar dan yang sentiasa taat, yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.”

Surah Ali Imran, Ayat 16 hingga 17

#5. Membaca Al-Quran

Terdapat perselisihan sama ada wanita haid dibenarkan atau tidak untuk membaca Al-Quran. Namun, pendapat yang kuat daripada Imam Malik, Imam Syafi’i dan Iman Ahmad menyatakan bahawa wanita haid adalah dibenarkan untuk membaca Al-Quran kerana tiada dalil yang mengharamkannya.[1]

Tetapi, mereka dilarang untuk memegang Al-Quran.

#6. Menyediakan Juadah Berbuka Bagi Orang Yang Berpuasa

Dari Zaid bin Khalid Al-Juhani, Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa memberikan makanan untuk berbuka kepada yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.”

Hadis riwayat Tirmidzi

#7. Keluar Melihat Solat Hari Raya Dan Mendengar Khutbah Raya

Ummu Athiyah berkata,

“Kami disuruh mengajak keluar wanita haid pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha, juga para gadis yang dikurung di dalam rumah. Mereka perlu menyaksikan kaum Muslimin dan doa mereka. Tetapi wanita haid perlu menjauhi tempat solat.”

Hadis riwayat Bukhari

Kekal Mantap Mengumpul Pahala

Sahabat muslimah, cuti berpuasa tidak bererti cuti mengumpul pahala. Lakukan sebanyak mungkin kebaikan seperti senyum dan berwajah ceria kepada sesama insan, membantu orang yang memerlukan pertolongan, menyediakan pakaian bagi mereka yang mahu berterawih dan pelbagai lagi.

Semoga Allah menerima amalan kita dan memberi pahala seperti meraka yang berpuasa. Insya-Allah.

Sumber rujukan:
[1] Muis, F. (2015). Amalan 24 Jam Wanita Haid. In Amalan 24 Jam Wanita Haid. Selangor: PTS Islamika.
loading...

0 Response to "7 Tip Rebut Pahala Wanita Haid Di Bulan Ramadhan"

Post a Comment

Didakwah