Dunia adalah Ladang Akhirat

Kongsikan di

Related image


Dari Ibnu Umar radhiyallahu anhuma, dia berkata, Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam memegang kedua bahu saya lalu bersabda, “Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau orang yang melewati suatu daerah.” Ibnu Umar berkata, ‘Jika kamu berada di waktu petang jangan tunggu esok pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi hari jangan tunggu sehingga. Gunakanlah kesihatanmu untuk (persediaan) sakitmu, dan kehidupanmu untuk kematianmu’. (HR. Al-Bukhari, Hadith ke-40 Matan Arbain An-Nawawiyah)
Kehidupan di dunia adalah sementara. Sebagaimana diibaratkan oleh Baginda Rasul. Asal anak Adam itu semua memiliki kampung halaman dan istana di dalam syurga.
Kemudian kita kembara seketika di dunia. Untuk menanam dan menyiram benih-benih amal. Ibn Umar pemuda cerdas anak kepada sahabat besar Umar al-Khattab menjelaskan ketika tiba waktu petang, janganlah menanti esok pagi. Ketika tiba waktu pagi, usah tunggu waktu petang.
Kerana umu anak manusia amat terhad. Nabi Adam Alaihisalam asalnya dikurnia usia 1000 tahun. Nabi Nuh Alaihisalam disebutkan oleh Ibn Kathir dalam Bidayah wan Nihayah memiliki 1700 tahun. Manakala kita hanya sekitar 60-70 tahun sahaja. Bahkan Nabi menegaskan yang mencapai usia 70 di kalangan umatnya amatlah sedikit.
Dan kita berada di babak akhir dari episod akhir peradaban manusia di atas dunia ini. Kematian nenanti di mana-mana baik di atas katil hospital mahupun berpusara di jalan raya. Dari usia senja hingga ke usia dini.
Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya membawakan hadith banyaknya kematian mengejut di akhir zaman. Dan beberapa ketika selepas itu beliau bersenandung dan nafas Imam juga berakhir saat itu. Demikian diceritakan oleh Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari.
Mukmin yang bijak beramal seolah-olah kematian itu berada di pelupuk matanya. Orang munafik yang bodoh meyangka dan mengharap usianya 1000 tahun dan gemar menangguh-nangguhkan amal dan taubat. Sehingga Allah merakamkan bahawa ketika nyawa mereka berada di kerongkongan,
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:
” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.” (Surah Al-Munafiqin 63: 10)
Realitinya berapa ramai umat Islam di luar sana, bahkan mungkin termasuk kita menyarung ‘jubah’ sikap golongan munafik ini!
Bagai ibarat kata pepatah Melayu yang diubah-suai, ‘Sorong papan tarik papan, Buah keranji dalam perahu, Diajak makan mereka makan, Diajak sedekah mereka tak mahu.’
Paradigma ini perlu dirungkai dan dirubah. Baginda Nabi mengingatkan pendeknya umur umat akhir zaman. Dan salah satu dari amal ibadah yang dapat memanjangkan pahala ibadah kita ialah ibadah sedekah. Secara khusua Baginda mengingatkan golongan wanita bahawa,
Wahai Aisyah, berlindunglah dari api neraka walaupun hanya dengan (sedekah) separuh biji kurma, kerana ia menutupi hajat bagi orang yang lapar, sebagaimana menutupi hajat orang yang kenyang.” (riwayat Ahmad dipetik dari Sahih Targhib wa Tarhib)
Dalam hadis yang lain Baginda mengingatkan, “Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera).” (HR. Muslim)
Satu lagi hadis baginda dari ‘Adi bin Hatim r.a. berkata: Bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita mengenai mereka, lalu baginda berlindung kepada Allah daripadanya, dan memalingkan mukanya tiga kali. Kemudian baginda bersabda, “Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma. Jika kamu tidak sanggup, maka dengan tutur kata yang baik.” (HR. Muslim)
Analoginya ialah rumah seseorang takdirnya terbakar. Apakah tuan rumah itu masih bersantai-santai dan bertangguh-tangguh untuk menelefon pihak Bomba atau segera melakukannya. Tidak dapat kita bayangkan bagaimana tuan rumah bingkas bangun menyelamatkan harta benda.
Di dunia, masih ada peluang dibantu oleh jiran dan pihak Bomba. Sebaliknya di akhirat, masing-masing sibuk dan cakna hanya dengan urusan diri mereka sendiri sahaja. Kerana di depannya sedang marak api yang menjulang tinggi yang panasnya 70 kali ganda dari api di dunia.
Dah apakah kita masih nenunggu-nunggu, menanti-nanti dan bertangguh-tangguh untuk bersedekah? Ini jauh dari sifat orang yang beriman sebagaimana yang Allah gambarkan dalam firmannya yang bermaksud,
Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Al Baqarah 2: 148)
Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan fastabiqul khairat (bersegeralah dalam berbuat baik). Imam An Nawawi dalam kitabnya Riyadhush Shalihiin meletakkan bab khusus dengan judul bab “Bersegera Dalam Melakukan Kebaikan, Dan Dorongan Bagi Orang-Orang Yang Ingin Berbuat Baik Agar Segera Melakukannya Dengan Penuh Kesungguhan Tanpa Ragu Sedikitpun”.
Seterusnya al-Imam an-Nawawi menjelaskan bahawa melakukan kebaikan adalah hal yang tidak boleh ditunda, melainkan harus segera dilaksanakan. Kerana kesempatan hidup sangat terbatas. Kematian boleh sahaja datang secara tiba-tiba tanpa diketahui sebabnya. Kerana itu sementara masih ada nyawa, maka segeralah berbuat baik. Lebih dari itu bahawa kesempatan berbuat baik belum tentu setiap saat kita peroleh. Oleh yang demikian sekiranya diberi kesempatan untuk melakukan amal soleh, maka jangan ditunda-tunda lagi, sebaliknya segera dilaksanakan. Justeru itu Allah swt. dalam Al Qur’an selalu menggunakan istilah bersegeralah, seperti fastabiquu atau wa saari’uu yang maksudnya sama, bergegas dengan segera, jangan ditunda-tunda lagi untuk berbuat baik atau memohon ampunan Allah swt. Dalam hadith Rasulullah saw. Juga menggunakan istilah baadiruu maksudnya sama, tidak jauh dari bersegera dan bergegas.
“Wahai Tuhan Kami. Berikan kami seluruh kebaikan di dunia dan seluruh kebaikan di akhirat. Serta selamatkan kami dari azab api neraka.” (Surah Al-Baqarah 2: 201) Amin.

Sumber : http://ilmuanmalaysia.com
loading...

1 Response to "Dunia adalah Ladang Akhirat"


  1. hy guys ingin nmendapatkan uang jutaan rupiah gak ^^
    ayo segera bergabung dengan saya di F/A/N/S/P/O/K/E/R
    disini hanya dengan minimal deposit 10.000 kalian semua bisa menang jutaan rupiah lo
    ayo tunggu apa lagi kami tunggu ya pendaftarannya ^^

    ReplyDelete

Didakwah